Monday, April 6, 2009

3. Heathrow Airport


Di atas kapalterbang, aku telah betulkan jam mengikut waktu London, 8 jam lewat dan kami penerbangan dijangka mengambil masa kira-kira 13 jam. Hati sebak, sedih dan terasa nak balik ke Malaysia malam tu jugak apabila wajah anak-anak terus tidak mahu hilang dari ingatan.Soraya, anak sulong ku menangis tidak henti-henti hinggalah suara tangisan itu kedengaran sayup sebelum hilang apabila kami menuju ke balai berlepas. Mukhlis masih kecil ketika itu, mungkin tak perasan yang mama dan ayahnya akan terbang jauh meninggalkan mereka. Dalam poket ada 300 pound lebih kurang, tak banyak sebenarnya untuk kami berdua. Wang tak berapa jenuh ketika tu, aku mendapat kejutan ekonomi yang merudum ketika itu. Di akhbar Star, aku bekerja dalam bahagian jualan.. aku menjual ruang iklan di akhbar. Setiap bulan selain gaji pokok, 3-4 ribu komisen mesti lekat tetapi apabila ekonomi merudum ketika itu, ramai pelanggan yang menjadualkan semula iklan dan aku tak dapat menampung perbelanjaan keluarga yang agak tinggi ketika itu. Kad kredit dah sampai had dan kereta dah 2 bulan tersangkut. Aku terpaksa jual barang-barang rumah untuk perbelanjaan ke London.
Aku tidak tidur sepanjang perjalanan dan keadaan di luar gelap gelita. Hati berdebar kerana tidak pasti apa yang menunggu kami di London. Bermacam-macam perasaan bercampur aduk. AQku ada menelefon Kak Zaherah yang belum pernah aku jumpa dan seperti yang aku faham Kak Zaherah akan meminta seorang kawannya bernama Hussein untuk menjemput kami. Kak Zaherah adalah rakan niaga Dato' tersebut di London dan dalam perbualan telefon sebelum itu, Kak Zaherah minta aku bawakan serai. Aku bawa banyak serai, dan ada juga berkilo rempah yang Kak Zaherah minta aku ambilkan dari rumah ibunya, Datin Aishah di Alor Star. Aku buat pertama kali berjumpa dengan ibu Kak Zaherah ialah ketika mengambil rempah dan menurut Datin Aishah, Hussein itu orang Lubnan apabila dia bertanya siapa yang akan menjemput kami.
Aku sampai di London lebih kurang jam 8 malam. Dari atas kapal terbang, tak kelihatan langsung seperti bandar yang besar, hanya seperti bandar lama tetapi ianya menarik kerana bagiku ia sesuatu yang baru, tempat orang putih. Ketika masuk ke balai ketibaan dari pesawat, barulah aku nampak hebat dan besarnya Heathrow Airport. Sekali lagi debaran ialah ketika beratur melepasi imigresen dan aku meminta kamera dan menggantungnya di leher supaya nampak seperti pelancung. Aida, isteriku merangkul tangan ku dan kami menunjukkan rasa ceria pada pegawai imigresen supaya tidak banyak disoal. Aku amat bernasib baik kerana tidak sepatah soalan pun yang ditanya. Aku segera mengikut lorong hijau seperti yang dipesan oleh Datin Aishah bermaksud tiada barang-barang yang perlu diperiksa dan sememangnya kami tidak langsung diperiksa. Seorang lelaki tiba-tiba memanggil nama saya ketika melepasi tempat pemeriksaan dan apabila aku memandang kelibatnya, aku yakin beliau ialah Abang Hussein.
Ya Allah, rasa sejuk yang amat sangat, mengejutkan aku ketika pertama kali dijamah udara London ketika keluar dari lapangan terbang ke tempat letak kereta.

No comments: