Monday, June 23, 2014

Episod

Ianya kau perlu dicari
Cari dan ketemukan tak kira apa bangsanya 
Sandaran bertali berjabat 
Kuncinya ada pada Bagimda Rasul 
Yang membawa berita gembira

Walau seinci perjalanan, aku redha pemergian mereka
Andai sebelum aku perginya mereka                                                                                                                                                                                                                                                                                                                        
Hadir tatkala pintu kau kunci rapi
Ketika pancaindera tak terhubung lagi
Ketika itu seluruhnya dengan Dia segala isi

Kegembiraan itu yang aku mahu beri
Kepada kedua kamu dalam episod terakhir ini

Tiba-tiba aku disoal mananya arah gembirakan mereka
Bagaimana diiramakan pesan dan lenguknya sabar untuk akhiri ini sebenarnya
Untuk mereka dan kegembiraan mereka tujuan itu kembalinya kita
Tapi mengapa persoalkan gembira yang mana mahunya, di sini atau di alam kemudian di sana

Berepisod lagi kita yang pasti kerana jasad masih di sini
Bukan hafal tapi pertajamkan lagi hidup dengan baca, faham dan pasti
Jangan pula disempurnakan disini, disana tak punya apa-apa lagi
Kerana pertahankan rasa, biar mati kelaparan biar reput keperluan, jangan dijual apa pun milik untuk bangga di sini

Gembirakan mereka untuk hanya sebelum mati?
Kebahagian untuk mereka hanya ketika disini?

Jika ianya hanya harta benda yang hebat diperbangga
Jom kita semadikan sekali nanti bersama jasad mereka buat bekal di sana

Anak-anakku
Nanti aku kan tempuhi juga alam tua seperti mereka
Mungkin juga rabun dan memandang pada yang berkilau semata
Jangan kau dekati aku melainkan ini ada di dada
Jangan asyikkan aku dengan kecantikan kamu di dunia
Sentiasa ingatkan aku jika antara kamu ada yang sukar hidupnya
Ianya kan menghalangku untuk bahgia di sana, jika di sini tak hadir kasihan akan keperitan hidupnya.



Yusoff Zaky Omar
Buat aku dan saudara-saudaraku,juga anak dan isteri kami semua


Saturday, May 10, 2014

Pahlawan Dari AlQuran


Sudah 5 hari aku bersendirian di dalam bilik ini, menghadap tingkap yang begitu setia memaparkan apa jua yang aku ingin rujuk samada melalui fail yang tersimpan dalam cakera dalaman atau melalui bantuan google. Akhirnya selesai juga aku merangka sebuah permainan berbentuk simulasi dari dasar Al-Quran untuk sebuah perisian android yang akan dimuatkan dalam laman Waktu Solat Softnet sebagai pilihan muat turun perisian lain yang dibangunkan oleh Softnet.
Aku mula memikirkan nama-nama yang sesuai antara lain ‘Pahlawan dari Al Quran’ ‘Al Quran Life Simulator’ ‘Al Quran Financial Simulator’ yang boleh menggambarkan sebuah simulasi kewangan berdasarkan ayat Allah tentang kitaran ekonomi dan hemah hidup dari intipati Al Quran yang akan menjamin kekuatan kehidupan seorang muslim yang sentiasa dalam peperangan di Qulbi untuk terus maju, sekurang-kurangnya ketika menghembus nafas terakhir , nafsu kita dapat sampai ke martabat nafsu mutmainnah yang selamat dari api neraka.
 Mengenai kewangan dalam Islam, telah begitu jelas sekali kita umat Muhammad SAW ditunjukkan jalan tanpa keajaiban kesaktian yang menjadi fungsi penting dalam pembangunan Islam melainkan kewangan yang menjadi pedang penentu kekuatan.
 Ketika menerawang memikirkan tentang nama perisian, sambil tangan galak menyelak khutub khanah google yang merupakan medium Iqra terbesar zaman ini, aku terhenti pada update harga tanah di Bukit Damar yang telah mencecah RM40 sekali persegi, aku agak terkejut kerana harga yang aku tulis dalam blog ini pada tahun 2011 adalah RM23.
Untuk kepastian aku menghubungi Zakuan, Pengurus Besar Bukit Damar Properties dan harga tersebut benar.
 Tanah Bukit Damar adalah antara contoh senario kewangan sebenar yang dimuatkan dalam SCHOOL OF LIFE™ dan yang telah membuktikan kekuatan dasar simulasi menurut AlQuran iaitu keputusan kewangan dalam iklim ekonomi yang mempunyai kitaran yang pasti.
“Tindakan tepat memberi hasil yang sangat hebat, beli ketika murah jual ketika harga melambung, ketika orang ramai berebut-rebut nak membeli.” Itulah prinsip ringkas yang memberi kejayaan besar Dato’ Hj Zamri bin Hashim yang juga antara penyumbang dalam perkongsian ilmu dalam penerbitan senario untuk SCHOOL OF LIFE™.
 .
Dato’ Hj Zamri bin Hashim, Pengarah Urusan Bukit Damar Properties bersara pada 1hb Julai 2012 ketika berada dalam kedudukan yang sangat selesa bagi seorang PTD iaitu Gred M54 sebelum ke jawatan utama sektor awam JUSA. Keputusan pilihan persaraan di usia yang masih muda, di awal 40an selangkah ke JUSA yang agak berbeza dengan pilihan ramai menggambarkan beliau bukan hanya memiliki kualiti intelektual yang tinggi malah kekuatan emosi beliau juga kuat.
Seperti yang digariskan dalam SOL, kekuatan emosi adalah faktor kejayaan dalam sesuatu bentuk pelaburan dan ini jelas dibuktikan dalam contoh Bukit Damar dimana pada awal perjalanan meniti kejayaan, ketika mengusahakan pembelian tanah-tanah terbiar hutan kelapa sawit yang tak diusahakan di Bukit Damar, beliau mengalami ujian kekuatan emosi dengan pelbagai tentangan malah diketawakan oleh rakan-rakan.
Namun pengamatan Iqra beliau terhadap potensi lokasi Bukit Damar yang bersempadan dengan Putrajaya dan Cyberjaya, beliau tidak gentar, malah dengan yakin meneruskan usaha membeli dan menjadikan lot-lot kecil sehinga kini semakin rancak penjualan dan pembelian seolah-olah produk dagangan kerana rata-rata pembeli yang kebanyakan mereka eksekutif Melayu membeli lebih dari satu lot dan menganggap ianya merupakan satu instrument pelaburan yang sangat terjamin.
 Kini melalui proses pembelian tersebut, Dato’ Hj Zamri telah berjaya mewujudkan 100 jutawan Melayu untuk turut serta merebut pelbagai peluang dalam kepesatan pembangunan ekonomi di Malaysia.
Dengan harga yang mencecah RM40skp kini, ianya bukan lagi berharga RM60skp seperti harga ramalan dalam post sebelum ini malah ianya mungkin mencecah RM80skp apabila kerajaan mula membina jalan-jalan utama menghubungi Cyberjaya ke Bukit Damar dijangka pada tahun 2016. 
Bagi saya Dato’ Hj Zamri tetap seperti dulu, masih mengutamakan ibubapa dalam apa jua perkara, masih ringkas dengan jeans dan kemeja T dengan gaya percakapan yang tidak mengizinkan kehadiran walau seinci jurang apabila beliau bersama kawan-kawan di kampung seperti merahsiakan gelaran Dato’ yang beliau miliki.
Jika perisian yang diadaptasi dari SCHOOL OF LIFE™  ini namanya ‘Pahlawan Dari AlQuran’ , Dato’ Hj Zamri adalah bukti hidup yang boleh aku berikan  gelaran itu.
Seorang pahlawan dari segi kewangan dengan hemah hidup AlQuran.
Syabas sahabat!!

Tuesday, September 20, 2011

Melihat Bukit Damar Dengan Iqra

Jika dilihat pada bahagian penghargaan Brain Teaser SCHOOL OF LIFE™ nama Zamri bin Hashim agak janggal kerana tersenarai bersama Dato' dan Tan Sri dan VVIP lain di laman belakang.

Siapa Zamri bin Hashim atau Haji Zamri?

Dengan bangganya saya ingin maklumkan, beliau adalah rakan saya sejak kecil, beliau mengaplikasikan formula betul yang menjadi teras dalam SCHOOL OF LIFE™ dan beliau kini seorang multi millionaire yang membina kejayaan secara sah walaupun sebagai seorang pegawai kerajaan dan beliau merupakan pegawai kerajaan yang tetap gigih walaupun telah memperolehi kebebasan kewangan dan paling muda dalam gred M54 yang kini dipinjamkan ke Perbadanan Putrajaya sebagai Pengarah Komuniti dan beliau adalah anak Kedah dari Jerlun.


Formula




Sila baca artikel yang saya tulis di Utusan Malaysia yang kini dikongsi sebagai simulasi dalam Program Simulasi SCHOOL OF LIFE™. Link yang saya maksudkan ialah http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Antara sedutannya ialah:-

"Formulanya sangat mudah, masa yang betul dan tempat yang betul maka seperti mana yang diraih oleh pembeli-pembeli rumah di bandar-bandar baru dan kawasan- kawasan yang akan menjadi teras pembangunan.

Mengetahuinya juga adalah mudah sekadar membaca dan menyemak dokumen- dokumen sah kerajaan seperti Draf Rancangan Struktur, Draf Rancangan Tempatan atau Draf Rancangan Kawasan Khas di mana ia dapat dibeli, dirujuk di perpustakaan dan pusat sumber di Pejabat Pentadbiran Daerah atau perbandaran."

Kenapa dengan formula tersebut, Tanah Bukit Damar dalam SCHOOL OF LIFE™ dan apa kaitan dengan Hj Zamri?

Jika dilihat dalam Pelan Strategik Majlis Perbandaran Sepang khususnya peta guna tanah dan rancangan kerajaan, sesiapa sahaja akan memilih Tanah Bukit Damar sebagai lokasi terbaik untuk direbut sebagai sebuah portfolio pelaburan kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Putrajaya (RM150skp) dan Cyberjaya (RM70skp).

Haji Zamri telah melihat ini sejak 16 tahun lalu dengan modal kurang RM20K telah mula membina kekayaan dengan mengambil peluang yang dapat diambil hanya dengan 'iqra' sebab semuanya sudah tertera.

Untuk menyesuaikan dengan kemampuan semua orang tanah-tanah di Bukit Damar dipecahkan kepada lot-lot bersaiz 5000kp - 8000kp dan siap dengan kebenaran merancang untuk kediaman dan infrastruktur dalaman seperti jalan, longkang, bekalan air dan eletrik.

Cuba lihat Google Map carian Putrajaya dan lihat lebuhraya yang telah dibina separuh (Persiaran Selatan) dan akan disambungkan ke Lebuhraya Elite.



Persiaran Selatan telah dibina separuh dan akan disambungkan ke Elite dan kelihatan papan tanda ditampal sementara. Apabila ianya siap disambungkan berapakah harga Tanah Bukit Damar yang kini (hari ini 20hb Sept 2011) hanya berharga RM26skp.



Bukit Damar jika dilihat perancangannya akan menjadi seperti Beverly Hills California dengan Studio dan Mediacity di kaki Bukit Damar. Di kanan saya, tempat gambar ini diambil akan dibina Interchain LRT Station bakal menambah nilai kawasan ini.



PICC jelas kelihatan dari tempat saya berdiri



Hj Zamri telah bermula dengan proposal berikut 16 tahun lepas. Sila klik link dibawah untuk membacanya di Scribd.

http://www.scribd.com/doc/65631993/Proposal-Bkt-Damar

Bagi menampung permintaan yang tinggi di Bukit Damar dan bagi menyesuaikan keinginan mereka yang inginkan pembangunan segera Hj Zamri turut meneroka kawasan sekitar Putrajaya yang juga mempunyai potensi besar seperti Salak Tinggi dan Jenderam.

Syabas Hj Zamri, anak jati Jerlun Kedah kerana walaupun telah 16 tahun berlalu, tak ada satu suara yang saya dengar seperti rungutan pembeli, penjual atau agen yang mempertikaikan kepercayaan dan kewibawaan Bukit Damar Properties malah tahniah kerana telah membangunkan ramai anak Melayu yang berada di sekeliling kehidupannya!!







Wednesday, December 15, 2010

Main Saham Atau Melabur??

Bagi saya 'main saham' adalah judi.

Saya berpendapat begitu kerana ianya berbentuk 'gharar' atau 'ketidakpastian' dan bertentangan dengan Islam.

Main saham yang dimaksudkan ialah apabila membeli saham dengan wang yang bukan dikhususkan untuk melabur dan perlu dicairkan segera, membeli dengan harapan harga akan naik dalam masa yang singkat untuk mendapat untung.

Hakikatnya tiada keuntungan singkat dalam menjana keuntungan. Jika ada yang membuat keuntungan sedemikian rupa, ianya adalah kerana nasib semata-mata dan inilah 'gharar' yang ditegah oleh Islam.

Lebih buruk jika membeli sehingga had maksima yang diberikan oleh bank pelaburan iaitu 2 atau 3 kali ganda wang di dalam akaun (bergantung kepada had yang diberi bergantung kepada kedudukan kewangan pelabur) dan terpaksa menjual dalam tempoh 3 hari selapas hari pembelian (T3) atau pihak bank pelaburan akan membuat 'force selling' pada hari ke 5 (T4).

Ramai yang 'main saham' dilihat mendapat kesenangan secara tiba-tiba dan kemudiannya menjadi papa kedana dan inilah yang membuatkan orang ramai beranggapan bahawa pelaburan dalam saham adalah merbahaya.

Bagi saya, 'main saham' adalah judi semata-mata tetapi jika saham dibeli dengan cara yang betul dari bajet yang betul dengan menilai kedudukan syarikat dan potensi adalah satu kaedah untuk menjana 'capital' dan cara untuk turut berniaga tanpa memerlukan masa dan tenaga terutama kepada golongan 'makan gaji' yang bercanggah dengan etika kerja jika menjalankan perniagaan.



Kitaran ekonomi terdapat dalam Al-Quran (12:46, 12:47, 12:48 dan 12:49)dan kita disarankan mengambil peluang dan bijak membuat sesuatu keputusan kewangan berdasarkan kitaran ekonomi.



Membuat kesilapan dalam kehidupan sebenar khususnya mengenai wang adalah sangat buruk kesannya dan negara kehilangan ramai rakyat yang berpotensi kerana disenaraihitam justeru saya menghasilkan SCHOOL OF LIFE™ sebagai alat rehearsal kewangan supaya kesilapan dalam dunia sebenar dapat diminimumkan.

Insyaallah.

Monday, December 13, 2010

Orang Muda, Demokrasi dan Imaginasi

Semalam saya pulang ke Jerlun. Jerlun yang dimaksudkan bukan Jerlun kawasan parlimen tu tapi nama kampung saya Kampung Jerlun yang berada di Mukim Jerlun dalam Parlimen Jerlun.



Seperti biasa saya akan ke sebuah tempat yang saya sifatkan sebagai tempat awam ala kampung yang saya suka sungguh bila berada di sana, di sana sentiasa terdapat ramai kanak-kanak dan budak-budak muda bersembang, memancing dan berehat dan terletak di simpang empat 2 batang sungai yang mengalir dari/ke 4 arah yang berlainan.

Pokok-pokok besar yang meneduhkan, angin bendang yang mendamaikan dan kedudukannya yang agak jauh dari rumah-rumah kediaman tetapi tidak terlindung itu tidak pernah hilang dari senarai tempat indah kesukaan saya lagipun lokasi yang menjadi medan permainan semenjak kecil ini mana mungkin dapat diabaikan dari hidup saya.

Di situ sentiasa kelihatan banyak basikal, motosikal dan terdapat juga bahan permainan yang sangat diminati oleh pengunjung kategori kanak-kanak iaitu 2 buah lori dan 3 buah trektor termasuk sebuah trektor besar yang saya banggakan, kerana trektor besar ini adalah buatan anak tempatan yang tidak berjenama dan kapasitinya sangat mengagumkan, boleh mengerjakan 60 relung sawah sehari semalam. Saya tabik pada pemiliknya, dalam usia awal 30an beliau berani menempah khas jentera pertanian yang tidak dijual di pasaran itu dengan harga RM200k 4 kali bayar.



Paling hebat dia kini telah melangsaikan semua bayarannya dan pendapatan bersih hariannya kini mencecah 4 angka sehari. Bagi saya dia memang telah mabuk aset kerana sehingga kini belum lagi mahu berhutang untuk membeli kereta mercedez, sebaliknya bercadang menempah sebuah lagi trektor untuk ditempatkan di Kelantan.

Kadang-kadang di situ dapat ditemui pelbagai bentuk mesin yang aneh atau peralatan pertanian yang pelik kerana telah diubahsuai untuk disesuaikan dengan kegunaan sawah kerana di situ juga merupakan tempat berhenti rehat pekerja sawah dan juga pesawah dari golongan muda berimaginasi tinggi.

Walaupun imej saya ialah pro kerajaan dan di situ terdapat bendera Pas yang berkibar megah, perkara ini tidak langsung kelihatan janggal kerana budak-budak muda yang berada di situ sebenarnya terdiri dari pelbagai fahaman politik dan menjadi perkara biasa jika mereka dilihat berdebat, berhujah dan membahaskan isu politik semasa tetapi belum pernah saya lihat mereka bermasam muka.

Pada satu-satu masa, tak kurang 10 orang yang berada di situ dan kadang-kadang jika ada kenduri, kematian atau semasa pilihanraya, jumlah budak-budak muda yang berada di situ boleh mencecah 30 hingga 40 orang. Data ini membuatkan kawasan tersebut layak digelar 'tempat rekreasi', tetapi kerana terdapat bendera Pas yang terpasang, orang-orang tua yang aktif berpolitik sering mempolitikkan tempat itu dengan memberi gelaran sebagai 'port' dan 'kubu Pas' menyebabkan mereka yang kerap berkunjung ke situ redha dan akur dengan label tersebut lalu ramai antara mereka bersetuju menyokong Pas.

Saya percaya, jika ada wakil rakyat yang berani singgah untuk bersalaman dan bertanya khabar, keadaan tentu akan jadi lebih baik kerana dengan cara ini, pemikiran golongan muda di akar umbi dapat diselami. Walaupun mereka berbeza fahaman politik jika dilihat dari cara mereka membahaskan isu, majoriti mereka mempunyai satu pandangan yang sama iaitu mereka lebih senang jika tidak ada perbezaan politik malah mereka lebih gembira jika tidak perlu diadakan pilihanraya. Apa gunanya jika kerana ini kita berpecah belah dan bermasam muka.

Semalam, salah seorang dari mereka bertanya kepada saya samada saya tahu apa sebenarnya syarat-syarat yang ditetapkan oleh British sebelum kita mendapat kemerdekaan dan adakah salah satu syaratnya ialah kita terpaksa menerima sistem demokrasi ini kerana bagi mereka ini lebih banyak buruk dari kebaikannya.

Secara jujur, saya tidak tahu dan saya tidak pernah belajar atau melihat butiran ini.

Tak mungkin tidak ada sesiapa yang terfikir bahawa amat sukar untuk melahirkan pemimpin yang betul-betul bersih dengan sistem demokrasi ini kerana lebih bagus seseorang itu bermain dengan kata-kata, bermuka-muka, pandai menyembunyikan keburukan dan hebat bersandiwara tak kira dari parti mana sekalipun maka lebih cerahlah peluangnya dalam perjalanan untuk memegang kuasa dan adakah ini betul.

Atau kita sebenarnya bernasib baik kerana pemimpin-pemimpin yang terpilih memegang teraju Malaysia, yang telah membawa Malaysia ke tahap yang hebat ini adalah sebenarnya terjadi atas bantuan dari Allah semata-mata.

Lebih menarik pada akhir perbualan, ada seseorang dari mereka tiba-tiba membuat teori sendiri yang mengatakan bahawa pemimpin yang berada di pucuk pemerintahan saja yang dapat melihat butiran perjanjian ini dan hanya secara zahir memperlihatkan ketaatan pada sistem demokrasi ini atas sebab keselamatan tetapi pada hakikatnya sesuatu itu dilaksanakan jika ianya perlu dilaksanakan walaupun tidak mendapat persetujuan majoriti.

Entahlah.. budak-budak muda ini begitu berimaginasi.

Saturday, December 11, 2010

Dadah

Dadah paling bahaya ialah rokok!!

Saya berpendapat begitu kerana rokok tidak dianggap sebagai dadah dan mudah diperolehi di mana sahaja tanpa kawalan dan dadah jenis ini boleh diambil di mana sahaja tanpa rasa segan atau bersalah.

Saya juga seorang perokok dan oleh itu saya rasa layak untuk berkongsi sedikit pandangan tentang ini.


Gambar Hakcipta thecigarhaus.com

Saya pasti ramai perokok di luar sana yang menyesal kerana terbabit dengan dadah ini dan setiap perokok pasti tidak dapat menafikan kesan ketagihan yang teruk sehingga keutamaan rokok kadang-kadang mengatasi perkara-perkara lain.

Saya yakin, jika perokok diberi pilihan kedua, nescaya mereka akan memilih untuk tidak merokok dan setiap perokok pasti mempunyai pengalaman untuk berhenti merokok membuktikan sesalan yang amat sangat kepada hampir semua penagih tegar ini.

Tidak ada yang dapat berhenti kerana ditakutkan dengan kesan dan bahaya merokok dan tidak ada yang dapat berhenti kerana dipaksa untuk berhenti.

Tidak ramai yang telah merdeka dari ketagihan dadah ini dan kebanyakan mereka yang berjaya berhenti ialah mereka yang mendapat sokongan yang betul dari persekitaran terutama pasangan hidup mereka.

Sokongan dari pasangan hidup adalah penting dan bukan perkara mudah untuk menyokong kerana ianya akan melibatkan kesabaran dan ketabahan.

Perubahan emosi, sikap dan kelakuan yang berlaku dalam proses berhenti merokok yang semakin buruk dari sehari ke sehari sehingga sampai pada keadaan tubuh perokok bebas dari ketagihan bukanlah senang untuk ditangani.

Perokok hanya akan dapat meneruskan usaha untuk berhenti jika pasangannya dapat bersabar dan gigih menenangkan keadaan serta memahami apa yang ditanggung ketika proses ini.

Usaha berhenti tidak akan menjadi jika dalam keadaan ini tiba-tiba perokok diingatkan tentang wang yang dibazirkan atau ada suara sumbang yang mengejek akan kesan dan akibat dari merokok.

Begitulah juga dadah-dadah lain yang rata-rata dari mereka yang terlibat akan berada dalam penyesalan kecuali jenis dadah yang tidak memberi kesan ketagihan.

Tidak semua dadah akan memberi rasa khayal dan mabuk tetapi ada juga jenis dadah yang akan menjadikan pelakunya memiliki sifat terpuji, beryakinan dan fokus seperti syabu.

Tidak semua dadah akan membuatkan pelakunya menjadi lentuk kerana ada juga jenis dadah yang menjadikan penggunanya sihat, kuat dan boleh bekerja lebih baik dari keadaan biasa seperti ketum dan steroid.

Yang pasti, semua jenis dadah yang memberi kesan ketagihan akan membuat penagih menjadi lemah, sakit, tidak gembira, pemarah dan gelisah apabila tidak memenuhi tuntutan badan terhadap dadah yang ditagih dan keadaan ini seringkali ditafsirkan sebagai sedang khayal.

Justeru, mengembalikan penagih ke pangkal jalan memerlukan pengetahuan dan kesilapan membuat tafsiran tentang keadaan sebenar mereka akan memburukkan keadaan dan sia-sia.




Friday, December 10, 2010

Yang Kecil Itu Alam.. Yang Alam Dihamakan

Apabila terdapat keganjilan dalam pertuturan atau nyanyian, bukan salah dalam maksud dan makna tetapi hanya slanga dan loghat, ianya juga akan turut menjadi isu.

Tambahan pula jika ianya terbit dari seorang yang berbangsa Melayu yang dikenali ramai, seolah-olah perkara itu adalah kesalahan besar yang boleh mencemarkan bahasa dan perosak bangsa.

Tetapi bagi yang berusaha keras untuk menyelidik dan memperolehi maklumat bagi meneruskan agenda mengumpat dan menabur fitnah, tidak pula dirasakan sebagai dosa malah akan dianggap sebagai hero dan pejuang bangsa.

Saya kira ini adalah antara keluhan yang pernah dipuisikan Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir suatu ketika dulu, katanya "Yang Remeh Itu Utama.. Yang Utama Itu Remeh.. Yang Kecil Itu Alam.. Yang Alam Dihamakan".

Puisi tersebut amat berkesan pada saya sehingga hari ini.

Di atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Putrajaya

Demikian gema gempita semangat Merdeka
Kuasa sudah pada kita
Ayuh kita hiasi wajah bangsa
Dengan jurai-jurai kilauan permata
Yang menyelusuri zaman Merdeka
Kita jadi semakin mengerti
Semata-mata kuasa di tangan bukan pertanda bangsa berjaya
Kemiskinan, kedaifan, kejahilan dan timbunan peluang tersia-sia
Mendamparkan bangsa itu
Pada taman asing yang mereka pertuankan
Yang lain pula menjadi gelojoh
Oleh runtunan haloba
Segalanya mereka rempuh
Menganggap diri mereka panglima belantara
Pada musim kemarau nurani
Embun serta keringat Merdeka tidak lagi sudi menitis
Melayu tidak belajar dari sejarah 450 tahun terjajah
Mewarnakan sejarah mereka
Dengan dendang dan hibur hati bangga
Dengan ceritera dongeng yang mereka cipta
Yang remeh itu utama
Yang utama itu remeh
Yang kecil dialamkan
Yang alam dihamakan
Melodi ceritera yang sungguh
mengasyikkan
Kata mereka: Takkan Melayu hilang di
dunia
Sambil menggigit jari jemari
Merekapun menjadi kuli di negaranya sendiri
Lama sudah runtuhnya Kota Melaka
Kita tidak kembalikan kota itu dengan papan dijawa
Pun tidak kita bina tugu ingatan
Di Prang Besar kita tidak selera berperang
Dengan tangan-tangan halus arkitek anak watan
Dengan iringan doa dari rekahan bibir
Petani di bendang
Nelayan di lautan
Di sini kita bina mercu tanda bangsa
Suatu gergasi megacity
Suatu jaringan menjangkau seluruh jagat
Suatu taman himpunan segala bau-bauan jutaan flora
Suatu simbosis insan dan alam
Kita namakan sempena nama bapa putera negara
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka
Di mercu ini kita zahirkan seni budaya bangsa
Dengan segala kelazatan muzik alam
Serta hidangan dan hamparan seni taman
Bersih - indah - tertib - teratur
Adunan tamadun tinggi
Jumlah segala cita-cita dan harapan
Membongkar segala-gala yang telah hilang
Dan kita tidak payah mengambil nyawa sendiri
Untuk menebus maruah itu
Dari sini kita menyusun langkah dengan yakin
Membina bangsa dengan cara kita
Dengan apa yang ada
Menghadapi cabaran dengan segala ketahanan
Cukup tangkas menangkis dari menjadi korban kali kedua
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka

Thursday, December 9, 2010

Saya Cuma Bimbang

Ramai yang ghairah untuk menambah kesusahan dengan pelbagai spekulasi dan umpatan apabila seseorang yang dikategorikan sebagai berharta/ kaya tiba-tiba mendapat kesusahan seperti menghadapi pertuduhan atau jatuh dalam perniagaan.

Tidak kurang pula yang akan ketawa berdekah-dekah, menghentam dan mengutuk apabila usaha dan perancangan seseorang mengenai sesuatu projek tidak menjadi dan terpaksa angkat tangan.

Kita mudah merasa terangsang dan adalah menjadi hobi untuk memburu berita-berita perceraian, pergaduhan dan permusuhan yang berlaku dalam masyarakat.

Cerita politik pula adalah yang paling hangat diperdebatkan baik di tempat kerja, kedai kopi maupun di laman sosial.

Apabila dilihat kembali senario ini, ianya bukanlah gambaran tepat rakyat Malaysia sebaliknya ini khusus kepada keadaan kita orang-orang Melayu sahaja.

Tidak ramai yang mempersoalkan kenapa Ah Seng menjadi kaya tetapi jika Ahmad yang mengecapi kesenangan, sampai ke lubang cacing akan digali untuk mencari kesilapan.

Syukurkah, ramai yang faham bahawa ini bukanlah gambaran sebenar orang Islam dan sesungguhnya ini bertentangan dengan ajaran Islam tetapi yang menjadi kebimbangan adakah orang bukan Islam akan faham dan berkemungkinan akan membuat tanggapan bahawa inilah kehidupan Islam.

Persoalannya, apa akan jadi jika anak-anak yang meningkat remaja merasa muak dengan perkara ini dan memandang serong terhadap ajaran Islam lalu cenderung kepada kelompok lain yang begitu menyokong sesama sendiri dan berkasih sayang?

Semua agama mengangkat nilai sebagai pedoman, jangan pula Islam dilihat sebagai kekurangan.

Kita takkan 1Malaysia jika kita tidak memandang perkara-perkara penting seperti kewangan dan nilai kehidupan dari sudut pandangan yang 1.

Saya bukan apa.. cuma merasa bimbang.

Baru Ku Tahu!!

7hb Disember 2010 rupa-rupanya adalah tarikh penting.

Tarikh tersebut adalah 1 Hijrah 1432. Tarikh tersebut adalah hari siapnya alat asas simulasi SOL secara 'massive production'. Dan paling penting, apabila aku semak kembali blog ini untuk mencari tarikh bila 'University of Zindaghi' diterbitkan, rupa-rupanya pada 7hb Disember 2009 bermaksud 7hb Disember 2010 bersamaan dengan 1 Hijrah 1432 merupakan ulang tahun pertama pengeluaran produk ilmu yang berasaskan permainan, simulasi atau 'brain teaser' yang menjadi usaha kami di The Finishing Academy of Malaysia Sdn Bhd dalam menyampaikan ilmu secara santai dan menghiburkan.


Berasaskan prinsip Edgar Dale 1969 The Finishing Academy of Malaysia mengorak langkah menggunakan kaedah simulasi, permainan dan 'brain teaser' dalam penyampaian ilmu.

Pelbagai modul, subjek, maklumat dan ilmu dapat diadaptasi dalam program ini malah ianya dapat menjadi pemangkin daya ingatan, aktiviti berkumpulan kakitangan dan pelajar serta slot yang boleh dimasukkan pada hari terakhir sesuatu program latihan sebagai usaha meningkatkan kesan dalam sesuatu program latihan dan pengambilan data kefahaman peserta program. Ini akan meningkatkan R.O.I kepada majikan.

Alat asas simulasi didatangkan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kumpulan sasaran.

Produk yang menggabungkan simulasi, permainan dan 'brain teaser' yang boleh dibuat dimana saja ketika lapang seperti SUDOKU.

Jika kita perhatikan PETA SIMULASI ini, sasaran berada dipuncak lebih tinggi dari bulan dan matahari manakala jalur-jalur merupakan tangga-tangga yang perlu didaki.

























Monday, December 7, 2009

Kesilapan Yang Mudah Tapi Payah



Agak lama aku menyepi, malam ini aku kembali ke sini.. mungkin kerana ada ketenangan yang menjenguk di hati.. dan hati sangat tenang hari ini kerana sesuatu telah tercetus dari seorang kawan..

Semangat dari kawan-kawan tak ada nilainya dalam merealisasikan perjuangan.

Apa perjuangannya bro?? Ahh.. simple sekali apa yang aku perjuangkan. Untuk akhirat biarlah aku saja yang tahu.. untuk dunia aku ingin kembali secepat mungkin pada tapak perjalanan yang aku telah jejaki. Anak tangga yang sudah hampir untuk aku melangkah masuk sebelum diterajang hingga jatuh tertiarap dan terhantuk pasu bunga di tepi tangga lantas aku jadi bengong sampai nak cari anak tangga pertama pun tak jumpa-jumpa.

Hard earn money!!.. dari satu tempat berpindah ke satu negeri dan berhijrah ke satu negara tak kira apa cabarannya, aku harungi semua itu dengan dada lapang walau apapun cabarannya.

Aku mencari-cari silapnya.. dan akhirnya kini aku telah temui jawapannya.. aku tidak memberi salam.

Tuesday, April 28, 2009

18. Terbeliak Biji Mata


Sampai sekarang kalau aku telefon kawan-kawan lama yang tidak menyimpan nombor aku dalam handphone mereka, dari perenggan pertama lagi aku akan kata "woi aku ni..cop beliak" dan tak perlu bersusah payah mengisi slot pengenalan dengan kupasan panjang lebar, sekelip mata aku sudah dapat masuk pada bab tujuan dan kemudiannya kesimpulan dan penutup.. bye bye dan berapa tahun pulak aku akan tenggelam sebelum timbul semula dan..."woi aku ni cop beliak". Aku dan kawan-kawan seperti baru semalam berjumpa walau kadang-kadang sudah menjangkau belasan tahun.

Mata aku tidaklah sebesar mana tapi bila aku melihat sesuatu benda, aku akan melihat dengan bersungguh-sungguh sampai nak terkeluar biji mata. Sekarang ini agak terkawal sedikit tapi semasa aku masih kecik, anak mak long aku akan lari sekuat hati bila melintas hadapan rumah aku kerana ketakutan yang amat sangat pada tahap keterbeliakan aku. Kalau aku duduk di luar rumah, nescaya tak berani keluar rumah budak tu, apa lagi nak melintas. Kesian budak tu.. tapi apakan daya.. aku langsung tak perasan, ini semua mak aku yang cerita.

Kerana aku banyak memerhati dan amat asyik mendengar (tambah-tambah bila kawan-kawan mak aku bertandang ke rumah, apa yang berlaku di kampung semua aku hafal) aku jadi pendiam secara automatik tapi semua perkara aku ambil tahu dan ini juga dicerita oleh mak aku kerana menurutnya aku adalah rakan perbincangan ketika itu kerana aku boleh bercakap seperti orang tua, siap boleh 'relate' dengan kejadian atau cerita yang berlaku di kampung aku. Selain dari mak aku, aku tidak mudah bercakap dengan sesiapa dan tahap diam aku sebenarnya agak serius. Sampai sekarang sifat itu masih menghuni jiwaku, cuma bilangan ahli mesyuarat dari mak aku seorang bertambah kepada beberapa orang lagi. Masa sekolah dulu, geng buta la ahli majlis mesyuarat aku.

Darjah satu, beberapa kali aku telah 'terkincit' malah pernah beberapa kali 'terberak' di dalam kelas hasil perbuatan cikgu kelas aku ketika darjah satu, Cikgu Shamsiah. Wajarkah dia memberi arahan kepada budak-budak untuk minta kebenaran keluar dalam Bahasa Inggeris. Semua kena kata "Teacher, please may I go out", fuuih mati la aku... nak cakap Melayu pun aku terketar-ketar, ini pula nak cakap orang putih. Maka berbau tahi la seluruh kelas sepanjang hari dan sepanjang perjalanan naik bas Ah Yau balik ke Jerlun dari Sekolah Iskandar yang jaraknya 15 batu. Tapi orang sekali pun tak pernah tuduh aku yang berak kerana mungkin sikap aku yang senyap dan tak tahu berkata apa-apa, 'koro' orang Kedah kata atau mungkin mereka 'seriau' tengok keterbeliakan aku agaknya.

Hari pertama darjah satu, mak aku temankan aku menunggu bas Ah Yau dan memperkenalkan aku kepada Ah Yau yang akan mengangkut aku dan ramai lagi budak-budak kawasan Jerlun, Air Hitam, Kuala Sungai dan sepanjang-panjang Jalan Putra yang bersekolah di Alor Star. Seluruh kawasan ini adalah milik Ah Yau tanpa saingan mana-mana pengusaha bas lain hinggalah aku di tingkatan 3, barulah semua orang berpindah menaiki bas Ah Chai pulak sebab bas Ah Chai ada 'air cond'. Bila bas Ah Chai beroperasi, Ah Yau nekad tidak membuat perniagaan bas lagi kerana dah tak ada siapa yang memerlukan perkhidmatannya lagi, kesian jugak aku pada dia tapi apakan daya beliau tidak peka kepada kehendak zaman yang memberi keutamaan kepada keselesaan pelanggan.

Dari Jerlun sampai ke Alor Star, aku sungguh bernasib baik duduk berdekatan tingkap dan telah membeliakan mata secara bersungguh-sungguh memerhatikan setiap inci perjalanan sehinggalah ke Alor Star. Aku juga merasa beruntung kerana abang yang duduk sebelah aku ketika dalam bas telah dengan sukarela menjadi pemandu pelancong dan memberitahu nama setiap tempat yang kami lalu, rumah Ah Yau di Mergong pun dia tunjuk, jalan mana dan bangunan apa.

Aku bersyukur dengan maklumat itu kerana rupa-rupanya aku akan berdepan dengan sesuatu yang melakar sejarah pada hari itu.

Hari pertama di sekolah amat meriangkan bagi aku, tempat baru, benda baru, kawan-kawan baru dan mata aku tidak dapat berehat walau seketika pada hari itu kerana semua memerlukan perhatian aku.

Mak bagi duit sekolah 3 kupang, waktu rehat aku makan mee kuah 2 kupang sepinggan, beri pada Shidi (jiran sebelah rumah) sekpang kerana duit belanja dia sudah habis sebelum bunyi loceng pertama lagi dan selesai makan aku terus ke bilik air untuk minum air paip. Aku terpaksa beratur panjang kerana ramai jugak kawan-kawan aku yang lain turut serta dalam perbarisan minum air waktu rehat. Pernah beberapa kali aku tidak sempat minum air kerana loceng tamat waktu rehat berbunyi dan air berharga sekupang hanya sekali dua aku dapat beli kerana Shidi telah meneruskan amalan hari itu (minta kat aku sekupang setiap hari) kerana hanya sekali dua Shidi berjaya tidak berbelanja sebelum kelas bermula.

Aku tidak perlu beli minuman atau makanan sebelum kelas bermula kerana ketika budak-budak lain main 'aci ligan' dan 'combat' aku hanya duduk atas 'beg peti' warna coklat yang ayah aku beli beberapa minggu sebelum masuk darjah satu. Ayah aku sungguh peka dengan peredaran zaman kerana hampir semua kawan-kawan aku waktu itu memakai 'beg peti' yang boleh digunakan untuk duduk sewaktu menunggu bas atau waktu terluang.. terima kasih ayahanda.

Aku tak reti bercakap dengan ayahanda aku ketika aku kecik tapi aku tahu betapa dia sayangkan aku. Pernah sekali ketika hujan, beliau mendukung aku semasa menunggu bas semata-mata tak mahu kasut aku kotor. Ayah aku garang dan aku sangat takut kalau aku dapat markah 'merah'(gagal) dalam mana-mana mata pelajaran dan pernah sekali aku berdoa kepada tuhan semasa menunggu bas ketika pulang dari sekolah supaya ada kereta atau lori yang terbabas di tempat aku menunggu bas dan melanggar aku hingga mati di tempat kejadian.

Seluruh badan aku terasa sejuk dan menggigil kerana takut menghadapi ayahanda aku untuk tandatangan 'report card' tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah aku telah mendapat ilham menukar markah 36 menjadi 86 dan aku tulis kembali dengaan pen biru. Aku terselamat tapi keesokan hari aku telah kena rotan dengan cikgu kerana aku telah padam dengan air liur dan pemadam untuk ganti semula kepada markah yang sebenar hingga terkoyak 'report card' aku.

Tetapi tembelang aku akhirnya pecah juga pada peperiksaan seterusnya. Aku kena marah teruk dengan ayah aku dan aku dipaksa 'kandar semai' dan 'menanam' padi dan ayahanda aku memberi amaran pada petang itu untuk memberhentikan aku dari sekolah dan akan disuruh 'buat bendang' jika aku gagal lagi. Ketika itu aku berada dalam darjah dua.

Pada hari pertama darjah satu, selepas loceng akhir berbunyi, aku dan Shidi meneruskan tinjauan untuk melihat, membelek, memegang dan merasai seluruh kawasan sekolah sehinggalah kami lupa diri dan masuk ke bilik kelas Kolej Sultan Abdul Hamid yang berada dalam satu kawasan yang sama dengan Sekolah Iskandar sehingga akhirnya kami tiba-tiba tersedar bahawa bas Ah Yau telah bertolak dan meninggalkan kami.

Shidi mula menangis tetapi aku berjaya mententeramkannya dengan mengatakan aku tahu jalan untuk pulang ke Jerlun dan mengajaknya pulang berjalan kaki sambil menyusun kata-kata indah bahawa betapa seronok dapat melihat bermacam-macam benda dalam perjalanan pulang.

Aku kemudiannya merasa lega kerana melihat 'morris minor' Pak Njang Mat, bapa saudara aku yang datang menjemput sepupu aku pulang dari sekolah. Aku berjalan ke keretanya dan memberi salam tetapi dia tidak pun bertanya apa-apa, aku kemudiannya berjalan dua tiga round lagi dan kerana sifat 'berat mulut' aku, Pak Njang Mat tidak langsung sedar bahawa kami telah ketinggalan bas.

Dia kemudiannya beredar dan aku bersama Shidi meneruskan rancangan pulang ke Jerlun dengan berjalan kaki.

Aku dan Shidi akhirnya ditemui oleh seorang penduduk kampung di Alor Janggus setelah berjalan kaki hampir 10 batu. Seluruh kampung telah gempar dan penduduk kampung yang mempunyai motosikal telah beramai-ramai keluar mencari kami.

Sungguh asyik dan indah segala pemandangan kanak-kanak dan aku melihat setiap sesuatu sehingga terbeliak biji mata.

Saturday, April 25, 2009

17. Kisah Hari Ini

Pada ketika ini, dalam blog-blog lain, mereka heboh membicarakan tentang penghapusan kuota 30% dalam sub-sektor perkhidmatan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak beberapa hari lalu.

Ramai yang menentang malah ada yang terang-terang membuat andaian bahawa zaman kejatuhan melayu telah bermula serta pelbagai andaian negatif lain.

Saya ada memberi komen dan pendapat tetapi kebanyakan blog tidak dapat menyiarkannya kerana saya mempunyai pendirian yang berlainan dan sayang saya kepada bangsa agak berlainan.

Bagi saya (maafkan saya jika ada pihak yang tersinggung), perkara ini semudah apa yang di sampaikan oleh P Ramlee dalam 'Anakku Shazali'. Semakin banyak keistimewaan dan semakin tebal subsidi atau kuota, semakin lemah jadinya kita. Sebagai contoh, mari kita menilai apa yang akan terjadi kepada satu keluarga yang mempunyai dua anak iaitu A dan B. A diberi berbagai keistimewaan, kelebihan dan pertolongan dari bermacam perkara manakala B dibiarkan berusaha sendiri, bersusah payah dan berjuang mencapai impiannnya tanpa apa-apa keistimewaan dan bantuan seperti A. Siapa yang lebih berjaya, lebih kuat jati diri dan lebih kental menghadapi cabaran dan dugaan? Pasti kebanyakan kita menjawab B. Malah A mungkin menjadi pemalas, suka bergantung, lemah malah lebih buruk menjadi penagih.

Begitu juga dalam kehidupan ini. Sebagai 'perantau' yang bangsat serata dunia, saya telah melihat kejayaan orang melayu dan bangsa-bangsa pendatang di luar negara dan kelemahan 'orang putih' di negeri 'orang putih'. Lihatlah betapa berjayanya orang Cina di luar Negara China berbanding yang orang cina yang berada di China. Lihatlah orang India di luar Negara India berbanding orang India di Negara India.

Saya pernah membuat 3 pekerjaan sehari ketika di luar negara (sila rujuk pengalaman saya dalam blog) kerana tekanan kehidupan dan survival tanpa merasa penat dan jemu kerana hanya saya yang dapat menentukan hidup saya di sana tanpa sebarang bantuan dan keistimewaan.

Satu tindakan yang saya tunggu-tunggu, bertanggungjawab dan berpandangan jauh dan menyerlahkan kasih sayang yang tulus kepada bangsa. Semua ini telah mula ditunjukkan oleh Dato' Seri Najib yang mungkin juga merupakan wasiat ayahnya, Tun Abdul Razak.

Tanpa keikhlasan, sukar seorang pemimpin mahu melihat masalah ini kerana risikonya ialah kehilangan undi dan populariti dipertaruhkan untuk mencari penyelesaian terhadap perkara yang disifatkan sensitif seperti ini.

Sesetengah kuota bumiputra memberi kesan buruk dengan begitu jelas sekali dan membuat melayu ketinggalan dalam pemilikan ekuiti dan kekayaan. Sebagai contoh, kuota bumiputra dan diskaun 5% untuk lot bumiputra dalam pemilikan rumah. Dengan diskaun hanya 5%, seorang pembeli rumah berbangsa melayu telah membeli sebuah rumah di lot bumiputra dari sebuah syarikat perumahan berharga RM100K, status tanah adalah antarabangsa bukan rizab melayu tetapi pemilikan rumah dihadkan kepada bumiputra sahaja. Selepas 20 tahun, beliau ingin menambah pemilikan harta dan bercadang menjual rumah tersebut kerana ingin membeli 2 unit rumah ditempat lain. Jirannya, bukan bumiputra telah berbuat demikian dan jirannya berjaya menjual rumah yang diduduki dengan harga RM200K iaitu 2 kali ganda. Malangnya, rumah lot bumiputra tersebut hanya dapat dijual dengan harga RM110K sahaja, itupun amat susah mencari pembeli.Untuk makluman, kes ini bukanlah rekaan, tanyalah kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kes sebegini dan tanyalah para pemaju perumahan siapakah yang tidak tahu akan permasalah ini.

Pendapat saya agak keras, kalau terlalu dimanjakan dan dihujani dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan, memang yang memberi akan lebih popular tetapi yang menerima akan menjadi 'spoilt brat'.

Itu belum lagi perasaan tidak puas hati bukan bumiputra langsung mengakibatkan 'yang tidak puas hati' akan memberi tekanan dan pilih kasih jika beliau memiliki kuasa dalam sesuatu organisasi atau keputusan.

Jurang sesama kita semakin jauh dan malang sungguh kepada negara dan agama. Agama Islam tiba-tiba terheret kepada permasalahan ini kerana Islam tidak semena-mena dipersalahkan kerana membeza-bezakan manusia lalu Islam menjadi tidak diminati oleh bangsa lain.

Lebih teruk, bila orang Kristian yang menyebut tuhan mereka Allah seperti kes lirik lagu Agnes Monica yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati pada orang-orang Islam. Tidakkah kita tahu orang-orang Kristian juga beriman kepada Allah cuma mereka tidak beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Bukankah lebih baik kita katakan "Wahai orang-orang Kristian, marilah kita beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana Allah tuhan kita menyeru kita berbuat begitu".

Dimanakah kasih sayang antara kita dan mengapa harus ada jurang sesama manusia, bagaimana mungkin kita dapat berkenal-kenalan. Tak kenal maka tak cinta. Tak cinta kita semakin jauh dan jauh, padahal bukan itu yang Islam sarankan.

Wednesday, April 22, 2009

16. Cara-Cara Membuat Kad Pengenalan.

Tahun 1974 adalah tahun kedua aku di tadika, mujurlah atas ehsan orang tua, aku dimasukkan ke tadika yang berhampiran dengan rumah, hanya 1 kilometer dari rumah. Aku hanya pergi dan balik dengan berjalan kaki.

Tadika tahun pertama agak jauh, di Pekan Ayer Hitam, lebih kurang 5 kilometer dari rumah. Di penghujung sesi tadika, aku sudah boleh membaca akhbar dan membuat kira-kira mudah dan antara yang paling aku seronok ialah bila cikgu menceritakan kisah nabi. Terasa seperti benar-benar berada di zaman silam di zaman nabi.

Tahun 1974, agak membosankan. Aku terpaksa belajar perkara-perkara yang sudah aku tahu dan di dalam kelas, aku sering menunjuk kepandaian aku. Yang masih aku ingat ialah apabila cikgu menyuruh aku mengira 1 hingga 100, aku mengira secara terbalik dari 100 hingga 1.

Kerana bosan, aku mula membuat perkara-perkara yang disifatkan oleh orang Kedah sebagai 'banyak akai'.

Pada tahun itu, aku mula mengenali dunia perniagaan.. ha ha(jika boleh dipanggil perniagaan dan sebagai bukti aku masih ingat lagi mak ada menyebut "...pi belajaq bukan nak meniaga" yang mengukuhkan kenyataan apa yang aku buat itu berniaga la jugak namanya.

Dan kerana itulah aku teruk kena 'lecture' dgn mak kerana cikgu tadika aku, Cikgu Che Wa telah datang ke rumah berjumpa dengan mak mengenai apa yang telah aku buat.

Aku telah membuatkan kawan-kawan setadika kehabisan wang belanja kerana membeli kad pengenalan buatan sendiri yang aku jual dengan harga 10 sen setiap satu.

Aku memang teringin dan tak sabar-sabar memiliki kad pengenalan dan aku sering membayangkan aku sudah besar dan ada kad pengenalan.. rasa macam hidup dah lengkap kalau ada kad pengenalan.

Aku kemudiannya mendapat ilham membuat kad pengenalan buatan sendiri dengan menggunakan daun pisang, kertas keras, pelita minyak tanah, gunting, pen dan pembaris.

Pada fikiran aku, ramai kanak-kanak sebaya aku mesti juga teringin untuk memiliki kad pengenalan sebagaimana yang aku rasa. Aku bercadang menjual hasil karya aku itu kepada kawan-kawan kerana jika hanya aku seorang yang ada kad pengenalan, tentu tak seronok.

Sebelum mendapatkan tempahan dari kawan-kawan, aku membuat kad pengenalan sendiri sebagai contoh dan cara-caranya adalah seperti berikut:-

1. Potong kertas bersaiz kad pengenalan(aku pinjam kad pengenalan Pak Ngah Zul, bapa saudara aku yang rapat dengan aku, yang selalu membawa aku ronda keliling kampung, aku masih ingat Pak Ngah Zul ada loket macam yang selalu Hail Amir pakai ketika itu, berbentuk taring yang dibuat sendiri dari kayu dan aku pun boleh hafal lagu Wajah Kesayangan Hamba nyanyian Hail Amir ketika itu).

2. Tulis nama aku, alamat dan nombor kad pengenalan serta butir-butir yang sepatutnya ada dalam kad pengenalan.

3. Buat kotak untuk cap jari di kanan dan kiri gambar (aku lukis sendiri) di sebelah hadapan.

4. Ambil daun pisang dan layurkan pada pelita minyak tanah untuk mendapat kesan asap hitam di daun pisang.

5. Cap jari dimasukkan ke dalam kad pengenalan dari kesan hitam daun pisang.

6. Kad pengenalan contoh sudah siap untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan dan aku mula mengambil tempahan.

Jangkaanku tidak meleset, tidak ada seorang pun yang tidak menempah kad pengenalan tersebut dan aku telah siapkannya hanya dalam masa 2 hari sahaja.

Setelah kami semua memiliki kad pengenalan, beberapa orang kawan yang agak besar dari kami telah dengan sukarela menjadi polis. Tanpa disuruh, mereka ini akan selalu meminta kad pengenalan ketika beratur masuk kelas, mengambil makanan, mengambil buku dan untuk pulang ke rumah.

Masalah yang timbul kemudiannya ialah apabila ada kawan-kawan yang telah menghilangkan kad pengenalan mereka dan dipaksa membelinya dari aku. Aku tidak membantah tindakan mereka dan sebenarnya mula rasa seronok kerana dengan peranan kawan-kawan polis aku tu, aku mula mendapat tempahan baru.

Segalanya berakhir apabila cikgu datang ke rumah.

Aku tidak ingat dengan jelas apa yang dikatakan olek mak ketika memarahi aku tetapi selepas kejadian itu, aku rasa tidak sabar-sabar untuk memiliki kad pengenalan, cukup dewasa untuk memikat perempuan dan memulakan perniagaan yang 'real' di dunia nyata.

Aku masih kecil ketika itu, manalah aku tahu ianya menjadi satu kesalahan.

Monday, April 20, 2009

15. Hatiku Ada Segalanya...

Tak Bisa Memiliki - Samsons


[*]
Apakah yang engkau cari
Tak kau temukan di hatiku
Apakah yang engkau inginkan
Tak dapat lagi ku penuhi
Begitulah aku
Pahamilah aku

[**]
Mungkin aku tidaklah sempurna
Tetapi hatiku memilikimu sepanjang umurku
Mungkin aku tak bisa memiliki
Dirimu seumur hidupku

Back to [*][**]

Back to [**]

Dirimu seumur hidupku 3x

Saturday, April 18, 2009

14. Basikal Kuning

Dalam keadaan aku yang tiada apa-apa lagi, simpanan habis, saham dah tak ada yang tinggal, hutang bertimbun, nama tercemar, penat dan juga tua, aku perlu bermula lagi dari kedudukan paling bawah dengan mencari kerja. Dalam keadaan ini ianya sangat perit, aku kerapkali gagal dalam temuduga dengan alasan utama ialah umur. Tiada sebarang kenderaan juga menjadi sebab mengapa aku tidak layak walaupun menjadi seorang salesman.

Aku kemudiannya berpindah ke Sungai Petani dan tinggal bersama ibu mertuaku. Kalian tentu faham bagaimana keadaan tinggal dengan ibu mertua dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Semua itu telah meningkatkan tahap siksa yang mendadak dari segi batin dan mental sehinggalah aku akhirnya membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah teres yang sewanya belum lagi ada dalam belanjawan dari pendapatan tetap bulanan, aku perlu berusaha untuk itu.

Aku hanya buat kerja-kerja yang tak tetap, jual barang itu dan ini, direct selling dan terima upah buat apa-apa kerja yang aku mampu dari kawan-kawan. Seringkali ketika aku dalam saat-saat yang tertekan, aku akan menelefon sesiapa sahaja yang aku kenal bertanyakan jika ada apa-apa yang aku boleh buat seperti mengangkat barang, mencuci atau apa saja untuk 10 atau 20 ringgit.

Tetapi seorang lelaki yang telah berumur hampir 40 tahun, yang tidak mempunyai kenderaan, nescaya tak akan berjaya menyakinkan orang dan direct selling aku tidak langsung berkembang. Aku hanya menjadi pengganggu dari masa ke semasa sehinggalah kawan-kawan menjauhkan diri, tidak mengangkat telefon dan tidak membuka pintu jika yang datang ialah aku. Aku faham dan tidak menyalahkan mereka kerana setiap orang mempunyai masalah masing-masing dan pada keadaan aku yang amat terdesak aku terpaksa mengganggu, bayangkan anak-anak tidak dapat makan sehingga petang, mahu tidak mahu aku terpaksa meminta membuat apa-apa kerja untuk RM5 atau RM10 .

Aku kemudiannya membeli sebuah basikal di Sungai Petani untuk menghantar anak-anak aku ke sekolah dan dengan basikal itulah aku ke hulu ke hilir di Pekan Sungai Petani menjaja itu dan ini.

Beberapa bulan menunggang basikal, seorang kawan yang pemurah kemudiannya menjual sebuah motosikal kepadaku tetapi katanya "Hang pakai dulu cop, nanti ada duit baru hang bayar." Dengan motosikal itu aku kemudiannya mendapat kerja-kerja yang elok sedikit, itupun kerja yang menawarkan gaji pokok yang hanya cukup untuk minyak motor sahaja, pendapatan hanya bergantung pada komisen. Terima Kasih pada Zul, seorang sahabat yang bersimpati.

Ketika itu Dato' Seri Mahathir Khalid adalah MB Kedah dan pada suatu hari ketika pulang ke Jerlun, aku menemui wakil rakyat kawasan aku dan meminta pendapat beliau mengenai masalah aku, Dato' Othman Aziz cuba mencari jalan untuk membantu tetapi bukanlah berasaskan kepada kes kesilapan Dato' Seri Syed Razak kerana ianya antara aku dan Syed Razak.

Dato' Othman Aziz seorang yang aku hormati sehingga kini, beliau memang bersungguh-sungguh membantu aku walaupun dalam keadaan aku yang hina ketika itu. Aku dapat melihat, beliau tidak pernah memandang rendah kepada aku. Malah, aku dapat rasa beliau menghargai pengalaman dan pengetahuan aku dan perjuangan aku mencapai apa yang aku cita-citakan.

Mungkin juga kerana beliau juga pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid yang mempunyai sesuatu persamaan yang dimiliki oleh collegian, sesuatu yang membuatkan setiap collegian rasa seperti satu keluarga yang akan merasa sakit apabila ahli keluarganya disakiti.

Mungkin juga kerana bimbingan ayahnya, seorang guru dalam jalan tarekat yang membimbing ribuan murid dalam jalan kerohanian. Pernah aku ceritakan dalam bab sebelum ini bagaimana halusnya akhlak mereka yang tidak mengira bangsa, agama, haiwan atau manusia sehingga dapat mengislamkan beribu-ribu penduduk London dan menukar banyak gereja-gereja menjadi masjid di sana.

Dato' Othman amat berbeza dari segi pendekatan politik, di Jerlun beliau disenangi walaupun oleh orang-orang Pas kerana bantuan atau pertolongannya tidak langsung berasaskan parti manakah orang itu dan perkara ini juga pernah menjadi isu pada awalnya kerana rasa tidak puas hati dari dalaman UMNO kerana ianya agak berbeza dengan cara lama; memberi keutamaan hanya pada orang UMNO atau BN.

Allah menyuruh berbuat baik sesama manusia dan itulah yang diamalkannya dan konsep itu yang membuat beribu-ribu orang diislamkan di London hanya kerana tertarik dengan akhlak orang Islam yang diamalkan dalam tarekat, jika permusuhan atau menghalalkan darah orang bukan Islam menjadi fahaman nescaya semakin bencilah orang pada Islam.

Walaupun beliau telah mencuba sedaya upaya, mendapat kelulusan membalak bukanlah sesuatu yang mudah. Aku juga tidak sangat berharap, cuma meletakkan sedikit harapan mana tahu jika berhasil dapatlah selesaikan segala hutang piutang. Pendapatan aku ketika itu jauh sekali untuk selesaikan hutang malah makan minum pun tidak tentu mencukupi, nasi, telur dengan kicap atau bubur nasi dengan tulang ayam kerapkali menjadi menu kami sekeluarga. Sehingga kini, walaupun makan minum bukan lagi menjadi masalah, anak-anak aku kerapkali meminta ibu mereka telur dan kicap kerana telah menjadi kegemaran mereka.

Pernah beberapa kali pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri datang mencari aku di Jerlun dan itulah hutang yang aku anggap paling mustahak kerana menyebabkan ibuku terganggu dan menyekat aku dari meninggalkan Malaysia. Walaupun ianya hanya lebih RM20K tapi bagaimana akan aku jelaskan kerana apa yang aku fikirkan hanya untuk makan dan persekolahan anak-anak.

Apabila PAS memegang tampuk pemerintahan Kedah, aku ada berjumpa dengan Rosnizam, pegawai khas Ustaz Azizan dan mengemukakan surat dan dokumen berkaitan untuk berjumpa dengan MB, mana tahu PAS yang Islamik dan mengikut Nabi mungkin akan memberi sedikit perhatian kepada kes aku, lagipun Ustaz Azizan berjanji tidak akan memilih bulu dan akan membela nasib sesiapa sahaja rakyat Kedah.

Malangnya, bukan kata hendak berjumpa, surat aku pun tidak langsung mendapat balasan.

Thursday, April 16, 2009

12. Lumpuh

Balik dari solat jumaat tadi, aku dapat sms dari seorang sahabat yang aku kira bernasib baik kerana cacat penglihatan, tak dapat melihat, geng buta masa di Kolej Sultan Abdul Hamid bernama Shafie atau semasa di sekolah kami panggil 'pet', katanya "Cop, aku dah visit blog hang. Hoo interesting sungguh pengalaman hang. Post la lagi cerita. tak sabaq nak baca" dan terus aku reply "Hang baca macam mana?" kerana aku memang suka mengusik geng-geng aku yang buta ni. Aku kata mereka bernasib baik kerana tak payah melihat kezaliman dan kekejaman dunia ni dan aku memang tahu ada software yang boleh baca paparan pada screen yang mereka guna.

Mengenai geng buta, sekiranya ada budak-budak kolej badge 81-85 terbaca blog ni, mereka tahu siapa aku dengan geng buta di kolej dulu. Selain sifat aku yang tidak buta, aku memang macam orang buta, aku tinggal di asrama pelajar buta, aku duduk sebelah mereka di dalam kelas, aku sentiasa ada di 'Bilik Resos', lepak dan study dengan mereka dan practise band dengan mereka, aku juga vocalist band 'Jasira' iaitu band orang buta di Kolej, aku lompat pagar tengok mid night dengan mereka, naik atas siling hisap rokok dengan mereka dan bila naik bas 'utc', konduktor bas tak akan minta tambang sebab ingat aku pun buta kerana selalu dengan mereka.

Aku sebenarnya lebih senang dengan mereka kerana mereka lebih memahami aku dan dengan mereka kita tak perlu bercakap banyak kerana mereka amat sensitif dan tahu apa yang kita rasa.

Pet sekarang seorang guru, beliau pemain gitar utama band Jasira dulu dan antara sahabat-sahabat dari golongan yang bernasib baik dan selalu berhubung, 2 atau 3 tahun sekali mesti aku akan call atau sms.

Aku beritahu Pet tadi bahawa aku akan terus ke conclusion dalam cerita aku, aku dah tak sanggup ingat cerita-cerita lama ni dan ada juga yang hantar sms atau email yang memandang tinggi pada aku.. alamak itu dah salah sangka, cerita belum habis.

Selepas balik dari rumah Dato' Seri Syed razak malam tu, aku cuba membuka mulut menceritakan apa yang berlaku tentang Kostech kepada Aida tapi lidah masih kelu kerana takut akan ada gangguan pada fikiran Aida dan apabila ada gangguan padanya lagi teruklah gangguan pada aku.

Aku memilih untuk berlagak seperti biasa dan aku hanya memberitahu Stephen bahawa Dato' tak mungkin akan buat kenyataan seperti yang diminta, mana mungkin seorang ahli politik akan mengaku tersilap, akan jatuhlah reputasi beliau.

Aku cuba mencari info sebanyak mungkin mengenai hutan di Kedah, berapa ekar kuota yang boleh ditebang mengikut 'Sistem Pengurusan Hutan Berkekalan' yang diamalkan menerusi Dasar Perhutanan Negara. Dengan sistem ini kuota dan had pengeluaran kayu balak di Kawasan Hutan Simpan Kekal akan ditetapkan bagi sesetiap negeri untuk menjamin hutan tidak akan pupus selama-lamanya.

Aku juga mula menghubungi tauke-tauke balak dan kilang kayu di Kedah dan kebanyakan mereka tidak mahu berurusan dengan aku sehinggalah aku mendapat satu idea.

Aku pergi ke pejabat Tong Seng Timber Merchant pada suatu hari dan minta berjumpa dengan boss mereka Mr Wuu yang kemudiannya aku panggil 'uncle'. Sebaik aku duduk aku mengeluarkan kad pengenalan, aku menunjukkan apa yang tertulis di akhbar, dokumen kelulusan tebusguna untuk membuktikan MB telah tersilap dan akan menggantikan kerugian aku dengan kawasan balak dan aku ialah Yusoff Zaky seperti dalam kad pengenalan yang aku tunjuk dan juga sama dengan nama yang disebutkan di akhbar-akhbar.

Semua itu berjaya menarik perhatian beliau untuk berbincang lebih lanjut dan aku akhirnya bersama-sama beliau melalui bermacam-macam dugaan dan cabaran bertahun-tahun lamanya.

Sehingga Dato' Seri Syed Razak jatuh sakit dan lumpuh, bermacam-macam alasan yang aku dapat mengenai perkara ini selepas setiap mesyuarat hasilbumi.

Cuma sekali aku dapat kawasan kayu dan kawasan itu adalah kawasan yang dibuka tender tetapi tak ada satu pun yang berminat. Kawasan itu adalah kuari batu yang ada semak samun dan kayu-kayu yang tumbuh di celah-celah batu dan untuk meluluskan kuari jabatan hutan perlu keluarkan kayu dari sana. Untuk mengeluarkan kayu dari sana perlu bina jalan dan infra, setelah dicongak kami akan rugi lebih kurang RM60K.
Itulah saja kawasan kayu yang aku dapat dan ramai kawan-kawan dan orang-orang di Wisma, orang-orang korporat dan GLC di Kedah yang beranggapan aku telah diberi kawasan balak oleh MB.

Berikut ialah rentetan peristiwa yang aku catat:-

12/2/2001 Mohon kompatmen 42 dan 46 Bukit Perak.
26/3/2001 Hantar surat mohon kurnia kepada MB.
12/8/2001 Surat wakil dihantar kepada jabatan hutan setelah diminta pengarah hutan.
12/8/2001 Kelulusan membalak di Kuari Gua Kelambu dikeluarkan.
8/9/2001 Hantar surat kepada jabatan hutan mengenai kawasan gua kelambu tidak ekonomik.
21/10/2001 Pertemuan dengan MB, Pengarah Hutan dan seorang Exco di Wisma Darulaman dan serah surat rayuan.
17/1/2002 Terima surat permohonan ditolak kononnya kawasan tadahan hujan.
10/1/2002 Mohon kawasan baru yang mengikut nasihat pengarah hutan supaya tidak ada masalah kawasan tadahan hujan lagi iaitu Kompatmen 17 Chebar Besar dan Kompatmen 15 Bukit Enggang.
18/5/2002 MB panggil berjumpa mengenai surat rayuan yang menyebut tentang Kostech.
19/5/2002 Jumpa MB dan berjanji akan batalkan surat itu dalam fail untuk tutup cerita Kostech.
19/5/2002 Berbincang dengan Dato' Setiausaha Hasilbumi mengenai surat tersebut.
20/5/2002 Hantar surat batalkan surat tersebut dan menyatakan permohonan tiada kena mengena dengan kesilapan kenyataan MB.
19/8/2002 Terima surat permohonan ditolak tetapi disyorkan tender. Dato' Setiausaha berkata tender hanya formaliti, kawasan akan diberi menurut mesyuarat.
15/1/2003 Tender dikeluarkan.
16/2/2003 Menyertai tender 80B Rimba Teloi dan 19C Ulu Muda.
17/8/2003 Selepas setahun akhirnya keputusan dibuat hari ini, tidak berjaya, orang lain yang dapat.
14/9/2003 Pengarah maklum tender tidak berjaya dan cadang minta kurnia macam biasa di kompatmen 15, Bukit Enggang dan kompatmen 17 Chebar Besar.
Sept 2003 Jumpa MB berbincang mengenai kawasan yang dipohon.
Dis 2003 Mesyuarat Hasilbumi, permohonan tidak berjaya tetapi tiada surat maklum lagi kerana kes Kostech telah saya batalkan pada 20/5/2002. MB minta jumpa Setiausaha Sulit yang akan atur permohonan balak.
Jan 2004 Berbincang dengan Setiausaha Sulit MB. MB akan beri kawasan kecil dulu.
Feb 2004 Mohon kawasan kecil di Padang Terap dan Gunung Pongsu.
May 2004 Mesyuarat Hasibumi, tidak berjaya.

.....dan seterusnya lagi, lagi dan lagi alasan dan alasan diterima. Aku dah mula bosan ketika itu dan pada suatu hari aku dapat tahu aku berjaya mendapat kelulusan kawasan melalui lesen Mohd Shariff tapi bukan kawasan yang aku minta. Mengikut pengarah hutan, cara pemberian kawasan kayu sekarang tidak tentu mana kawasannya, semuanya bergantung pada kerajaan kerana setiap kawasan akan dipecahkan kepada kawasan-kawasan kecil.

Aku menelefon setiausaha sulit MB tetapi kawasan itu bukan diluluskan kepada aku. Aku mula syak sesuatu yang pelik dan pada sebelah petang sekumpulan gangster telah datang ke pejabat Uncle Wuu dan meminta surat kelulusan kerana menurut mereka, boss mereka mahu berjumpa dan telah beri banyak wang untuk itu.

Pemilik lesen telah dikurung dan diminta menyerahkan surat kelulusan.

Aku memeriksa melalui seorang teman di pejabat hutan jika ada permohonan lain dari lesen Mohd Shariff tetapi tiada permohonan lain selain permohonan kami.

Uncle Wuu dibawa menemui kepala gangster dan kemudiannya mengalah kerana setiausaha sulit MB minta beri pada mereka dan akan luluskan kawasan lain pada kami.

Aku memohon lagi dan selepas itu MB jatuh sakit dan lumpuh sebelum mesyuarat hasilbumi diadakan....

Setelah bertahun-tahun aku berada dalam belenggu ini.

Kesimpulannya ialah aku sengaja diberi harapan kosong untuk melengahkan sebarang tindakan atau mengelakkan aku dari bercakap dengan wartawan mengenai Kostech.

Pernah sekali Setiausaha Hasilbumi yang pernah cuba menyokong aku, yang meminta aku sediakan surat untuk batalkan kes kesilapan MB mengenai Kostech, yang mengatakan MB hendak beri secara tender, terkejut kerana aku masih belum mendapat sebarang kelulusan kerana menurutnya beliaulah yang mencatitkan dalam minit mesyuarat mengenainya.

Aku sengaja dilumpuhkan sehinggalah Dato' Seri Syed Razak kemudiannya turut lumpuh dengan kuasa Allah.