Tuesday, April 28, 2009

18. Terbeliak Biji Mata


Sampai sekarang kalau aku telefon kawan-kawan lama yang tidak menyimpan nombor aku dalam handphone mereka, dari perenggan pertama lagi aku akan kata "woi aku ni..cop beliak" dan tak perlu bersusah payah mengisi slot pengenalan dengan kupasan panjang lebar, sekelip mata aku sudah dapat masuk pada bab tujuan dan kemudiannya kesimpulan dan penutup.. bye bye dan berapa tahun pulak aku akan tenggelam sebelum timbul semula dan..."woi aku ni cop beliak". Aku dan kawan-kawan seperti baru semalam berjumpa walau kadang-kadang sudah menjangkau belasan tahun.

Mata aku tidaklah sebesar mana tapi bila aku melihat sesuatu benda, aku akan melihat dengan bersungguh-sungguh sampai nak terkeluar biji mata. Sekarang ini agak terkawal sedikit tapi semasa aku masih kecik, anak mak long aku akan lari sekuat hati bila melintas hadapan rumah aku kerana ketakutan yang amat sangat pada tahap keterbeliakan aku. Kalau aku duduk di luar rumah, nescaya tak berani keluar rumah budak tu, apa lagi nak melintas. Kesian budak tu.. tapi apakan daya.. aku langsung tak perasan, ini semua mak aku yang cerita.

Kerana aku banyak memerhati dan amat asyik mendengar (tambah-tambah bila kawan-kawan mak aku bertandang ke rumah, apa yang berlaku di kampung semua aku hafal) aku jadi pendiam secara automatik tapi semua perkara aku ambil tahu dan ini juga dicerita oleh mak aku kerana menurutnya aku adalah rakan perbincangan ketika itu kerana aku boleh bercakap seperti orang tua, siap boleh 'relate' dengan kejadian atau cerita yang berlaku di kampung aku. Selain dari mak aku, aku tidak mudah bercakap dengan sesiapa dan tahap diam aku sebenarnya agak serius. Sampai sekarang sifat itu masih menghuni jiwaku, cuma bilangan ahli mesyuarat dari mak aku seorang bertambah kepada beberapa orang lagi. Masa sekolah dulu, geng buta la ahli majlis mesyuarat aku.

Darjah satu, beberapa kali aku telah 'terkincit' malah pernah beberapa kali 'terberak' di dalam kelas hasil perbuatan cikgu kelas aku ketika darjah satu, Cikgu Shamsiah. Wajarkah dia memberi arahan kepada budak-budak untuk minta kebenaran keluar dalam Bahasa Inggeris. Semua kena kata "Teacher, please may I go out", fuuih mati la aku... nak cakap Melayu pun aku terketar-ketar, ini pula nak cakap orang putih. Maka berbau tahi la seluruh kelas sepanjang hari dan sepanjang perjalanan naik bas Ah Yau balik ke Jerlun dari Sekolah Iskandar yang jaraknya 15 batu. Tapi orang sekali pun tak pernah tuduh aku yang berak kerana mungkin sikap aku yang senyap dan tak tahu berkata apa-apa, 'koro' orang Kedah kata atau mungkin mereka 'seriau' tengok keterbeliakan aku agaknya.

Hari pertama darjah satu, mak aku temankan aku menunggu bas Ah Yau dan memperkenalkan aku kepada Ah Yau yang akan mengangkut aku dan ramai lagi budak-budak kawasan Jerlun, Air Hitam, Kuala Sungai dan sepanjang-panjang Jalan Putra yang bersekolah di Alor Star. Seluruh kawasan ini adalah milik Ah Yau tanpa saingan mana-mana pengusaha bas lain hinggalah aku di tingkatan 3, barulah semua orang berpindah menaiki bas Ah Chai pulak sebab bas Ah Chai ada 'air cond'. Bila bas Ah Chai beroperasi, Ah Yau nekad tidak membuat perniagaan bas lagi kerana dah tak ada siapa yang memerlukan perkhidmatannya lagi, kesian jugak aku pada dia tapi apakan daya beliau tidak peka kepada kehendak zaman yang memberi keutamaan kepada keselesaan pelanggan.

Dari Jerlun sampai ke Alor Star, aku sungguh bernasib baik duduk berdekatan tingkap dan telah membeliakan mata secara bersungguh-sungguh memerhatikan setiap inci perjalanan sehinggalah ke Alor Star. Aku juga merasa beruntung kerana abang yang duduk sebelah aku ketika dalam bas telah dengan sukarela menjadi pemandu pelancong dan memberitahu nama setiap tempat yang kami lalu, rumah Ah Yau di Mergong pun dia tunjuk, jalan mana dan bangunan apa.

Aku bersyukur dengan maklumat itu kerana rupa-rupanya aku akan berdepan dengan sesuatu yang melakar sejarah pada hari itu.

Hari pertama di sekolah amat meriangkan bagi aku, tempat baru, benda baru, kawan-kawan baru dan mata aku tidak dapat berehat walau seketika pada hari itu kerana semua memerlukan perhatian aku.

Mak bagi duit sekolah 3 kupang, waktu rehat aku makan mee kuah 2 kupang sepinggan, beri pada Shidi (jiran sebelah rumah) sekpang kerana duit belanja dia sudah habis sebelum bunyi loceng pertama lagi dan selesai makan aku terus ke bilik air untuk minum air paip. Aku terpaksa beratur panjang kerana ramai jugak kawan-kawan aku yang lain turut serta dalam perbarisan minum air waktu rehat. Pernah beberapa kali aku tidak sempat minum air kerana loceng tamat waktu rehat berbunyi dan air berharga sekupang hanya sekali dua aku dapat beli kerana Shidi telah meneruskan amalan hari itu (minta kat aku sekupang setiap hari) kerana hanya sekali dua Shidi berjaya tidak berbelanja sebelum kelas bermula.

Aku tidak perlu beli minuman atau makanan sebelum kelas bermula kerana ketika budak-budak lain main 'aci ligan' dan 'combat' aku hanya duduk atas 'beg peti' warna coklat yang ayah aku beli beberapa minggu sebelum masuk darjah satu. Ayah aku sungguh peka dengan peredaran zaman kerana hampir semua kawan-kawan aku waktu itu memakai 'beg peti' yang boleh digunakan untuk duduk sewaktu menunggu bas atau waktu terluang.. terima kasih ayahanda.

Aku tak reti bercakap dengan ayahanda aku ketika aku kecik tapi aku tahu betapa dia sayangkan aku. Pernah sekali ketika hujan, beliau mendukung aku semasa menunggu bas semata-mata tak mahu kasut aku kotor. Ayah aku garang dan aku sangat takut kalau aku dapat markah 'merah'(gagal) dalam mana-mana mata pelajaran dan pernah sekali aku berdoa kepada tuhan semasa menunggu bas ketika pulang dari sekolah supaya ada kereta atau lori yang terbabas di tempat aku menunggu bas dan melanggar aku hingga mati di tempat kejadian.

Seluruh badan aku terasa sejuk dan menggigil kerana takut menghadapi ayahanda aku untuk tandatangan 'report card' tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah aku telah mendapat ilham menukar markah 36 menjadi 86 dan aku tulis kembali dengaan pen biru. Aku terselamat tapi keesokan hari aku telah kena rotan dengan cikgu kerana aku telah padam dengan air liur dan pemadam untuk ganti semula kepada markah yang sebenar hingga terkoyak 'report card' aku.

Tetapi tembelang aku akhirnya pecah juga pada peperiksaan seterusnya. Aku kena marah teruk dengan ayah aku dan aku dipaksa 'kandar semai' dan 'menanam' padi dan ayahanda aku memberi amaran pada petang itu untuk memberhentikan aku dari sekolah dan akan disuruh 'buat bendang' jika aku gagal lagi. Ketika itu aku berada dalam darjah dua.

Pada hari pertama darjah satu, selepas loceng akhir berbunyi, aku dan Shidi meneruskan tinjauan untuk melihat, membelek, memegang dan merasai seluruh kawasan sekolah sehinggalah kami lupa diri dan masuk ke bilik kelas Kolej Sultan Abdul Hamid yang berada dalam satu kawasan yang sama dengan Sekolah Iskandar sehingga akhirnya kami tiba-tiba tersedar bahawa bas Ah Yau telah bertolak dan meninggalkan kami.

Shidi mula menangis tetapi aku berjaya mententeramkannya dengan mengatakan aku tahu jalan untuk pulang ke Jerlun dan mengajaknya pulang berjalan kaki sambil menyusun kata-kata indah bahawa betapa seronok dapat melihat bermacam-macam benda dalam perjalanan pulang.

Aku kemudiannya merasa lega kerana melihat 'morris minor' Pak Njang Mat, bapa saudara aku yang datang menjemput sepupu aku pulang dari sekolah. Aku berjalan ke keretanya dan memberi salam tetapi dia tidak pun bertanya apa-apa, aku kemudiannya berjalan dua tiga round lagi dan kerana sifat 'berat mulut' aku, Pak Njang Mat tidak langsung sedar bahawa kami telah ketinggalan bas.

Dia kemudiannya beredar dan aku bersama Shidi meneruskan rancangan pulang ke Jerlun dengan berjalan kaki.

Aku dan Shidi akhirnya ditemui oleh seorang penduduk kampung di Alor Janggus setelah berjalan kaki hampir 10 batu. Seluruh kampung telah gempar dan penduduk kampung yang mempunyai motosikal telah beramai-ramai keluar mencari kami.

Sungguh asyik dan indah segala pemandangan kanak-kanak dan aku melihat setiap sesuatu sehingga terbeliak biji mata.

Saturday, April 25, 2009

17. Kisah Hari Ini

Pada ketika ini, dalam blog-blog lain, mereka heboh membicarakan tentang penghapusan kuota 30% dalam sub-sektor perkhidmatan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak beberapa hari lalu.

Ramai yang menentang malah ada yang terang-terang membuat andaian bahawa zaman kejatuhan melayu telah bermula serta pelbagai andaian negatif lain.

Saya ada memberi komen dan pendapat tetapi kebanyakan blog tidak dapat menyiarkannya kerana saya mempunyai pendirian yang berlainan dan sayang saya kepada bangsa agak berlainan.

Bagi saya (maafkan saya jika ada pihak yang tersinggung), perkara ini semudah apa yang di sampaikan oleh P Ramlee dalam 'Anakku Shazali'. Semakin banyak keistimewaan dan semakin tebal subsidi atau kuota, semakin lemah jadinya kita. Sebagai contoh, mari kita menilai apa yang akan terjadi kepada satu keluarga yang mempunyai dua anak iaitu A dan B. A diberi berbagai keistimewaan, kelebihan dan pertolongan dari bermacam perkara manakala B dibiarkan berusaha sendiri, bersusah payah dan berjuang mencapai impiannnya tanpa apa-apa keistimewaan dan bantuan seperti A. Siapa yang lebih berjaya, lebih kuat jati diri dan lebih kental menghadapi cabaran dan dugaan? Pasti kebanyakan kita menjawab B. Malah A mungkin menjadi pemalas, suka bergantung, lemah malah lebih buruk menjadi penagih.

Begitu juga dalam kehidupan ini. Sebagai 'perantau' yang bangsat serata dunia, saya telah melihat kejayaan orang melayu dan bangsa-bangsa pendatang di luar negara dan kelemahan 'orang putih' di negeri 'orang putih'. Lihatlah betapa berjayanya orang Cina di luar Negara China berbanding yang orang cina yang berada di China. Lihatlah orang India di luar Negara India berbanding orang India di Negara India.

Saya pernah membuat 3 pekerjaan sehari ketika di luar negara (sila rujuk pengalaman saya dalam blog) kerana tekanan kehidupan dan survival tanpa merasa penat dan jemu kerana hanya saya yang dapat menentukan hidup saya di sana tanpa sebarang bantuan dan keistimewaan.

Satu tindakan yang saya tunggu-tunggu, bertanggungjawab dan berpandangan jauh dan menyerlahkan kasih sayang yang tulus kepada bangsa. Semua ini telah mula ditunjukkan oleh Dato' Seri Najib yang mungkin juga merupakan wasiat ayahnya, Tun Abdul Razak.

Tanpa keikhlasan, sukar seorang pemimpin mahu melihat masalah ini kerana risikonya ialah kehilangan undi dan populariti dipertaruhkan untuk mencari penyelesaian terhadap perkara yang disifatkan sensitif seperti ini.

Sesetengah kuota bumiputra memberi kesan buruk dengan begitu jelas sekali dan membuat melayu ketinggalan dalam pemilikan ekuiti dan kekayaan. Sebagai contoh, kuota bumiputra dan diskaun 5% untuk lot bumiputra dalam pemilikan rumah. Dengan diskaun hanya 5%, seorang pembeli rumah berbangsa melayu telah membeli sebuah rumah di lot bumiputra dari sebuah syarikat perumahan berharga RM100K, status tanah adalah antarabangsa bukan rizab melayu tetapi pemilikan rumah dihadkan kepada bumiputra sahaja. Selepas 20 tahun, beliau ingin menambah pemilikan harta dan bercadang menjual rumah tersebut kerana ingin membeli 2 unit rumah ditempat lain. Jirannya, bukan bumiputra telah berbuat demikian dan jirannya berjaya menjual rumah yang diduduki dengan harga RM200K iaitu 2 kali ganda. Malangnya, rumah lot bumiputra tersebut hanya dapat dijual dengan harga RM110K sahaja, itupun amat susah mencari pembeli.Untuk makluman, kes ini bukanlah rekaan, tanyalah kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kes sebegini dan tanyalah para pemaju perumahan siapakah yang tidak tahu akan permasalah ini.

Pendapat saya agak keras, kalau terlalu dimanjakan dan dihujani dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan, memang yang memberi akan lebih popular tetapi yang menerima akan menjadi 'spoilt brat'.

Itu belum lagi perasaan tidak puas hati bukan bumiputra langsung mengakibatkan 'yang tidak puas hati' akan memberi tekanan dan pilih kasih jika beliau memiliki kuasa dalam sesuatu organisasi atau keputusan.

Jurang sesama kita semakin jauh dan malang sungguh kepada negara dan agama. Agama Islam tiba-tiba terheret kepada permasalahan ini kerana Islam tidak semena-mena dipersalahkan kerana membeza-bezakan manusia lalu Islam menjadi tidak diminati oleh bangsa lain.

Lebih teruk, bila orang Kristian yang menyebut tuhan mereka Allah seperti kes lirik lagu Agnes Monica yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati pada orang-orang Islam. Tidakkah kita tahu orang-orang Kristian juga beriman kepada Allah cuma mereka tidak beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Bukankah lebih baik kita katakan "Wahai orang-orang Kristian, marilah kita beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana Allah tuhan kita menyeru kita berbuat begitu".

Dimanakah kasih sayang antara kita dan mengapa harus ada jurang sesama manusia, bagaimana mungkin kita dapat berkenal-kenalan. Tak kenal maka tak cinta. Tak cinta kita semakin jauh dan jauh, padahal bukan itu yang Islam sarankan.

Wednesday, April 22, 2009

16. Cara-Cara Membuat Kad Pengenalan.

Tahun 1974 adalah tahun kedua aku di tadika, mujurlah atas ehsan orang tua, aku dimasukkan ke tadika yang berhampiran dengan rumah, hanya 1 kilometer dari rumah. Aku hanya pergi dan balik dengan berjalan kaki.

Tadika tahun pertama agak jauh, di Pekan Ayer Hitam, lebih kurang 5 kilometer dari rumah. Di penghujung sesi tadika, aku sudah boleh membaca akhbar dan membuat kira-kira mudah dan antara yang paling aku seronok ialah bila cikgu menceritakan kisah nabi. Terasa seperti benar-benar berada di zaman silam di zaman nabi.

Tahun 1974, agak membosankan. Aku terpaksa belajar perkara-perkara yang sudah aku tahu dan di dalam kelas, aku sering menunjuk kepandaian aku. Yang masih aku ingat ialah apabila cikgu menyuruh aku mengira 1 hingga 100, aku mengira secara terbalik dari 100 hingga 1.

Kerana bosan, aku mula membuat perkara-perkara yang disifatkan oleh orang Kedah sebagai 'banyak akai'.

Pada tahun itu, aku mula mengenali dunia perniagaan.. ha ha(jika boleh dipanggil perniagaan dan sebagai bukti aku masih ingat lagi mak ada menyebut "...pi belajaq bukan nak meniaga" yang mengukuhkan kenyataan apa yang aku buat itu berniaga la jugak namanya.

Dan kerana itulah aku teruk kena 'lecture' dgn mak kerana cikgu tadika aku, Cikgu Che Wa telah datang ke rumah berjumpa dengan mak mengenai apa yang telah aku buat.

Aku telah membuatkan kawan-kawan setadika kehabisan wang belanja kerana membeli kad pengenalan buatan sendiri yang aku jual dengan harga 10 sen setiap satu.

Aku memang teringin dan tak sabar-sabar memiliki kad pengenalan dan aku sering membayangkan aku sudah besar dan ada kad pengenalan.. rasa macam hidup dah lengkap kalau ada kad pengenalan.

Aku kemudiannya mendapat ilham membuat kad pengenalan buatan sendiri dengan menggunakan daun pisang, kertas keras, pelita minyak tanah, gunting, pen dan pembaris.

Pada fikiran aku, ramai kanak-kanak sebaya aku mesti juga teringin untuk memiliki kad pengenalan sebagaimana yang aku rasa. Aku bercadang menjual hasil karya aku itu kepada kawan-kawan kerana jika hanya aku seorang yang ada kad pengenalan, tentu tak seronok.

Sebelum mendapatkan tempahan dari kawan-kawan, aku membuat kad pengenalan sendiri sebagai contoh dan cara-caranya adalah seperti berikut:-

1. Potong kertas bersaiz kad pengenalan(aku pinjam kad pengenalan Pak Ngah Zul, bapa saudara aku yang rapat dengan aku, yang selalu membawa aku ronda keliling kampung, aku masih ingat Pak Ngah Zul ada loket macam yang selalu Hail Amir pakai ketika itu, berbentuk taring yang dibuat sendiri dari kayu dan aku pun boleh hafal lagu Wajah Kesayangan Hamba nyanyian Hail Amir ketika itu).

2. Tulis nama aku, alamat dan nombor kad pengenalan serta butir-butir yang sepatutnya ada dalam kad pengenalan.

3. Buat kotak untuk cap jari di kanan dan kiri gambar (aku lukis sendiri) di sebelah hadapan.

4. Ambil daun pisang dan layurkan pada pelita minyak tanah untuk mendapat kesan asap hitam di daun pisang.

5. Cap jari dimasukkan ke dalam kad pengenalan dari kesan hitam daun pisang.

6. Kad pengenalan contoh sudah siap untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan dan aku mula mengambil tempahan.

Jangkaanku tidak meleset, tidak ada seorang pun yang tidak menempah kad pengenalan tersebut dan aku telah siapkannya hanya dalam masa 2 hari sahaja.

Setelah kami semua memiliki kad pengenalan, beberapa orang kawan yang agak besar dari kami telah dengan sukarela menjadi polis. Tanpa disuruh, mereka ini akan selalu meminta kad pengenalan ketika beratur masuk kelas, mengambil makanan, mengambil buku dan untuk pulang ke rumah.

Masalah yang timbul kemudiannya ialah apabila ada kawan-kawan yang telah menghilangkan kad pengenalan mereka dan dipaksa membelinya dari aku. Aku tidak membantah tindakan mereka dan sebenarnya mula rasa seronok kerana dengan peranan kawan-kawan polis aku tu, aku mula mendapat tempahan baru.

Segalanya berakhir apabila cikgu datang ke rumah.

Aku tidak ingat dengan jelas apa yang dikatakan olek mak ketika memarahi aku tetapi selepas kejadian itu, aku rasa tidak sabar-sabar untuk memiliki kad pengenalan, cukup dewasa untuk memikat perempuan dan memulakan perniagaan yang 'real' di dunia nyata.

Aku masih kecil ketika itu, manalah aku tahu ianya menjadi satu kesalahan.

Monday, April 20, 2009

15. Hatiku Ada Segalanya...

Tak Bisa Memiliki - Samsons


[*]
Apakah yang engkau cari
Tak kau temukan di hatiku
Apakah yang engkau inginkan
Tak dapat lagi ku penuhi
Begitulah aku
Pahamilah aku

[**]
Mungkin aku tidaklah sempurna
Tetapi hatiku memilikimu sepanjang umurku
Mungkin aku tak bisa memiliki
Dirimu seumur hidupku

Back to [*][**]

Back to [**]

Dirimu seumur hidupku 3x

Saturday, April 18, 2009

14. Basikal Kuning

Dalam keadaan aku yang tiada apa-apa lagi, simpanan habis, saham dah tak ada yang tinggal, hutang bertimbun, nama tercemar, penat dan juga tua, aku perlu bermula lagi dari kedudukan paling bawah dengan mencari kerja. Dalam keadaan ini ianya sangat perit, aku kerapkali gagal dalam temuduga dengan alasan utama ialah umur. Tiada sebarang kenderaan juga menjadi sebab mengapa aku tidak layak walaupun menjadi seorang salesman.

Aku kemudiannya berpindah ke Sungai Petani dan tinggal bersama ibu mertuaku. Kalian tentu faham bagaimana keadaan tinggal dengan ibu mertua dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Semua itu telah meningkatkan tahap siksa yang mendadak dari segi batin dan mental sehinggalah aku akhirnya membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah teres yang sewanya belum lagi ada dalam belanjawan dari pendapatan tetap bulanan, aku perlu berusaha untuk itu.

Aku hanya buat kerja-kerja yang tak tetap, jual barang itu dan ini, direct selling dan terima upah buat apa-apa kerja yang aku mampu dari kawan-kawan. Seringkali ketika aku dalam saat-saat yang tertekan, aku akan menelefon sesiapa sahaja yang aku kenal bertanyakan jika ada apa-apa yang aku boleh buat seperti mengangkat barang, mencuci atau apa saja untuk 10 atau 20 ringgit.

Tetapi seorang lelaki yang telah berumur hampir 40 tahun, yang tidak mempunyai kenderaan, nescaya tak akan berjaya menyakinkan orang dan direct selling aku tidak langsung berkembang. Aku hanya menjadi pengganggu dari masa ke semasa sehinggalah kawan-kawan menjauhkan diri, tidak mengangkat telefon dan tidak membuka pintu jika yang datang ialah aku. Aku faham dan tidak menyalahkan mereka kerana setiap orang mempunyai masalah masing-masing dan pada keadaan aku yang amat terdesak aku terpaksa mengganggu, bayangkan anak-anak tidak dapat makan sehingga petang, mahu tidak mahu aku terpaksa meminta membuat apa-apa kerja untuk RM5 atau RM10 .

Aku kemudiannya membeli sebuah basikal di Sungai Petani untuk menghantar anak-anak aku ke sekolah dan dengan basikal itulah aku ke hulu ke hilir di Pekan Sungai Petani menjaja itu dan ini.

Beberapa bulan menunggang basikal, seorang kawan yang pemurah kemudiannya menjual sebuah motosikal kepadaku tetapi katanya "Hang pakai dulu cop, nanti ada duit baru hang bayar." Dengan motosikal itu aku kemudiannya mendapat kerja-kerja yang elok sedikit, itupun kerja yang menawarkan gaji pokok yang hanya cukup untuk minyak motor sahaja, pendapatan hanya bergantung pada komisen. Terima Kasih pada Zul, seorang sahabat yang bersimpati.

Ketika itu Dato' Seri Mahathir Khalid adalah MB Kedah dan pada suatu hari ketika pulang ke Jerlun, aku menemui wakil rakyat kawasan aku dan meminta pendapat beliau mengenai masalah aku, Dato' Othman Aziz cuba mencari jalan untuk membantu tetapi bukanlah berasaskan kepada kes kesilapan Dato' Seri Syed Razak kerana ianya antara aku dan Syed Razak.

Dato' Othman Aziz seorang yang aku hormati sehingga kini, beliau memang bersungguh-sungguh membantu aku walaupun dalam keadaan aku yang hina ketika itu. Aku dapat melihat, beliau tidak pernah memandang rendah kepada aku. Malah, aku dapat rasa beliau menghargai pengalaman dan pengetahuan aku dan perjuangan aku mencapai apa yang aku cita-citakan.

Mungkin juga kerana beliau juga pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid yang mempunyai sesuatu persamaan yang dimiliki oleh collegian, sesuatu yang membuatkan setiap collegian rasa seperti satu keluarga yang akan merasa sakit apabila ahli keluarganya disakiti.

Mungkin juga kerana bimbingan ayahnya, seorang guru dalam jalan tarekat yang membimbing ribuan murid dalam jalan kerohanian. Pernah aku ceritakan dalam bab sebelum ini bagaimana halusnya akhlak mereka yang tidak mengira bangsa, agama, haiwan atau manusia sehingga dapat mengislamkan beribu-ribu penduduk London dan menukar banyak gereja-gereja menjadi masjid di sana.

Dato' Othman amat berbeza dari segi pendekatan politik, di Jerlun beliau disenangi walaupun oleh orang-orang Pas kerana bantuan atau pertolongannya tidak langsung berasaskan parti manakah orang itu dan perkara ini juga pernah menjadi isu pada awalnya kerana rasa tidak puas hati dari dalaman UMNO kerana ianya agak berbeza dengan cara lama; memberi keutamaan hanya pada orang UMNO atau BN.

Allah menyuruh berbuat baik sesama manusia dan itulah yang diamalkannya dan konsep itu yang membuat beribu-ribu orang diislamkan di London hanya kerana tertarik dengan akhlak orang Islam yang diamalkan dalam tarekat, jika permusuhan atau menghalalkan darah orang bukan Islam menjadi fahaman nescaya semakin bencilah orang pada Islam.

Walaupun beliau telah mencuba sedaya upaya, mendapat kelulusan membalak bukanlah sesuatu yang mudah. Aku juga tidak sangat berharap, cuma meletakkan sedikit harapan mana tahu jika berhasil dapatlah selesaikan segala hutang piutang. Pendapatan aku ketika itu jauh sekali untuk selesaikan hutang malah makan minum pun tidak tentu mencukupi, nasi, telur dengan kicap atau bubur nasi dengan tulang ayam kerapkali menjadi menu kami sekeluarga. Sehingga kini, walaupun makan minum bukan lagi menjadi masalah, anak-anak aku kerapkali meminta ibu mereka telur dan kicap kerana telah menjadi kegemaran mereka.

Pernah beberapa kali pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri datang mencari aku di Jerlun dan itulah hutang yang aku anggap paling mustahak kerana menyebabkan ibuku terganggu dan menyekat aku dari meninggalkan Malaysia. Walaupun ianya hanya lebih RM20K tapi bagaimana akan aku jelaskan kerana apa yang aku fikirkan hanya untuk makan dan persekolahan anak-anak.

Apabila PAS memegang tampuk pemerintahan Kedah, aku ada berjumpa dengan Rosnizam, pegawai khas Ustaz Azizan dan mengemukakan surat dan dokumen berkaitan untuk berjumpa dengan MB, mana tahu PAS yang Islamik dan mengikut Nabi mungkin akan memberi sedikit perhatian kepada kes aku, lagipun Ustaz Azizan berjanji tidak akan memilih bulu dan akan membela nasib sesiapa sahaja rakyat Kedah.

Malangnya, bukan kata hendak berjumpa, surat aku pun tidak langsung mendapat balasan.

Thursday, April 16, 2009

12. Lumpuh

Balik dari solat jumaat tadi, aku dapat sms dari seorang sahabat yang aku kira bernasib baik kerana cacat penglihatan, tak dapat melihat, geng buta masa di Kolej Sultan Abdul Hamid bernama Shafie atau semasa di sekolah kami panggil 'pet', katanya "Cop, aku dah visit blog hang. Hoo interesting sungguh pengalaman hang. Post la lagi cerita. tak sabaq nak baca" dan terus aku reply "Hang baca macam mana?" kerana aku memang suka mengusik geng-geng aku yang buta ni. Aku kata mereka bernasib baik kerana tak payah melihat kezaliman dan kekejaman dunia ni dan aku memang tahu ada software yang boleh baca paparan pada screen yang mereka guna.

Mengenai geng buta, sekiranya ada budak-budak kolej badge 81-85 terbaca blog ni, mereka tahu siapa aku dengan geng buta di kolej dulu. Selain sifat aku yang tidak buta, aku memang macam orang buta, aku tinggal di asrama pelajar buta, aku duduk sebelah mereka di dalam kelas, aku sentiasa ada di 'Bilik Resos', lepak dan study dengan mereka dan practise band dengan mereka, aku juga vocalist band 'Jasira' iaitu band orang buta di Kolej, aku lompat pagar tengok mid night dengan mereka, naik atas siling hisap rokok dengan mereka dan bila naik bas 'utc', konduktor bas tak akan minta tambang sebab ingat aku pun buta kerana selalu dengan mereka.

Aku sebenarnya lebih senang dengan mereka kerana mereka lebih memahami aku dan dengan mereka kita tak perlu bercakap banyak kerana mereka amat sensitif dan tahu apa yang kita rasa.

Pet sekarang seorang guru, beliau pemain gitar utama band Jasira dulu dan antara sahabat-sahabat dari golongan yang bernasib baik dan selalu berhubung, 2 atau 3 tahun sekali mesti aku akan call atau sms.

Aku beritahu Pet tadi bahawa aku akan terus ke conclusion dalam cerita aku, aku dah tak sanggup ingat cerita-cerita lama ni dan ada juga yang hantar sms atau email yang memandang tinggi pada aku.. alamak itu dah salah sangka, cerita belum habis.

Selepas balik dari rumah Dato' Seri Syed razak malam tu, aku cuba membuka mulut menceritakan apa yang berlaku tentang Kostech kepada Aida tapi lidah masih kelu kerana takut akan ada gangguan pada fikiran Aida dan apabila ada gangguan padanya lagi teruklah gangguan pada aku.

Aku memilih untuk berlagak seperti biasa dan aku hanya memberitahu Stephen bahawa Dato' tak mungkin akan buat kenyataan seperti yang diminta, mana mungkin seorang ahli politik akan mengaku tersilap, akan jatuhlah reputasi beliau.

Aku cuba mencari info sebanyak mungkin mengenai hutan di Kedah, berapa ekar kuota yang boleh ditebang mengikut 'Sistem Pengurusan Hutan Berkekalan' yang diamalkan menerusi Dasar Perhutanan Negara. Dengan sistem ini kuota dan had pengeluaran kayu balak di Kawasan Hutan Simpan Kekal akan ditetapkan bagi sesetiap negeri untuk menjamin hutan tidak akan pupus selama-lamanya.

Aku juga mula menghubungi tauke-tauke balak dan kilang kayu di Kedah dan kebanyakan mereka tidak mahu berurusan dengan aku sehinggalah aku mendapat satu idea.

Aku pergi ke pejabat Tong Seng Timber Merchant pada suatu hari dan minta berjumpa dengan boss mereka Mr Wuu yang kemudiannya aku panggil 'uncle'. Sebaik aku duduk aku mengeluarkan kad pengenalan, aku menunjukkan apa yang tertulis di akhbar, dokumen kelulusan tebusguna untuk membuktikan MB telah tersilap dan akan menggantikan kerugian aku dengan kawasan balak dan aku ialah Yusoff Zaky seperti dalam kad pengenalan yang aku tunjuk dan juga sama dengan nama yang disebutkan di akhbar-akhbar.

Semua itu berjaya menarik perhatian beliau untuk berbincang lebih lanjut dan aku akhirnya bersama-sama beliau melalui bermacam-macam dugaan dan cabaran bertahun-tahun lamanya.

Sehingga Dato' Seri Syed Razak jatuh sakit dan lumpuh, bermacam-macam alasan yang aku dapat mengenai perkara ini selepas setiap mesyuarat hasilbumi.

Cuma sekali aku dapat kawasan kayu dan kawasan itu adalah kawasan yang dibuka tender tetapi tak ada satu pun yang berminat. Kawasan itu adalah kuari batu yang ada semak samun dan kayu-kayu yang tumbuh di celah-celah batu dan untuk meluluskan kuari jabatan hutan perlu keluarkan kayu dari sana. Untuk mengeluarkan kayu dari sana perlu bina jalan dan infra, setelah dicongak kami akan rugi lebih kurang RM60K.
Itulah saja kawasan kayu yang aku dapat dan ramai kawan-kawan dan orang-orang di Wisma, orang-orang korporat dan GLC di Kedah yang beranggapan aku telah diberi kawasan balak oleh MB.

Berikut ialah rentetan peristiwa yang aku catat:-

12/2/2001 Mohon kompatmen 42 dan 46 Bukit Perak.
26/3/2001 Hantar surat mohon kurnia kepada MB.
12/8/2001 Surat wakil dihantar kepada jabatan hutan setelah diminta pengarah hutan.
12/8/2001 Kelulusan membalak di Kuari Gua Kelambu dikeluarkan.
8/9/2001 Hantar surat kepada jabatan hutan mengenai kawasan gua kelambu tidak ekonomik.
21/10/2001 Pertemuan dengan MB, Pengarah Hutan dan seorang Exco di Wisma Darulaman dan serah surat rayuan.
17/1/2002 Terima surat permohonan ditolak kononnya kawasan tadahan hujan.
10/1/2002 Mohon kawasan baru yang mengikut nasihat pengarah hutan supaya tidak ada masalah kawasan tadahan hujan lagi iaitu Kompatmen 17 Chebar Besar dan Kompatmen 15 Bukit Enggang.
18/5/2002 MB panggil berjumpa mengenai surat rayuan yang menyebut tentang Kostech.
19/5/2002 Jumpa MB dan berjanji akan batalkan surat itu dalam fail untuk tutup cerita Kostech.
19/5/2002 Berbincang dengan Dato' Setiausaha Hasilbumi mengenai surat tersebut.
20/5/2002 Hantar surat batalkan surat tersebut dan menyatakan permohonan tiada kena mengena dengan kesilapan kenyataan MB.
19/8/2002 Terima surat permohonan ditolak tetapi disyorkan tender. Dato' Setiausaha berkata tender hanya formaliti, kawasan akan diberi menurut mesyuarat.
15/1/2003 Tender dikeluarkan.
16/2/2003 Menyertai tender 80B Rimba Teloi dan 19C Ulu Muda.
17/8/2003 Selepas setahun akhirnya keputusan dibuat hari ini, tidak berjaya, orang lain yang dapat.
14/9/2003 Pengarah maklum tender tidak berjaya dan cadang minta kurnia macam biasa di kompatmen 15, Bukit Enggang dan kompatmen 17 Chebar Besar.
Sept 2003 Jumpa MB berbincang mengenai kawasan yang dipohon.
Dis 2003 Mesyuarat Hasilbumi, permohonan tidak berjaya tetapi tiada surat maklum lagi kerana kes Kostech telah saya batalkan pada 20/5/2002. MB minta jumpa Setiausaha Sulit yang akan atur permohonan balak.
Jan 2004 Berbincang dengan Setiausaha Sulit MB. MB akan beri kawasan kecil dulu.
Feb 2004 Mohon kawasan kecil di Padang Terap dan Gunung Pongsu.
May 2004 Mesyuarat Hasibumi, tidak berjaya.

.....dan seterusnya lagi, lagi dan lagi alasan dan alasan diterima. Aku dah mula bosan ketika itu dan pada suatu hari aku dapat tahu aku berjaya mendapat kelulusan kawasan melalui lesen Mohd Shariff tapi bukan kawasan yang aku minta. Mengikut pengarah hutan, cara pemberian kawasan kayu sekarang tidak tentu mana kawasannya, semuanya bergantung pada kerajaan kerana setiap kawasan akan dipecahkan kepada kawasan-kawasan kecil.

Aku menelefon setiausaha sulit MB tetapi kawasan itu bukan diluluskan kepada aku. Aku mula syak sesuatu yang pelik dan pada sebelah petang sekumpulan gangster telah datang ke pejabat Uncle Wuu dan meminta surat kelulusan kerana menurut mereka, boss mereka mahu berjumpa dan telah beri banyak wang untuk itu.

Pemilik lesen telah dikurung dan diminta menyerahkan surat kelulusan.

Aku memeriksa melalui seorang teman di pejabat hutan jika ada permohonan lain dari lesen Mohd Shariff tetapi tiada permohonan lain selain permohonan kami.

Uncle Wuu dibawa menemui kepala gangster dan kemudiannya mengalah kerana setiausaha sulit MB minta beri pada mereka dan akan luluskan kawasan lain pada kami.

Aku memohon lagi dan selepas itu MB jatuh sakit dan lumpuh sebelum mesyuarat hasilbumi diadakan....

Setelah bertahun-tahun aku berada dalam belenggu ini.

Kesimpulannya ialah aku sengaja diberi harapan kosong untuk melengahkan sebarang tindakan atau mengelakkan aku dari bercakap dengan wartawan mengenai Kostech.

Pernah sekali Setiausaha Hasilbumi yang pernah cuba menyokong aku, yang meminta aku sediakan surat untuk batalkan kes kesilapan MB mengenai Kostech, yang mengatakan MB hendak beri secara tender, terkejut kerana aku masih belum mendapat sebarang kelulusan kerana menurutnya beliaulah yang mencatitkan dalam minit mesyuarat mengenainya.

Aku sengaja dilumpuhkan sehinggalah Dato' Seri Syed Razak kemudiannya turut lumpuh dengan kuasa Allah.

Tuesday, April 14, 2009

11. Kemana Pula Arah Bencana Ini?

Malam itu masuk hari ketiga aku cuba menemui Dato' Seri Syed Razak di kediamannya. Aku cuba untuk membuat temujanji, tetapi menurut P.A nya, paling cepat aku dapat berjumpa jika membuat temujanji, ialah pada hujung bulan depan dan cara yang paling kritikal adalah berkhemah di hadapan rumahnya dan menunggu kalau-kalau Dato' Seri pulang tidak terlalu lewat dan cuba meminta peluang untuk bercakap sepatah dua.

Malam itu Dato' Seri pulang agak awal, menurut pemandunya beliau ada majlis dan akan keluar semula. Lebih kurang setengah jam, aku diberitahu oleh pengawal, Dato' Seri memanggil aku masuk.

Jika bukan mengenai kes ini, aku amat menghormati Dato' Seri. Rakyat Kedah perlukan pemimpin begini yang tidak terlalu protokol, yang tidak kekok langsung bersama rakyat dan bersedia mendengar masalah rakyat bila-bila masa jika mempunyai masa. Aku pernah datang di waktu pagi sebelum ini iaitu ketika projek ini belum menjadi cerita sedih. Aku datang untuk mendapat restu beliau mengenai sedikit perubahan pada syarat-syarat awal mengenai premium yang perlu dibayar pada kerajaan negeri dan sedikit perubahan pada komponen projek. Di waktu pagi sebelum ke pejabat, ada saja orang ramai yang telah sedia menunggu untuk meminta pertolongan dan beliau akan cuba menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukakan sedaya upaya.

Pernah sekali di depan aku, Dato' Seri aku lihat cuba membantu menyelesaikan masalah sarang judi yang dimaklumkan oleh seorang lelaki Cina yang kurang senang dengan keadaan begitu berhampiran kediamannya. Beliau tidak pernah merungut dan sedaya upaya akan mendengar dan mencari jalan. Ada juga yang datang meminta bantuan kewangan kerana kecemasan atau kesempitan wang kerana anak hendak menyambung pelajaran dan selain merujuk kepada pihak yang berkenaan beliau tidak lokek menghulurkan wang derma semasa bersalam. Tidak sampai setahun beliau menjadi MB, berat badannya kelihatan susut dengan ketara sekali dan rambutnya dengan begitu cepat telah memutih.

Dato' Seri juga tidak berpindah ke kediaman rasmi sebaliknya terus tinggal di kediaman sendiri di Jalan Kuala Kedah kerana senang bertemu rakyat. Jika berpindah ke kediaman rasmi, sudah pasti orang ramai tak akan berpeluang mengadu masalah seperti sekarang. Aku bangga mendapat pemimpin begini dan terus terang aku katakan aku tidak akan sanggup menanggung beban amanah dan amanat sebesar itu.

Sikap dan perilaku Dato' Seri yang mulia ini bila aku fikirkan, begitu berbeza dan kontra sekali dengan kenyataan tidak benar beliau mengenai Kostech sehingga membawa azab yang besar ke dalam hidupku. Apakah masalahnya atau dimanakah yang tidak kena. Ramai yang mengatakan Dato' Seri sengaja mencantas aku kerana memberi laluan kepada syarikat lain untuk projek tebusguna di Kuala Kedah tetapi projek kami berbeza dengan projek tersebut kerana kami tidak menggunakan wang kerajaan, ini adalah projek pelaburan malah Kerajaan Negeri Kedah yang akan menerima premiun dan pelaburan asing, sangat berlainan.

Ketika di dalam rumahnya, beliau aku lihat agak berbeza kali ini dengan perwatakan pemimpin terpuji yang biasa aku lihat kerana beliau terus menerus becakap tanpa memberi peluang kepadaku untuk mencelah dan melihat kepada keadaan begini aku tiba-tiba tidak dapat mengawal sebak, air mata tiba-tiba mencucur laju melepaskan tangisan dan dan lidah sudah tidak dapat lagi menuturkan kata.

Dato' Seri segera menghampiri aku, menepuk-nepuk belakang aku dan ayat-ayat yang terbit tidak aku tahu susunannya kerana diselangi dengan sedu sedan. Apa yang aku cuba katakan ialah aku telah meletakkan seluruh harapan dan kemampuan pada projek ini, menggunakan segala yang aku miliki dan telah terlalu jauh aku pergi dan amat penat dan aku sudah tak mampu lagi mengulangi semula. Wang yang hilang adalah dari cara yang sukar dengan keringat dan darah.

"You tak payah cakap dengan reporter lagi, sekarang You kenai saya, lebih baik dari You duduk dengan company ni.." kemudian menyambung "U buatlah apa-apa, saya tolong."
Dato' Seri Syed Razak tiba-tiba memberi respon begitu yang sedikit sebanyak meredakan sedikit kekalutan aku di akhir pertemuan pada malam itu dan beliau kemudiannya bangun dan menambah "Kalau tender tu susahlah sikit saya nak tolong." Beliau menghulurkan tangan menamatkan perbincangan dan aku seperti biasa mencium tangannya sambil kami sama-sama beredar dari ruang tamu di rumahnya sambil berjalan ke muka pintu.

Sebaik keluar dari rumahnya, beliau sekali lagi memegang belakangku dan aku yang telah dapat mengawal perasaan sempat bertanya "Kalau saya minta kawasan kayu boleh tak? sebab saya dah tak ada duit kalau nak plan dan buat sesuatu yang baru..."
Sebelum masuk ke kereta Dato' Seri Syed Razak berkata "You check dengan Pengarah Hutan, kalau ada kayu boleh lah."

Pelbagai tanda tanya belegar di kepalaku mengenainya. Adakah Syed Razak benar-benar hendak menolong? Mengapa Syed Razak mematahkan usaha aku? Apa yang menyebabkan semua ini? Mengenai pembalakan, satu-satunya projek yang diberi secara kurnia tanpa tender yang tiba-tiba terkeluar dari mulutku. Aku tidak pernah tahu dan ambil tahu mengenai pembalakan sebelum ini, aku tidak pernah kenal sesiapa pun dalam sektor ini dan menjadi tauke balak hanya layak menghiasi mimpi di siang hari.

Monday, April 13, 2009

10. Lumpuh Segalanya Dengan Hanya Sepatah Kata.



Dato' Seri Syed Razak, Menteri Besar Kedah keluar dari bilik mesyuarat di tingkat 4 Wisma Darulaman dan tidak terus menuju ke ruang makan sebaliknya masuk ke bilik tetamu yang juga berada di tingkat 4 yang disediakan khusus untuk temujanji-temujanji di antara mesyuarat ke satu mesyuarat yang lain, temujanji-temujanji akan disusun di sana untuk tidak membuang masa. Dengan cara itu MB tidak perlu balik ke pejabat untuk temujanji kerana pejabat MB terletak agak jauh di blok yang berbeza.

Menghormati waktu, aku dengan ringkas memaklumkan status permohonan konsesi tebusguna laut yang telah mendapat kelulusan EIA makro dan hanya menunggu 'green light' dari kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja ukur bagi penyediaan EIA mikro dan juga memberi penerangan sedikit sebanyak mengenai Kostech, syarikat yang memohon sebuah konsesi tebusguna laut yang telah diplotkan sepanjang pantai Negeri Kedah semenjak Datuk Seri Sanusi Junid menerajui tampuk pemerintahan Negeri Kedah lagi.

Hanya aku satu-satunya Melayu dalam Kostech, yang lain India, Cina dan 'mat saleh', maklumlah tebusguna laut bukan sesuatu yang biasa di Malaysia dan pelaburan yang besar juga diperlukan jadi tanpa kerjasama dengan syarikat luar, pelaburan asing dan dibarisi oleh jurutera-jurutera dan profesional import, sukarlah untuk direalisasikan.

Melihat kepada kesungguhan aku dan kekuatan serta sokongan kukuh dari segi kewangan dan teknologi, aku diminta untuk mengadakan taklimat di Pejabat Daerah Pendang keesokkan harinya kerana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah akan bersidang di sana esok.

Aku menghubungi pejabat kami di Alor Star meminta pembantu aku menyediakan dokumen-dokumen berkaitan sebangak 20 set dan menguruskan penghantaran model ke Pendang dengan segera. Aku juga menghubungi ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk dimaklumkan kepada semua yang terlibat untuk sampai sebelum mesyuarat EXCO esok dan akhirnya aku menelefon Stephen, Pengerusi Syarikat yang ketika itu berada di Singapura kerana kami juga sedang melaksanakan kerja-kerja tebusguna laut di sana. Beliau amat gembira dengan perkembangan itu dan akan turut serta bersama-sama kami pada taklimat itu.

Aku kemudiannya menghadiri mesyuarat Equator Survey Sdn Bhd, iaitu syarikat juruukur yang menjalankan kerja-kerja ukur hidrografik, mengenai penstrukturan syarikat di mana aku bercadang membawa masuk seorang ADUN berbangsa Cina yang juga merupakan kenalan lamaku menyertai barisan pengaraah syarikat. Aku merupakan pengerusi Equator Survey, syarikat yang aktif dalam kerja-kerja ukur untuk carigali minyak di persisiran pantai di Thailand dan Indonesia.

Selepas taklimat keesokkan harinya, aku difahamkan bahawa Dato' Seri Syed Razak telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memastikan kami mempunyai jaminan modal sekurang-kurang RM500 juta sebelum kelulusan disahkan pada mesyuarat seterusnya.

Aku merasa lega dengan berita itu kerana kami telah bersedia dari segi kewangan, walaupun nilai pelaburan yang akan dibawa masuk hampir 6B untuk keseluruhan pembangunan tetapi kos tebusguna tidak sampai RM600juta.

Beberapa tawaran pelaburan telah kami terima dari beberapa syarikat luar dari India, Australia dan Brunei untuk melabur dalam pembanggunan setiap pulau dan terbuktilah strategi kami untuk mewujudkan kerjasama berasingan pada setiap pulau mempermudahkan rundingan pelaburan, kami keseluruhannya bercadang membina 7 pulau buatan dengan cadangan zon gunatanah yang berbeza pada setiap pulau dan dengan ini akan menjimatkan tapak yang perlu dijadikan zon penampan yang perlu disediakan diantara zon perniagaan, industri dan kediaman.

Semenjak hari taklimat tersebut sehingga ke hari mesyuarat exco yang dijadualkan membuat pengesahan permohonan kami diadakan, aku menerusi ADUN yang baru kami lantik menjadi pengarah Equator Survey menyusun kerja-kerja lobi dengan mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa Exco untuk memperolehi sokongan dan mengelak sebarang bantahan.

Ketika surat kelulusan dari Kerajaan Negeri Kedah diterima, kami telahpun rancak menjalankan kerja-kerja ukur kerana telah tahu dengan keputusan itu dan Stephen amat jarang berada di Malaysia berurusan dengan pihak pelabur dan jika beliau berada di Malaysia, hampir setiap hari kami akan menerima lawatan tapak dari rombongan para pelabur. Semua kami bekerja keras kerana kami amat bangga dan bersemangat untuk menjayakannya.

Setelah beberapa kali membuat pembetulan pada deraf perjanjian seperti yang diminta oleh Y.B Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah untuk majlis menandatangani perjanjian dan penyerahan cek kepada Kerajaan Negeri Kedah, akhirnya deraf tersebut siap untuk ditandangani .

Suatu hari ketika aku baru pulang dari perbincangan mengenai majlis yang akan diadakan tidak lama lagi, cuma menunggu kata putus mengenai tarikh dari pihak Pejabat Menteri Besar aku menerima panggilan telefon dari seorang wartawan NST, Elizabeth yang menyatakan pihak UPEN telah mengesahkan kelulusan projek tersebut lantas segala butiran yang telah ada ditangan mereka akan disiarkan keesokan hari.

Aku pernah berkhidmat dengan akhbar Star dan kebanyakan wartawan adalah kawan-kawan aku, mereka sebenarnya telah mengetahui mengenai kelulusan tersebut tetapi aku minta ianya tidak disiarkan selagi ianya tidak disahkan atau menerima berita itu dari pihak kerajaan sendiri.

Apabila NST menyiarkannya berita itu keesokan harinya sebagai skop atau eksklusif, akhbar-akhbar lain menyiarkannya sehari lebih lewat membuatkan aku merasa segan dengan rakan-rakan wartawan yang lain tetapi itu adalah usaha Elizabeth yang telah berusaha mendapatkan pengesahan dari pihak UPEN seperti yang beliau tulis di akhbar sebagai sumber.

Pada petang berita itu disiarkan oleh NST, aku telah menelefon Dato' Seri Razak mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas pandangan jauh beliau kerana dapat melihat potensinya. Aku menyatakan keyakinan projek tebusguna laut di sepanjang pantai Negeri Kedah akan meningkatkan nilai hartanah di sana dan aku sebagai anak Kedah akan cuba memberi peluang sebanyak mungkin kepada kontraktor dan pembekal dari Negeri Kedah.

Keesokan harinya, kira-kira jam 3 petang, Ketua Biro Berita Harian, Zaini menelefonku dan meminta aku datang ke pejabatnya di Kanchut seberapa segera, katanya ada sedikit masalah.

Aku bergegas ke sana dan semua wartawan NST, Berita Harian dan Metro telah siap sedia menunggu dan aku dimaklumkan bahawa Dato' Seri Razak telah menafikan kelulusan projek tersebut dan berkata pihak Kostech tidak pernah membuat permohonan rasmi.

Ya Allah.. apakah semua ini. Hidungku terasa ketat dan mataku berair tetapi cuba menahan emosi sambil menarik nafas panjang untuk memikirkan tindakan yang patut aku buat.

Elizabeth kemudiannya berkata Dato' Seri ketika membuat pengumuman tersebut dilihat memegang fail yang agak tebal yang beliau yakin ianya adalah fail Kostech dan menyifatkan Dato' Seri sebenarnya tahu status sebenar tetapi sengaja menafikannya. Elizabeth yang melihat keadaan tersebut akan menjatuhkan kredibilitiku kemudiannya bertanya mengenai deraf perjanjian yang sedang diteliti oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah tetapi ianya turut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Dato' Seri Syed Razak.

Aku akhirnya membuat keputusan untuk bertegas mempertahankan kelulusan yang telah diperolehi kepada pihak media dan pada malam itu juga, aku ke rumah Dato' Seri Syed Razak tetapi tidak dapat bertemu dengannya. Aku seperti kehilangan punca dan mundar mandir di hadapan rumah Dato' Seri Syed Razak. Aku rasa amat gementar, seluruh tubuh merasa seram sejuk dan hatiku menangis dan meronta-ronta seperti hilang akal.

Aku cuba mencari punca mengapa Dato' Seri Syed Razak yang sedia maklum tentang perkara ini tiba-tiba menganiaya aku dengan membuat kenyataan begini yang pasti melumpuhkan aku.

Ya Allah, mengapa orang yang sangat aku hormati, pemimpin negeri yang sepatutnya bangga melihat kejayaan anak bangsa tiba-tiba sanggup mensia-siakan segala usaha aku dan melumpuhkan aku dengan cara begini.

Ya Allah, tolonglah aku yang tidak berdaya ini, sesungguhnya Kau yang maha besar dan tunjukkanlah sesuatu pada Syed Razak bahawa untuk sampai ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah bagiku, sengsara dan deritaku membangsat ke setiap inci bumi masih tidak hilang penatnya dan aku belum bersedia untuk menerima usaha menjadi sia-sia.

Friday, April 10, 2009

9. Tinggal Dengan Komunis Dan Perjalanan Merentas Gunung Ganang Ke Laos.


Aku bawa pulang hampir RM dari London, RM tunai dan selebihnya transfer dari London ke dalam akaun aku di Malaysia. Aku bangga kerana aku akhirnya dapat juga mencapai apa yang aku inginkan. Di Malaysia, memandangkan saham-saham masih berada di paras yang rendah, sebahagiannya aku laburkan dalam perbagai stok di BSKL dan sebahagian lagi aku simpan di bank untuk biaya projek yang aku rancang. Memandangkan aku tinggal di Jerlun yang berhampiran dengan Pusat Kuarantin Padang Besar serta mempunyai pasaran kerana mempunyai hubungan dengan peniaga-peniaga daging di Kuala Sungai maka aku bercadang membawa masuk lembu-lembu dari Thailand ke Malaysia.
Perkara pertama aku perlu selesaikan ialah kebenaran Jabatan Haiwan iaitu lesen yang diperlukan.
Selepas mendapat kelulusan Jabatan Haiwan, aku menelefon 'Pok Me' seorang DJ radio Yala yang aku kenal yang juga kawan ayahku yang banyak membantu aku mencari tukang masak untuk restoran aku, 'Rendezvous Restaurant' suatu ketika dulu. 'Pok Me' sekarang berada di Penang mengusahakan kedai tomyam sekitar Feringgi Beach.
Aku, ayahku dan 'Pok Me' kemudiannya ke Haadyai bertemu dengan Pengarah Jabatan Haiwan Daerah Songkhla untuk berbincang mengenai prosedur pihak Thailand untuk membawa masuk lembu-lembu ke Malaysia dan daerah-daerah yang terdapat banyak lembu di Thailand. Menurut Pengarah Jabatan Haiwan yang aku tidak dapat ingat namanya, lembu-lembu di Thailand sebenarnya dibawa masuk dari Laos atau Burma dan Thailand sebenarnya tidak mempunyai ladang lembu yang besar dan harga lembu-lembu di Thailand tidaklah begitu murah.
Setelah mengumpul maklumat-maklumat yang perlu mengenai prosedur dan sumber, aku pulang ke Malaysia dan seorang rakan yang tinggal di Jitra bercadang untuk memperkenalkan aku pada seorang usahawan lembu di Jitra bernama Hussein yang memiliki Ladang Fidlot di Jitra.
Aku tidak pernah mengenali Hussein, tetapi menurut rakanku, Hussein telah lama mengusahakan projek lembu fidlot ini.
Kami ke rumah Hussein pada suatu petang dan apabila aku menyuarakan hasrat untuk mendapatkan sedikit maklumat mengenai projek lembu dan meminta izin untuk melawat ladangnya, Hussein kemudian berkata "Cop, Mujurlah Cop datang jumpa Abang Hussein kerana penipu sangat banyak dalam perniagaan ini.. kalau silap jumpa orang, habislah duit Cop kena kebas."
"Beginilah, esok Abang Hussein akan ke Laos dengan seorang kawan untuk beli lembu dan kalau Cop mahu, kita boleh pergi bersama. Abang Hussein akan ajar Cop semua dan satu sen pun tak payah bayar apa-apa, untuk perjalanan kali ini, Cop bayar tambang kami sudah" tambah Hussein.

"Eloklah tu Cop, kalau tak pergi, tak kan dapat peluang begini lagi", tambah Kak Ros, isteri Hussein yang datang dari dapur membawa dulang minuman.
"Baiklah kalau begitu, pukul berapa?" aku akhirnya bersetuju walaupun hati berasa tidak sedap kerana ianya telah lari dari rancangan asalku dan aku belum lagi melawat ladangnya sebagaimana tujuan aku datang pada petang itu. Abang Hussein kemudiannya berkata tidak guna untuk ke ladangnya petang itu kerana lembu sudah habis dijual dan tujuannya untuk ke Laos besok adalah untuk membawa masuk lembu-lembu baru.
Keesokan harinya, seperti yang dijanjikan aku sampai ke rumah Hussein jam 9 pagi dan beliau sudah siap sedia memanaskan enjin keretanya sambil memasukkan beg pakaiannya ke dalam kereta.
Kami ke Alor Star menjemput seorang rakan Hussein bernama Tan, seorang lelaki Cina dalam lingkungan 40an yang akan membawa kami ke Chiang Dao yang berhampiran dengan Laos kerana menurut Tan, terdapat banyak lembu-lembu di sana.
Kami dihantar ke Bukit Kayu Hitam oleh Kak Ros sebelum mengambil teksi ke Haadyai Airport.
Kami sampai ke Chiang Mai dari Haadyai Airport pada malam itu dan kami dibawa ke Chiang Dao dengan sebuah kenderaan 4WD yang kami sewa dari Chiang Mai.
Perjalanan bukanlah dekat, hampir 150km, berbukit bukau dan tidak rata serta berdebu membuatkan rambut dan bajuku bertukar menjadi warna merah.
Kami sampai ke Chiang Dao yang merupakan bandar gajah Thailand dan meneruskan perjalanan lebih kurang 30 km dari Chiang Dao ke sebuah perkampungan Cina di Mae Sae yang bersempadan dengan Laos di kawasan pergunungan yang menjadi laluan ke Laos.
Apabila sampai ke perkampungan tersebut,aku tidak dapat terus bangun kerana badan dan pinggang terasa sangat sakit dan kebas.
Tan rupa-rupanya mempunyai isteri keduanya di sana dan baru mendapat seorang anak. Dirumah tersebut tinggal isteri Tan, seorang adik lelaki, seorang adik perempuan yang telah berkahwin dengan penolong ketua polis hutan yang bertempat disana dan ibu kepada isterinya yang telah tua. Perkampungan tersebut diduduki oleh orang-orang Cina yang telah diberi penempatan oleh kerajaan Thailand untuk mengawal sempadan Thailand. Mengikut cerita mereka , penduduk disitu berasal dari penduduk China yang telah datang berjalan kaki dari Negara China pada masa dahulu.
Selepas mandi aku terus tidur kerana keletihan dan terjaga kira-kira jam 6 pagi untuk solat subuh. Ketika masuk ke dalam bilik air aku lihat banyak daging babi kering digantung dan terdapat juga daging babi yang sedang direndam di dalam baldi untuk dinyahbeku. Aku merasa loya dan terkial-kial seorang diri di dalam bilik air, terus segera mengambil wuduk sebelum masuk ke bilik untuk bersembahyang. Aku tidak tahu arah kiblat dan terus bersembahyang ke arah tingkap bilik dan hanya berserah. Keesokan harinya aku memeriksa arah matahari naik dan dapat mengagak arah kiblat tidak sangat berbeza dengan arah aku mengadap ketika subuh.
Ketika di sana, saat yang paling menyeksa bagiku ialah ketika waktu makan kira-kira jam 1 tengahari dan 7 petang. Aku hanya dapat makan sardin dan kadang-kadang sup ayam selasih yang aku sembelih kerana selain itu adalah masakan daging babi yang aku tidak sanggup lihat. Kerana hanya sebilah sudu yang disediakan, aku dengan pantas segera menyudu sardin atau sup ayam sebelum sudu tersebut dialihkan ke lauk lain dan aku tidak akan menggunakannya lagi. Pernah sekali aku terpaksa menelan muntah yang penuh dalam mulut aku kerana termakan telur goreng yang rasa hanyir dan meloya yang mungkinnya digoreng dengan minyak gorengan babi salai yang sentiasa menjadi menu utama di sana.

Pada malam terakhir aku disana, aku mengajak keluarga Tan untuk keluar makan diluar lalu kami ke sebuah resort untuk makan seafood dan sekali lagi aku terkedu kerana salah satu hidangan didepan aku ialah labi-labi yang memualkan.
Pada malam itu juga terjadi satu insiden yang menggerunkan dalam hidup aku kerana selepas makan, Tan dan keluarganya telah pulang dengan sebuah kenderaan 4WD dan hanya aku, Hussein, dan adik iparnya yang juga penolong ketua polis hutan serta seorang rakannya telah ke karaoke.
Mereka mabuk teruk kerana minum terlalu banyak dan kerana meraikan kami, beliau telah menunjukkan kuasanya dengan berpakat dengan pengurus resort tersebut untuk menyediakan khidmat seks dengan 2 orang kakitangan resort tersebut. Pada mulanya beliau hanya menunjukkan kepada aku seorang kakitangan resort tersebut dan berkata "beutiful..beautiful" lalu akupun berkata "yes..yes" kerana melayan perbualan antara ayam dan itik sesama kami dan tanpa aku sedari rupa-rupanya beliau telah mengatur sesuatu yang mengejutkan aku. Kerana aku menolak apa yang dia aturkan, dia merasa terhina dan malu lalu dia tiba-tiba menjadi marah tidak tentu arah. Rakannya cuba meredakan keadaan dan terjadilah perkelahian antara mereka berdua sebelum diredakan oleh pengurus resort tersebut. Aku akhirnya berkata aku bersetuju dengan syarat aku mahu pulang ke rumah mengambil sesuatu. Sampai di rumah aku masuk ke rumah dan memberitahu apa yang terjadi kepada Tan dan tidak lagi keluar dari bilik. Aku cuma terdengar bunyi bising dan pertengkaran diantara mereka sekeluarga. Aku dan Hussein hanya berdiam di dalam bilik dengan kecut perut yang amat sangat.

Thursday, April 9, 2009

8. Nasi Lemak Batu 9

Anak-anak aku memang seronok bila aku ajak balik ke Jerlun. Lutfil anak bongsu aku mempunyai adik kembarnya di sana. Kembarnya adalah Qistina, anak adik aku dilahirkan sehari selepas Lutfil lahir.

Jerlun tanah tumpah darahku, daerah mengundi aku dan kasih sayang aku.

Keluarga, orang-orang kampung dan anak-anak muda di Jerlun adalah aku, tak kira apa pun pegangan politik mereka ianya tak pernah bezakan kami.

Sebagai tambahan kepada alasan untuk aku selalu pulang ke kampung, aku telah mengelola projek ternakan lintah di beberapa tempat di sana yang diusahakan oleh beberapa rakan.

Aku cuma merancang dan memantau, untuk melaksanakan sendiri, susahlah kerana aku kekurangan masa dan aku geli dengan lintah ni.

Projek lintah ini bergerak secara sambilan, ianya agak berbeza dan tidak mengikut mana-mana syarikat kerana kami hanya menggunakan kok-kok konkrit, lintah kami tangkap sendiri dan kami hanya menggunakan air hujan atau perigi. Pada awalnya kok-kok tersebut dibiarkan berlumut dan apabila ada masa lapang atau terjumpa lintah semasa di bendang, lintah akan dikumpul.

Projek tersebut adalah pendapatan sampingan kepada kawan-kawanku di Jerlun memandangkan mereka mempunyai sumber asli yang banyak.

Di Jerlun terdapat sebuah restoran yang diberi nama Nasi Lemak Batu 9, ianya sangat popular di seluruh Kedah malah di luar Kedah dan ramai jugak artis-artis atau orang terkenal yang pernah singgah. Kedai tersebut dibuka jam 6 petang hingga 12 malam dan lebih kurang 20 gantang nasi lemak yang tak bersantan yang sangat enak itu akan habis dijual setiap malam.

Orang yang memberi nama restoran itu, yang mula-mula masak dan cari resepi yang sesuai, yang merancang konsep, susun atur dan iklan serta memberi tunjuk ajar sehingga wujud sebuah restoran yang sangat terkenal itu ialah aku.

Tuan punya Kedai yang sebenar bernama Romzi atau aku hanya panggil Pak Lang G merupakan kawan karib aku. Beliau bekerja di sebuah bank dan pada suatu hari beliau meminta aku memikirkan idea untuk mencari pendapatan tambahan di sebelah malam, pada awalnya dia mahu membuka gerai burger di hadapan rumahnnya.

Aku mencadangkan padanya untuk buka kedai mamak dan dia ketawa terbahak-bahak mendengar idea aku.

Aku serius, aku mahu dia buka kedai mamak, resepi mamak dengan kandungan utama ialah kas-kas dan tiada santan langsung dalam semua resepi, aku mahu konsep kedai dan iklan yang ada bulan bintang, 786 serta wujudkan keharuman daun rempah pada nasi lemak untuk menarik orang ramai.

Hampir 2 minggu aku berulang alik ke rumahnya dan aku turut menjemput seorang kawan bernama Azizi yang juga seorang chef sebuah hotel untuk masak satu resepi nasi tetapi resepi beliau terlalu 'rich' dan akan membuatkan orang ramai cepat jemu.

Dalam tempoh 2 minggu itu, kami diketawakan dan kadang-kadang dipandang semacam oleh ahli keluarga Pak Lang G kerana kami telah mengakibatkan keadaan dapur dirumahnya berselerak, Pak Lang G tinggal bersama kedua orang tuanya dan beberapa lagi ahli keluarga mereka.

Dalam 2 minggu itu, aku akhirnya berjaya mencipta resepi nasi lemak dan kari yang paling sesuai seperti yang kami inginkan, kami pada awalnya mahukan konsep dan nasi lemak seperti 'Nasi Lemak Ali' yang sangat popular di Kedah yang telah wujud sebelum aku dilahirkan dan kami berjaya.

Restoran tersebut kini masih gah dan memberi nama baik untuk Jerlun, siap dengan layar besar dan projektor serta ruang makan yang besar dan selesa hanya bermula dengan tapak beberapa kaki persegi sahaja dan menjadi bahan ketawa dan ejekan pada peringkal awal.

Kini, jika orang luar bertanya dari mana resepi Nasi Lemak Batu 9, kakitangan disitu akan menjawab tuan punya kedai mengupah seorang mamak untuk mengajar pada mulanya... mamak itu sebenarnya aku la.

Jika ditanya siapa tuan punya restoran tersebut, maka akan ditunjukkan ayah kepada kawanku sebagai pemilik, sememangnya sebagai kakitangan bank, Pak Lang G mengambil keputusan mendaftar perniagaan atas nama ayahnya.

Pada satu ketika, aku juga ada menunjuk ajar dan membuat set up untuk masakan barat untuk dipelbagaikan menu di Nasi Lemak Batu 9 tetapi apabila orang lain menyediakannya ia tidak begitu menjadi kerana masakan western memang nampak mudah, tetapi kawalan api dan seni ketika menyediakannya susah untuk ditunjuk ajar.

Nasi perkara berbeza kerana ayah Romzi biasa memasak nasi kawah kenduri dan dengan konsep yang diberi, nasi mudah disediakan cuma satu yang aku ralat dengan nasi lemak di Nasi Lemak Batu 9 kini ialah ianya tidak wangi seperti mula-mula dulu kerana Romzi tiada masa untuk mencari daun rempah yang akan mewujudkan aroma yang harum untuk nasi lemaknya seperti dulu.

Namun begitu, pelanggan masih ramai dan terus popular.

Aku amat bangga dengan Nasi Lemak Batu 9.

Namun tetapi, setelah beberapa bulan selepas Nasi Lemak Batu 9 beroperasi, aku mendapat mimpi yang buruk mengenainya.

Aku kemudian menceritakan mimpi tersebut pada seorang kawan yang aku panggil Bang Cik yang menetap dalam jalan zikrullah, pengamal tarekat dan tempat aku merujuk jika sesuatu perkara perlukan pendapat dan nasihat.

Beliau termenung sejenak setelah aku memberitahunya tentang mimpi itu, aku bermimpi kawah untuk memasak di Nasi Lemak Batu 9 telah dimasukkan lampin pakai buang yang sudah dipakai.

Selepas beberapa ketika, dia mengangkat kepala dan dengan perlahan dan tegas Bang Cik berkata "Cop, pesan dekat Pak Lang G, jangan lupa zakat. Apabila cukup setahun, akan terdapat hak orang lain yang berhak menerima zakat di dalam perniagaannya itu.

Jika tidak diasingkan hak tersebut, perniagaan Pak Lang G akan menjadi sukar kerana telah bercampur aduk diantara kepunyaannya dan kepunyaan orang lain dalam perniagaannya itu. Akan jadi susah untuk mengagihkan keuntungan kerana ada saham orang lain iaitu bahagian zakat kepunyaan penerima zakat dalam hartanya dan bila keadaan sudah jadi begitu, payahlah segala urusannya."

Mulai hari itu aku sentiasa berpesan dan berpesan kepada Pak Lang G. Pak Lang G memang tiba-tiba menjadi mewah, dalam beberapa bulan sahaja Pak Lang G telah dapat membeli sebidang tanah dari hasil perniagaannya.

Dia tidak pernah lupakan aku dan aku juga ikhlas berkongsi apa yang aku ada.

Genap setahun perniagaan Nasi Lemak Batu 9, aku sibuk dengan urusan aku dan aku tidak teringat mengenai zakat dan mimpi tersebut, Pak Lang G juga terlupa mengenai zakat dan hanya mengeluarkannya beberapa bulan selepas itu selepas dia menghubungi aku kerana tiba-tiba menghadapi kesulitan dalam perniagaannya.

Jualan adalah sekitar 16 gantang, menurun dari 26 gantang pada awalnya tetapi Pak Lang G jadi terlalu sibuk dalam urusan mengelolakan perniagaannya dan wang jadi tidak pernah cukup dan tidak lagi dapat disimpan dan masalah datang bertalu-talu.

Terdapat alasan lain yang menjadikannya begitu, sebuah dewan orang ramai didirikan di sebelah kedainya dan siap dengan tiang bendera UMNO dan nampak seolah-olah di dalam kawasan kedainya.

Entahlah, memang sikap sesetengah rakyat Malaysia yang mengambil kira perkara-perkara begitu amat menyedihkan aku.

Tetapi bagiku, ianya adalah sebab musabab yang ditentukan Allah yang berpunca dari kelalaiannya terhadap zakat seperti yang telah diberi peringatan.

Pak Lang G kini tidak pernah lupa membayar zakat tetapi dia tidak lagi semewah dulu seperti pada tahun yang pertama.

Aku kini telah mendapat jawapan, mengapa kedai makan mamak sentiasa maju dan jadikan mamak kaya raya. Tanyalah mana-mana mamak yang mengusahakan kedai makan, zakat adalah sesuatu yang paling diutamakan mereka. Apabila genap tempoh untuk berzakat, mereka akan mencari orang-orang susah atau pergi ke pondok-pondok pengajian agama untuk mengeluarkan zakat secara terus.

Itulah kelebihan mereka, perniagaan mereka bertambah makmur dan maju dari masa ke semasa.

7. Milan, City Of Fashion


Perjalanan perantauan seorang diri di London kali ke dua amat berbeza sekali dari sebelum ini. Aku mendapat pekerjaan pada hari pertama aku jejakkan kaki ke sana. Sebaik tiba lebih kurang pada waktu asar, aku terus membeli tiket ke kota London dan travel pass untuk seminggu berharga 16 pound. Aku terus ke Malaysia Hall dan terus bertanyakan Abang Azhar, yang menguruskan kantin di Malaysia Hall ketika itu.
Aku dimaklumkan Abang Azhar berada di 'selasih Restaurant' di Seamour Place tidak jauh dari situ.
Sampai di Selasih, aku minta untuk berjumpa dengan Abang Azhar dari seorang pelayan berbaju kurung yang nampak sombong tetapi kemudiannya sangat rapat dengan aku. Namanya Masni dan aku agak terhutang budi dengannya kerana telah membuka beberapa jalan untuk aku. Sebaik aku menemui Abang Azhar, aku segera melontarkan sebaris ayat yang telah aku karang dari tadi lagi "Abang At, Saya baru sampai dan nak minta Bang At bagilah apa-apa kerja, gaji tok sah bagi, cuma bagilah saya makan dan tambang untuk datang kerja". Abang At kelihatan serba salah dan memberitahuku bahawa dia sebenarnya tak perlukan pekerja tetapi untuk makan minum dan tambang dia tak ada masalah untuk memberi aku peluang. Dia bertanya samada aku boleh memandu dan tahu jalan di London dan aku terus mengaku boleh. Dia perlukan aku untuk membantu mana-mana bahagian yang perlu dibantu, samada di dapur, sebagai pelayan, kerja-kerja am atau penghantaran.

Aku minta izin untuk pulang ke rumah kak Zaherah kerana hari telah gelap lagipun aku mula rasa letih kerana baru tiba, di Malaysia waktu itu lebih kurang jam 5 pagi.
Selepas 3 hari aku bekerja, Abang Azhar memanggil aku dan menawarkan gaji sebanyak 300 pound untuk aku terus bekerja disitu. Aku percaya dan yakin, jika aku menunjukkan sikap dan khidmat terbaik pasti Abang Azhar menawarkan aku pekerjaan. Ya lah, dalam 3 hari itu, aku telah diuji dengan berbagai tugasan, aku telah mengemas dan membina rak untuk barang-barang dapur di stor, aku juga cekap membaca buku peta A-Z dan berjaya membuat beberapa penghantaran dengan kereta dan motosikal ke alamat yang diperlukan dan pengalaman aku memasak dan pengurusan restoran pasti akan beliau kagumi pada fikiran aku. Strategi aku berjaya nampaknya dan gaji 300 pound seminggu agak baik pada aku. Aku hanya perlu bayar tambang 16 pound, aku makan dan bawa balik makanan dari restoran, aku tidak perlu bayar sewa bilik kerana Kak Zaherah minta aku buatkan karipap untuk dihantar ke beberapa restoran melayu di London termasuk Malaysia Hall. Aku juga membantu Abang Lani yang juga tinggal di rumah Kak Zaherah mencucuk satay. Abang Lani adalah anak saudara kepada Haji Samuri, tauke Satay Kajang yang popular di Malaysia. Abang Lani datang ke London bersama ayahnya iaitu abang kepada Haji Samuri membuka restoran satay di london suatu ketika dulu tetapi tidak berjaya. Beliau tidak pulang ke Malaysia dan terus menetap di London membekal satay kepada restoran di seluruh London selain menjawat jawatan tetap dengan Malaysia Airline. Abang Lani dan Kak Zaherah adalah antara orang lama di London yang telah tinggal lebih 20 tahun disana dan nampak berjaya serta dapat memiliki hartanah dan perniagaan di London. Orang Melayu di London sangat rajin dan gigih bekerja dan begitu juga aku ketika disana. Aku bekerja di Selasih dan pada waktu restoran ditutup antara jam 3 hingga 6 petang aku akan berlari ke Stesen Edgware untuk ke sebuah restoran KFC yang terletak bertentangan dengan Harrold's Department Store milik keluarga Al Fayed, antara orang Islam yang terkemuka di London. Di KFC, 2 lelaki berbangsa Cina berasal dari Malaysia yang menetap di Hong Kong akan menunggu aku dan beberapa orang lagi untuk tugasan membeli barangan mewah berjenama dari seluruh butik Louise Vuitton dan Prada di London.

Dalam passport, aku bernama Yusoff Zaky bin Omar dan aku telah menulis nama keluarga menjadi Yusoff, Zaky, Bin atau Omar dan mengubah-ubahnya ketika mendaftar untuk membuat pembelian dan aku dapat membeli beberapa kali di sesebuah butik. Aneh sekali, barangan mewah jenama LV atau Prada tidak dijual sembarangan, pendek kata walau berapa banyak wang pun dimiliki hanya 2 atau 3 barangan yang dapat dibeli, itupun bukan model yang sama dan pembeli akan didaftarkan. Aku mengambil wang tunai sebanyak 2000 pound setiap kali dan akan mengambil lagi wang jika aku masih mempunyai masa untuk membeli dan aku dibayar sebanyak 7% dari jumlah yang aku belanjakan . Aku dikenalkan kepada lelaki Cina yang sentiasa membawa beg hitam yang penuh dengan wang itu oleh Masni yang bekerja di selasih dan sehingga kini beliau masih berada di London. Aku mendapat banyak wang dengan tugasan tersebut, bayaran sehari sama seperti seminggu aku bekerja di Selasih. Tidak semua orang dapat melakukan kerja tersebut dan setiap orang ada hadnya kerana apabila nama sudah didaftarkan maka tidak akan dapat membeli lagi di butik yang telah didaftar. Setelah habis semua butik LV dan Prada di London aku masuk, aku menukar strategi dengan berpakat dengan pramugari yang baru tiba di London. Aku tahu mereka akan menetap di Kensington Hilton dan aku cuma perlu bercakap dengan kapten dan menyediakan kenderaan. Aku juga pernah dihantar oleh lelaki Cina tersebut ke Milan, Itali untuk membuat tugasan yang sama.

Malangnya, ramai juga orang Melayu yang sering berkumpul di Malaysia Hall telah membuat andaian yang negatif terhadap kami sehingga sebuah artikel bertajuk "Sindiket Seludup Barangan Mewah; Rakyat Malaysia Disyaki Terbabit" oleh Azizi Othman dari London telah disiarkan di akhbar Berita Harian di Malaysia separuh muka surat. Azizi merupakan wartawan Berita Harian yang bertugas di London dan beliau telah diberi maklumat yang tidak tepat oleh mereka-mereka yang cemburu dan tidak puas hati dengan kesenangan kami.
Di Itali, aku sekali lagi membuat kejutan, aku dapat membeli barangan Prada dengan banyak sekali kerana aku tiba-tiba terfikir untuk menunjukkan keratan akhbar Star yang menyatakan aku akan memfrancaiskan perniagaan pizza yang sememangnya dari Itali. Rupa-rupanya, pengurus sebuah butik Prada di Milan itu telah yakin bahawa aku mencari sesuatu sebagai cenderamata kononnya untuk seminar francais yang akan aku adakan di Malaysia.
Aku bertindak demikian setelah hampir putus asa kerana pada awalnya, aku telah dihalau dari butik Prada yang terletak di Domme. Ianya hampir mematahkan semangat aku kerana itu adalah butik yang pertama aku masuk.
Mata wang Lira yang digunakan di Itali sangat menyukarkan aku ketika disana dan kerap kali aku jadi keliru, bayangkanlah aku diberi 5 juta Lira setiap kali aku keluar untuk membeli barangan yang diperlukan.
Keadaan di Itali amat menakutkan dan sungguh berseni. Suasana seluk saku di depan mata adalah perkara biasa tetapi orang ramai tidak sempat berbuat apa-apa kerana ianya dilakukan dengan begitu pantas dan cekap. Bangunan-bangunan lama dan jalan daripada bongkah batu berusia ratusan tahun amat mempersonakan. Penduduknya yang cantik dan ramah membuatkan aku terasa mahu tinggal lama di sana. Jualan kraf di tepi-tepi jalan dijual dengan harga yang sangat murah. Dapat dilihat bermacam-macam aktiviti seni di sepanjang jalan utama. Kebanyakan orang di sana berbasikal atau berjalan kaki. Ruang pejalan kaki berhampiran domme adalah seluas lebuhraya 6 lorong dan penuh dengan orang-orang yang melepak dan tidak bekerja, suasana yang perlahan di Milan adalah sangat berbeza dengan keadaan di London dimana semua orang akan berlari-lari kesana kesini. Kata seorang teman "Patutlah bontot orang putih sentiasa nampak mengancam, sehari suntuk asyik jogging."

Di Italy, aku sukar untuk mencari makanan. Tiada restoran Islam dan aku hanya makan roti dan tuna cuma sekali aku dibawa makan seafood oleh Mr Ong, boss kepada 2 lelaki tukang bawa bag berisi wang yang datang dari Hong Kong ketika kami di Italy.

Wednesday, April 8, 2009

6. Cinta Sebelum Pandang Pertama

Aku tak tahan dengan Aida yang asyik cari pasal sejak kebelakangan ini. Dia kerap menangis sendiri dan aku tahu ianya disebabkan anak-anak, kehidupan yang tak tentu arah dan keadaannya yang berbadan dua. Gatal-gatal dan kesakitan seluruh badan kerana cuaca sejuk juga menjadi penyebab anginnya yang tidak tentu arah. "Jom balik" aku sengaja ingin melihat reaksinya dan dia tidak langsung menunjukkan respon dan terus melarikan diri dari memandangku. "Kemaskan barang, kita balik" dan aku pun segera bangun menuju ke bilik kami yang tidak mempunyai tingkap terletak di tingkat bawah di rumah Kak Zaherah untuk berkemas.

Setelah memasukkan pakaian kami ke dalam beg, aku mengajak Aida keluar ke kota London untuk membuat pengesahan tiket. Malam itu jugak kami terbang ke Malaysia dan Kak Zaherah agak terkejut apabila aku memberitahunya melalui telefon. Aida hanya menurut dan terus diam seribu bahasa. Aida seorang perengus, garang dan dengan tubuh 'besar ragam' seperti kata orang Kedah dia kelihatan seperti seorang anggota tentera.
Ketika itu aku baru 2 tahun lebih mendirikan rumahtangga dengannya dan aku telah bercerai 2 kali dan rujuk kembali dengannya dan kali ini adalah muktamad dan apa yang berlaku, aku tak akan melepaskannya. Aku tak sanggup menentukan nasib anak-anakku sebagai anak-anak yang tdak mempunyai ayah dan ibu bersama mereka. Apa pun berlaku, aku akan pekakkan telinga dan mematikan emosi dan perasaan untuk bersabar dan redha walau apa pun yang dihadapkan pada aku dengan sikapnya.
Dengan Aida, aku tidak sempat bercinta macam orang lain. Aku bertunang setelah 2 minggu mengenalinya dan 2 minggu selepas bertunang kami terus berkahwin. Selepas bertunang kami tiba-tiba tidak boleh bertentang muka satu sama lain. Pada malam perkahwinan, aku seperti mahu melarikan diri tetapi salah seorang sepupuku, Mukhtar memberi nasihat untuk aku meredhakan takdir.
Sebelum bertunang, aku dan Aida seperti tidak boleh berpisah dan dia amat sangat menggembirakan aku dan aku menurutnya adalah lelaki yang dia inginkan sebagai suami. Memang kami dilamun cinta dan aku telah jatuh cinta sebelum pandang pertama, hanya selepas mendengar suara. Beliau seorang penyanyi, pernah menyanyi di Kuala Lumpur di sebuah hotel terkemuka dengan artis yang pernah popular di Malaysia, Syed Sobri dan pernah 2 tahun menyanyi di lobby lounge, Delima Resort, Langkawi. Ketika itu aku adalah ketua jabatan HR untuk Kedah Resort Sdn Bhd sebuah syarikat milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah yang mentadbir SP Inn dan Gunung Jerai Resort. Aku mempunyai masalah ketiadaan penyanyi di coffee house dan Philip yang bermain muzik di situ mencadangkan aku untuk memujuk Aida untuk menyanyi. Menurut Philip, Aida pada masa itu bekerja sebagai kerani di Team Concept, sebuah kilang di Sungai Petani dan meminta aku menghubungi ibunya. Aku segera meminta operator menyambungkan aku ke COB dan aku dapat bercakap dengan Aida pada petang itu. Suaranya memang menawan tetapi malangnya Aida menolak pelawaanku. Aku meminta alamat Aida dari seorang kakitanganku, rupanya ramai yang mengenalinya dan Aida pernah menyanyi di SP Inn suatu ketika dulu.
Aku ke rumah Aida untuk memujuk ibunya untuk memujuk Aida pula. Menurut Philip, ibu Aida perlu ditemui kerana beliaulah yang menyusun dan mengatur persembahan untuk Aida. Aida sebenarnya tidak suka membuat persembahan tetapi selalu akur dengan ibunya. Keluarganya adalah keluarga seni, ayah dan adiknya seorang pelukis, abang dan ibunya boleh bermain muzik dan mungkin sebab itulah yang membuatkan aku dan Aida seperti ditakdirkan bersama, darah seni. Selepas 2 minggu Aida menyanyi di SP Inn, kami mengikat tali pertunangan dan ianya berlaku seperti dipukau. Selepas bertunang, Aida menyatakan hasrat untuk tidak mahu lagi menyanyi dan dia mengaku dia suka menyanyi tetapi tidak suka membuat persembahan. Rupa-rupanya selama ini dia lakukan atas kehendak ibunya. Selepas berkahwin Aida menyatakan hasrat untuk bertudung dan aku seperti terkejut dengan perubahan-perubahan besar yang aku tidak sangka. Kami masing-masing mempunyai rahsia dan rahsia-rahsia itulah yang mengganggu hidup kami dan mengacau ketenteraman perkahwinan kami.
Malam itu kami pulang ke Malaysia dan aku membeli sebotol ubat batuk di sebuah farmasi di Heathrow dan menelan kesemuanya selepas menghabiskan makan malam di atas kapal terbang. Aku mahu tidur kerana tidak sanggup berada 13 jam di atas kapal terbang dengan Aida yang terus-terusan bermuka masam.

Aku sempat membuka sebuah gerai menjual Pizza ketika di Malaysia sebelum menyerahkan kepada saudaraku bernama Razman untuk diuruskannya setelah gerai tersebut mempunyai peminat-peminat yang tersendiri dan diakui keenakkannya dan sangat popular di Alor Star ketika itu. Hasil dari gerai tersebut sedikit sebanyak dapatlah memberikan sedikit pendapatan untuk isteri dan anak-anakku yang sekarang ini tinggal bersama ibunya. Setelah Aida melahirkan Nada Kamila, aku kembali ke London seorang diri buat kali kedua dan pemergian ku kali ini jauh berbeza perjalanannya. Perjuanganku masih belum selesai dan aku terpaksa meneruskannya walaupun terpisah dan berjauhan lagi dengan semua.

Tuesday, April 7, 2009

5. Aida Sesat Di London

Gaji aku pada minggu yang pertama tidak penuh cuma 160 pound tetapi cukuplah untuk membuatkan aku bernyawa kembali. Aku terus menelefon Aida dan minta dia menaiki tube ke Edgware dan aku akan menunggunya di Malaysia Hall. Aida pada mulanya agak keberatan kerana beliau tidak biasa berjalan seorang diri lagipun untuk ke kota London, tren harus ditukar di New Cross dan untuk membuat pertukaran tren ke tube, perlu berjalan agak jauh melalui subway.
Jam hampir 9 malam dan sudah hampir 3 jam aku menunggunya di Malaysia Hall dan Aida masih belum muncul. Aku menelefon ke rumah tetapi kata Diman Aida sudah keluar sejak jam 4 petang dari rumah.
Aku berjalan ke Marble Arch, menunggu tempat orang ramai berpusu-pusu keluar dari stesen. Setiap 3 hingga 5 minit di setiap platform, tube akan muncul dan beribu-ribu orang akan keluar dan masuk ke dalam tube dan apabila tube beredar, suasana jadi sunyi sepi kerana tidak ada seorang pun manusia yang kelihatan kecuali aku dan dalam beberapa saat orang ramai mula masuk memenuhi platform bawah tanah.

Kadang-kadang terdapat pemuzik jalanan yang bermain alat muzik yang pelbagai untuk mencari sesuap nasi di subway atau platform tetapi hari itu aku hanya keseorangan.
Aku kembali naik ke jalan besar daan kembali ke Malaysia Hall dan dari jauh Aida kelihatan sedang duduk di tangga hadapan dan beliau nampak cemas dan kepenatan.
Aida telah tersilap menaiki tube dan telah pergi ke Edgware yang lain, katanya di luar London. Rupa-rupanya terdapat 8 Edgware Road di seluruh UK iaitu di Paddington, Barnet, Harrow, Nottingham, Birmingham, Essex dan Gateshead selain Edgware Road di Greater London yang aku maksudkan. Nasib baik masih ada sedikit wang kerana ketika aku mendapat kerja, kami telah meminjam 50 pound dengan menggadaikan gelang tangan emas kepunyaannya kepada seorang pelajar Malaysia yang pernah datang ke rumah Kak Zaherah.
Sebaik aku memanggil namanya, Aida bingkas bangun dan meluru ke arah ku. Aku memeluknya dengan erat dan penuh kasih sayang dan menciumnya berkali-kali, walaupun baru beberapa minggu di london kami sudah seperti orang putih yang tak tahu menyembunyikan kasih sayang atau menghiraukan orang ramai untuk melahirkan kasih sayang. Di Malaysia, aku tidak pernah dapat mencium Aida di khalayak ramai, pernah beberapa kali mencuba tetapi aku akan dimarahinya. Itulah yang aku rindukan tentang London, cinta antara kami amat hebat dan nyata.
Malam itu kami pergi menonton 'Titanic' yang telah ditayangkan hampir 2 bulan di sana. Keadaan sejuk di lautan dalam 'Titanic' begitu terasa dan sungguh menakutkan kerana keadaa sejuk di London begitu menyakitkan, terasa hingga ke tulang. Sayang sekali pawagam yang begitu hebat dan cerita yang amat menyentuh rasa, terganggu dengan bau satu pasangan 'orang putih' yang duduk berhampiran kami. Bau hanyir dari mereka amat meloyakan.

4. Stokin Lencun Berdarah Dan Tangan Terhiris Dengan Berpuluh Kelaran.

Duit sudah habis digunakan untuk makan, beli travel pass dan kad telefon. Dah minggu ke tiga di London. Setiap hari keluar cari kerja kerana Dato' yang kata nak buka restoran tu tak jadi nak buka. kak Zaherah pun dah pandang kami semacam saja. Setiap hari aku keluar cari kerja, masuk dari satu kedai ke satu kedai di sepanjang Edgeware Road, Sussex Gardens dan Bayswater Road iaitu jalan yang berhampiran dengan Malaysia Hall serta di merata-rata kawasan sekitar stesen Paddington, Marylebone, Baker Street, Regent's Park dan Bayswater. Selalunya aku akan menaiki keretapi dari Brockley dan bertukar menggunakan keretapi bawah tanah yang dipanggil 'tube' di New Cross sebelum bertukar menggunakan City Line dan destinasi aku yang pertama ialah Marble Arch atau Edgware Road dimana aku akan dapat berjalan kaki ke Malaysia Hall. Malaysia Hall ialah pusat orang Malaysia dan di sana terdapat tempat makan dengan harga yang sangat murah. Semua tempat-tempat yang aku masuk untuk bertanyakan kerja akan meminta permit atau kad insuran dan sudah pasti aku gagal. Hari tu aku keluar jalan kaki dari Brockley, rumah Kak Zaherah, hari tu hari jumaat dan aku belum tahu di mana boleh aku solat jumaat hari tu. Travel Pass dah expired, jika tidak aku dan isteri bebas menaiki apa-apa public transport samada tube, train atau bas di seluruh zone 1 dan 2. Pagi tu aku keluar awal pagi tinggalkan Aida di rumah. Dia tak sihat, sedang mengandungkan anak kami yang ke tiga, Nada Kamila. Seluruh badannya jadi gatal-gatal kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk yang melampau. Dia teringatkan anak-anak dan begitu juga aku. Terasa hendak pulang segera tetapi hendak ke airport pun kami sudah tidak mampu. Aida ada tanyakan Diman, seorang pelajar yang kami kenal yang selalu tinggal di rumah Kak Zaherah, untuk pinjamkan kami 20 tau 30 pound tapi dia tak dapat menolong. Di London, hendak belanja satu pence pun kena fikir banyak kali. Telur, roti atau keperluan mempunya harga seperti 87 pence atau 23 pence.. satu pence seolah-olah satu sen di Malaysia nilainya. Mana ada Telur 87 sen di Malaysia, 85 sen atau 90 sen.. satu sen di sini tak main la kecuali untuk bayar letrik.
Sudah hampir 10 km aku menapak menyusuri lorong-lorong sunyi dengan jalan yang berbukit-bukit, penat dan lenguh lutut tapi peluh haram setitik pun tak ada, aku rindukan peluh hidung seperti yang kebiasaannya wajib ada pada aku.. aku jenis hidung berpeluh. Orang kata cemburu, tapi Aida di rumah hanya bersama Diman, jika di Malaysia wajib aku tak kan biarkan tapi di London berkongsi rumah lelaki dan perempuan tak langsung jadi perkara yang serong, tetapi bukanlah berkongsi bilik. Sebuah rumah akan dikongsi beramai-ramai lelaki dan perempuan.
Aku sampai ke Peckham, sebuah pekan kecil yang banyak orang kulit hitam dan aku masuk ke sebuah kedai daging muslim dan bertanya masjid yang berhampiran. Dia memberi petunjuk melalui buku peta London A to Z yang sentiasa aku bawa. Buku London A to Z telah menjadi kemestian kepada penduduk London dan di setiap motosikal akan ada pemegang peta hadapan motosikal seperti pemegang nota lagu pemuzik orkestra.
Masjid kecil yang tidak berkubah terletak di lorong belakang Peckham dan kelihatan dua orang lelaki sedang memegang bucu kain serban di pintu masuk masjid dan didalam kain serban itu penuh dengan wang yang didermakan oleh orang ramai. Di Malaysia kebanyakan orang memasukkan syiling ke dalam kotak derma tetapi masyarakat Islam di London akan menetapkan 5 atau 10 persen dari pendapatan untuk derma masjid. Aku sempat menjenguk dan kelihatan wang kertas yang digulung-gulung bertimbun dalam kain serban yang ditadah oleh lelaki tersebut. Masyarakat Islam sangat dihormati di London kerana kebanyakan peniaga adalah orang Islam dan banyak gereja-gereja telah dibeli oleh pertubuhan Islam dan yang paling banyak membeli dan menubuhkan masjid ialah kumpulan tarekat Naqshabandi yang diimamkan oleh Syeikh Nazim. Pertubuhan tersebut amat aktif berdakwah secara amat berkesan dan beribu-ribu orang telah diislamkan di Britain setiap tahun. Penghayatan roh Islam yang dititikberatkan kumpulan tarekat ini amat mempersonakan orang Britain kerana mereka memelihara akhlak dan tutur kata dan amat ketara kasih sayang bukan hanya sesama Islam malah semua manusia dan juga semua makhluk termasuk binatang. Britain akhirnya terpaksa mengadakan akta untuk mengawal ubahsuai bangunan warisan bagi menghalang salib pada gereja dibuang.
Ketika hendak menanggalkan kasut aku terkejut dan hairan mengapa stokin menjadi merah, rupa-rupanya aku tak sedar kerana kebas kesejukan, kaki telah berdarah kerana melecet akibat berjalan. Apabila kebas aku tak dapat mengawal hubungan kaki dan kasut hitam keras yang aku pakai dari melecet.
Selepas sembahyang aku meneruskan perjalanan yang tidak tahu ke mana dan aku berdoa aku akan dapat apa-apa pekerjaan pada hari itu dan perut aku berkeroncong. Seorang lelaki yang melihat aku berjalan keluar dari masjid menegurku. Aku perasan dia adalah lelaki yang melihat stokin aku yang lencun berdarah. Aku menumpang keretanya sehingga ke Queensbay dan aku kedai yang pertama aku masuk ialah ke sebuah salon rambut yang dimiliki oleh Michael yang jelas kelihatan lembut dan aku yakin dia seorang gay. Aku rasa beliau tertarik dengan aku dan dia menawarkan aku pekerjaan sebagai aperantis di kedainya. Buat permulaan aku akan diberikan tugas membersihkan kedai dan akan diajar untuk mengurut pelanggan-pelanggan salonnya. Aku diminta datang awal pagi besok dan sebaik saja keluar dari kedai Michael, aku melompat kegembiraan dan terus mencari pondok telefon untuk menyampaikan berita itu pada Aida.
Aku terasa sangat lapar tetapi untuk makan aku perlu sekurang-kurangnya 3 pound untuk beli makan kebab di tepi jalan. Telefon diangkat oleh Kak Zaherah dan dia memberitahu aku untuk pergi ke alamat yang beliau beri terletak di Holland Park kerana dia akan membawa Aida ke sana untuk bertemu dengan seorang rakannya yang datang dari Malaysia. Sekali lagi aku merasa lega kerana aku sudah tidak mampu lagi untuk berjalan kaki balik ke Brockley. Aku memerhati peta dan mengatur langkah menuju ke Holland Park. Aku melalui Bayswater Road menuju ke Notting Hill Gate dan menyusuri Holland Walk merentasi kawasan lapang yang menghijau dengan hiasan pokok-pokok tidak berdaun kerana waktu itu musim luruh.

Aku bercadang untuk pergi ke Stesen Olympia kerana ianya stesen yang paling hampir dengan alamat yang diberikan Kak Zaherah. Apabila melalui Russell Road, sebuah lorong kecil berhampiran Olympia, kelihatan sebuah restoran bernama 'Alounak' dan aku lihat orang ramai sedang beratur sehingga ke luar kedai. Aku mendekati restoran tersebut dan hati tertarik untuk mengetahui kehebatan restoran tersebut sehingga orang ramai beratur hingga ke luar. Aku masuk ke dalam kedai dan terus ke kaunter bertanya jika ada jawatan kosong dan 2 orang lelaki Iran yang duduk berhampiran kaunter memanggil aku dan terus bertanya samada aku mencari pekerjaan. Aku mengangguk dan dia bingkas bangun dan menyuruh aku mengikutnya. Dia ialah tuan punya restoran tersebut, berumur 30an, kelihatan agak rugged dan bermain-main dengan tasbih di kiri tangannya. Aku mengikutnya menuruni tangga ke bawah tanah dan ditunjukkan tempat membasuh pinggan dan aku diminta terus bekerja. Aku diminta memilih mana-mana makanan di dalam menu oleh seorang pelayan yang turun membawa menu dan aku memilih shikh kebab, fillet daging panggang dengan nasi pilau. Selepas seketika seorang pelayan itu turun kembali membawa makanan yang aku pesan. Aku berasa sangat pelik kerana diminta memilih makanan dari menu kemudian makanan yang disediakan di dapur bawah tanah dihantar melaui lif kemudian dibawa turun oleh pelayan. Rupanya semua kakitangan di Alounak akan dihidang dengan sajian dengan hiasan makanan seperti yang dipesan oleh pelanggan dan aku kagum dengan keadaan itu. Apabila aku menyuap nasi dan daging kedalam mulut, tak dapat aku gambarkan bagaimana sedapnya huidangan itu dan sehingga kini aku masih lagi belum berjumpa makanan sesedap itu dimana-mana di dunia dan jika aku ada wang yang banyak, aku sanggup terbang ke London untuk menikmati fillet daging kambing yang diperap dengan yogurt dan keenakan nasi yang dikukus dengan minyak daging dan perahan lemon.
Malam itu, selepas habis kerja aku bergegas ke alamat seperti yang diberikan Kak Zaherah.
Selepas menekan butang interkom dan mengadap kamera kecil untuk memperkenalkan diri, pintu hadapan dibukakan kunci dan apabila aku masuk ke dalam ruang lobi pintu lif terbuka dan kelihatan Aida dan Diman keluar dari lif. Aida berlari mendapatkan aku, aku memeluknya dan dia mencium tanganku. Aida tiba-tiba menjerit terkejut kerana mendapati tangan aku terdapat kelaran seperti dihiris-hiris dengan mata pisau di seluruh belakang tapak tanganku. Aku membelek-belek kesan luka yang tidak langsung aku sedar itu kerana kebas. Aku membuat andaian kesan luka itu ialah kesan aku mencuci pinggan di Alounak. Di Alounak aku seorang diri mencuci pinggan, periuk dan semua peralatan dapur dan hidangan. Bayangkanlah bagaimana pantas aku terpaksa mencuci semua itu kerana pelanggan sangat ramai dan nasi dimasak tidak kurang 20 bag 10 kilo dan tiada mesin pencuci dan dalam keadaan yang sangat kalut itu aku dikehendaki mengupas 2 guni bawang dan mengisi sejenis minuman yang dipanggil 'douh' iaitu yang dihasilkan dari sejatan yogurt kedalam botol-botol kecil. Aku dan seorang kakitangan lain yang menyediakan 'starter' dikehendaki mengangkat bag-bag plastik yang mengandungi sisa makanan tidak kurang 20 bag besar ke kaki lima restoran dari dapur bawah tanah melalui tangga kecil yang curam. Mujurlah sampah-sampah dan sisa makanan tidak akan busuk kerana udara London seperti peti sejuk dan lalat adalah serangga yang sangat asing di London. Aku basah kuyup kerana malam itu dan aku tidak memakai apron dan sarung tangan. Namun aku gembira kerana telah mula bekerja. Pendapatan aku 250 pound seminggu kira-kira RM2000 ketika itu.