Saturday, December 11, 2010

Dadah

Dadah paling bahaya ialah rokok!!

Saya berpendapat begitu kerana rokok tidak dianggap sebagai dadah dan mudah diperolehi di mana sahaja tanpa kawalan dan dadah jenis ini boleh diambil di mana sahaja tanpa rasa segan atau bersalah.

Saya juga seorang perokok dan oleh itu saya rasa layak untuk berkongsi sedikit pandangan tentang ini.


Gambar Hakcipta thecigarhaus.com

Saya pasti ramai perokok di luar sana yang menyesal kerana terbabit dengan dadah ini dan setiap perokok pasti tidak dapat menafikan kesan ketagihan yang teruk sehingga keutamaan rokok kadang-kadang mengatasi perkara-perkara lain.

Saya yakin, jika perokok diberi pilihan kedua, nescaya mereka akan memilih untuk tidak merokok dan setiap perokok pasti mempunyai pengalaman untuk berhenti merokok membuktikan sesalan yang amat sangat kepada hampir semua penagih tegar ini.

Tidak ada yang dapat berhenti kerana ditakutkan dengan kesan dan bahaya merokok dan tidak ada yang dapat berhenti kerana dipaksa untuk berhenti.

Tidak ramai yang telah merdeka dari ketagihan dadah ini dan kebanyakan mereka yang berjaya berhenti ialah mereka yang mendapat sokongan yang betul dari persekitaran terutama pasangan hidup mereka.

Sokongan dari pasangan hidup adalah penting dan bukan perkara mudah untuk menyokong kerana ianya akan melibatkan kesabaran dan ketabahan.

Perubahan emosi, sikap dan kelakuan yang berlaku dalam proses berhenti merokok yang semakin buruk dari sehari ke sehari sehingga sampai pada keadaan tubuh perokok bebas dari ketagihan bukanlah senang untuk ditangani.

Perokok hanya akan dapat meneruskan usaha untuk berhenti jika pasangannya dapat bersabar dan gigih menenangkan keadaan serta memahami apa yang ditanggung ketika proses ini.

Usaha berhenti tidak akan menjadi jika dalam keadaan ini tiba-tiba perokok diingatkan tentang wang yang dibazirkan atau ada suara sumbang yang mengejek akan kesan dan akibat dari merokok.

Begitulah juga dadah-dadah lain yang rata-rata dari mereka yang terlibat akan berada dalam penyesalan kecuali jenis dadah yang tidak memberi kesan ketagihan.

Tidak semua dadah akan memberi rasa khayal dan mabuk tetapi ada juga jenis dadah yang akan menjadikan pelakunya memiliki sifat terpuji, beryakinan dan fokus seperti syabu.

Tidak semua dadah akan membuatkan pelakunya menjadi lentuk kerana ada juga jenis dadah yang menjadikan penggunanya sihat, kuat dan boleh bekerja lebih baik dari keadaan biasa seperti ketum dan steroid.

Yang pasti, semua jenis dadah yang memberi kesan ketagihan akan membuat penagih menjadi lemah, sakit, tidak gembira, pemarah dan gelisah apabila tidak memenuhi tuntutan badan terhadap dadah yang ditagih dan keadaan ini seringkali ditafsirkan sebagai sedang khayal.

Justeru, mengembalikan penagih ke pangkal jalan memerlukan pengetahuan dan kesilapan membuat tafsiran tentang keadaan sebenar mereka akan memburukkan keadaan dan sia-sia.




No comments: