Wednesday, December 15, 2010

Main Saham Atau Melabur??

Bagi saya 'main saham' adalah judi.

Saya berpendapat begitu kerana ianya berbentuk 'gharar' atau 'ketidakpastian' dan bertentangan dengan Islam.

Main saham yang dimaksudkan ialah apabila membeli saham dengan wang yang bukan dikhususkan untuk melabur dan perlu dicairkan segera, membeli dengan harapan harga akan naik dalam masa yang singkat untuk mendapat untung.

Hakikatnya tiada keuntungan singkat dalam menjana keuntungan. Jika ada yang membuat keuntungan sedemikian rupa, ianya adalah kerana nasib semata-mata dan inilah 'gharar' yang ditegah oleh Islam.

Lebih buruk jika membeli sehingga had maksima yang diberikan oleh bank pelaburan iaitu 2 atau 3 kali ganda wang di dalam akaun (bergantung kepada had yang diberi bergantung kepada kedudukan kewangan pelabur) dan terpaksa menjual dalam tempoh 3 hari selapas hari pembelian (T3) atau pihak bank pelaburan akan membuat 'force selling' pada hari ke 5 (T4).

Ramai yang 'main saham' dilihat mendapat kesenangan secara tiba-tiba dan kemudiannya menjadi papa kedana dan inilah yang membuatkan orang ramai beranggapan bahawa pelaburan dalam saham adalah merbahaya.

Bagi saya, 'main saham' adalah judi semata-mata tetapi jika saham dibeli dengan cara yang betul dari bajet yang betul dengan menilai kedudukan syarikat dan potensi adalah satu kaedah untuk menjana 'capital' dan cara untuk turut berniaga tanpa memerlukan masa dan tenaga terutama kepada golongan 'makan gaji' yang bercanggah dengan etika kerja jika menjalankan perniagaan.



Kitaran ekonomi terdapat dalam Al-Quran (12:46, 12:47, 12:48 dan 12:49)dan kita disarankan mengambil peluang dan bijak membuat sesuatu keputusan kewangan berdasarkan kitaran ekonomi.



Membuat kesilapan dalam kehidupan sebenar khususnya mengenai wang adalah sangat buruk kesannya dan negara kehilangan ramai rakyat yang berpotensi kerana disenaraihitam justeru saya menghasilkan SCHOOL OF LIFE™ sebagai alat rehearsal kewangan supaya kesilapan dalam dunia sebenar dapat diminimumkan.

Insyaallah.

Monday, December 13, 2010

Orang Muda, Demokrasi dan Imaginasi

Semalam saya pulang ke Jerlun. Jerlun yang dimaksudkan bukan Jerlun kawasan parlimen tu tapi nama kampung saya Kampung Jerlun yang berada di Mukim Jerlun dalam Parlimen Jerlun.



Seperti biasa saya akan ke sebuah tempat yang saya sifatkan sebagai tempat awam ala kampung yang saya suka sungguh bila berada di sana, di sana sentiasa terdapat ramai kanak-kanak dan budak-budak muda bersembang, memancing dan berehat dan terletak di simpang empat 2 batang sungai yang mengalir dari/ke 4 arah yang berlainan.

Pokok-pokok besar yang meneduhkan, angin bendang yang mendamaikan dan kedudukannya yang agak jauh dari rumah-rumah kediaman tetapi tidak terlindung itu tidak pernah hilang dari senarai tempat indah kesukaan saya lagipun lokasi yang menjadi medan permainan semenjak kecil ini mana mungkin dapat diabaikan dari hidup saya.

Di situ sentiasa kelihatan banyak basikal, motosikal dan terdapat juga bahan permainan yang sangat diminati oleh pengunjung kategori kanak-kanak iaitu 2 buah lori dan 3 buah trektor termasuk sebuah trektor besar yang saya banggakan, kerana trektor besar ini adalah buatan anak tempatan yang tidak berjenama dan kapasitinya sangat mengagumkan, boleh mengerjakan 60 relung sawah sehari semalam. Saya tabik pada pemiliknya, dalam usia awal 30an beliau berani menempah khas jentera pertanian yang tidak dijual di pasaran itu dengan harga RM200k 4 kali bayar.



Paling hebat dia kini telah melangsaikan semua bayarannya dan pendapatan bersih hariannya kini mencecah 4 angka sehari. Bagi saya dia memang telah mabuk aset kerana sehingga kini belum lagi mahu berhutang untuk membeli kereta mercedez, sebaliknya bercadang menempah sebuah lagi trektor untuk ditempatkan di Kelantan.

Kadang-kadang di situ dapat ditemui pelbagai bentuk mesin yang aneh atau peralatan pertanian yang pelik kerana telah diubahsuai untuk disesuaikan dengan kegunaan sawah kerana di situ juga merupakan tempat berhenti rehat pekerja sawah dan juga pesawah dari golongan muda berimaginasi tinggi.

Walaupun imej saya ialah pro kerajaan dan di situ terdapat bendera Pas yang berkibar megah, perkara ini tidak langsung kelihatan janggal kerana budak-budak muda yang berada di situ sebenarnya terdiri dari pelbagai fahaman politik dan menjadi perkara biasa jika mereka dilihat berdebat, berhujah dan membahaskan isu politik semasa tetapi belum pernah saya lihat mereka bermasam muka.

Pada satu-satu masa, tak kurang 10 orang yang berada di situ dan kadang-kadang jika ada kenduri, kematian atau semasa pilihanraya, jumlah budak-budak muda yang berada di situ boleh mencecah 30 hingga 40 orang. Data ini membuatkan kawasan tersebut layak digelar 'tempat rekreasi', tetapi kerana terdapat bendera Pas yang terpasang, orang-orang tua yang aktif berpolitik sering mempolitikkan tempat itu dengan memberi gelaran sebagai 'port' dan 'kubu Pas' menyebabkan mereka yang kerap berkunjung ke situ redha dan akur dengan label tersebut lalu ramai antara mereka bersetuju menyokong Pas.

Saya percaya, jika ada wakil rakyat yang berani singgah untuk bersalaman dan bertanya khabar, keadaan tentu akan jadi lebih baik kerana dengan cara ini, pemikiran golongan muda di akar umbi dapat diselami. Walaupun mereka berbeza fahaman politik jika dilihat dari cara mereka membahaskan isu, majoriti mereka mempunyai satu pandangan yang sama iaitu mereka lebih senang jika tidak ada perbezaan politik malah mereka lebih gembira jika tidak perlu diadakan pilihanraya. Apa gunanya jika kerana ini kita berpecah belah dan bermasam muka.

Semalam, salah seorang dari mereka bertanya kepada saya samada saya tahu apa sebenarnya syarat-syarat yang ditetapkan oleh British sebelum kita mendapat kemerdekaan dan adakah salah satu syaratnya ialah kita terpaksa menerima sistem demokrasi ini kerana bagi mereka ini lebih banyak buruk dari kebaikannya.

Secara jujur, saya tidak tahu dan saya tidak pernah belajar atau melihat butiran ini.

Tak mungkin tidak ada sesiapa yang terfikir bahawa amat sukar untuk melahirkan pemimpin yang betul-betul bersih dengan sistem demokrasi ini kerana lebih bagus seseorang itu bermain dengan kata-kata, bermuka-muka, pandai menyembunyikan keburukan dan hebat bersandiwara tak kira dari parti mana sekalipun maka lebih cerahlah peluangnya dalam perjalanan untuk memegang kuasa dan adakah ini betul.

Atau kita sebenarnya bernasib baik kerana pemimpin-pemimpin yang terpilih memegang teraju Malaysia, yang telah membawa Malaysia ke tahap yang hebat ini adalah sebenarnya terjadi atas bantuan dari Allah semata-mata.

Lebih menarik pada akhir perbualan, ada seseorang dari mereka tiba-tiba membuat teori sendiri yang mengatakan bahawa pemimpin yang berada di pucuk pemerintahan saja yang dapat melihat butiran perjanjian ini dan hanya secara zahir memperlihatkan ketaatan pada sistem demokrasi ini atas sebab keselamatan tetapi pada hakikatnya sesuatu itu dilaksanakan jika ianya perlu dilaksanakan walaupun tidak mendapat persetujuan majoriti.

Entahlah.. budak-budak muda ini begitu berimaginasi.

Saturday, December 11, 2010

Dadah

Dadah paling bahaya ialah rokok!!

Saya berpendapat begitu kerana rokok tidak dianggap sebagai dadah dan mudah diperolehi di mana sahaja tanpa kawalan dan dadah jenis ini boleh diambil di mana sahaja tanpa rasa segan atau bersalah.

Saya juga seorang perokok dan oleh itu saya rasa layak untuk berkongsi sedikit pandangan tentang ini.


Gambar Hakcipta thecigarhaus.com

Saya pasti ramai perokok di luar sana yang menyesal kerana terbabit dengan dadah ini dan setiap perokok pasti tidak dapat menafikan kesan ketagihan yang teruk sehingga keutamaan rokok kadang-kadang mengatasi perkara-perkara lain.

Saya yakin, jika perokok diberi pilihan kedua, nescaya mereka akan memilih untuk tidak merokok dan setiap perokok pasti mempunyai pengalaman untuk berhenti merokok membuktikan sesalan yang amat sangat kepada hampir semua penagih tegar ini.

Tidak ada yang dapat berhenti kerana ditakutkan dengan kesan dan bahaya merokok dan tidak ada yang dapat berhenti kerana dipaksa untuk berhenti.

Tidak ramai yang telah merdeka dari ketagihan dadah ini dan kebanyakan mereka yang berjaya berhenti ialah mereka yang mendapat sokongan yang betul dari persekitaran terutama pasangan hidup mereka.

Sokongan dari pasangan hidup adalah penting dan bukan perkara mudah untuk menyokong kerana ianya akan melibatkan kesabaran dan ketabahan.

Perubahan emosi, sikap dan kelakuan yang berlaku dalam proses berhenti merokok yang semakin buruk dari sehari ke sehari sehingga sampai pada keadaan tubuh perokok bebas dari ketagihan bukanlah senang untuk ditangani.

Perokok hanya akan dapat meneruskan usaha untuk berhenti jika pasangannya dapat bersabar dan gigih menenangkan keadaan serta memahami apa yang ditanggung ketika proses ini.

Usaha berhenti tidak akan menjadi jika dalam keadaan ini tiba-tiba perokok diingatkan tentang wang yang dibazirkan atau ada suara sumbang yang mengejek akan kesan dan akibat dari merokok.

Begitulah juga dadah-dadah lain yang rata-rata dari mereka yang terlibat akan berada dalam penyesalan kecuali jenis dadah yang tidak memberi kesan ketagihan.

Tidak semua dadah akan memberi rasa khayal dan mabuk tetapi ada juga jenis dadah yang akan menjadikan pelakunya memiliki sifat terpuji, beryakinan dan fokus seperti syabu.

Tidak semua dadah akan membuatkan pelakunya menjadi lentuk kerana ada juga jenis dadah yang menjadikan penggunanya sihat, kuat dan boleh bekerja lebih baik dari keadaan biasa seperti ketum dan steroid.

Yang pasti, semua jenis dadah yang memberi kesan ketagihan akan membuat penagih menjadi lemah, sakit, tidak gembira, pemarah dan gelisah apabila tidak memenuhi tuntutan badan terhadap dadah yang ditagih dan keadaan ini seringkali ditafsirkan sebagai sedang khayal.

Justeru, mengembalikan penagih ke pangkal jalan memerlukan pengetahuan dan kesilapan membuat tafsiran tentang keadaan sebenar mereka akan memburukkan keadaan dan sia-sia.




Friday, December 10, 2010

Yang Kecil Itu Alam.. Yang Alam Dihamakan

Apabila terdapat keganjilan dalam pertuturan atau nyanyian, bukan salah dalam maksud dan makna tetapi hanya slanga dan loghat, ianya juga akan turut menjadi isu.

Tambahan pula jika ianya terbit dari seorang yang berbangsa Melayu yang dikenali ramai, seolah-olah perkara itu adalah kesalahan besar yang boleh mencemarkan bahasa dan perosak bangsa.

Tetapi bagi yang berusaha keras untuk menyelidik dan memperolehi maklumat bagi meneruskan agenda mengumpat dan menabur fitnah, tidak pula dirasakan sebagai dosa malah akan dianggap sebagai hero dan pejuang bangsa.

Saya kira ini adalah antara keluhan yang pernah dipuisikan Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir suatu ketika dulu, katanya "Yang Remeh Itu Utama.. Yang Utama Itu Remeh.. Yang Kecil Itu Alam.. Yang Alam Dihamakan".

Puisi tersebut amat berkesan pada saya sehingga hari ini.

Di atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Putrajaya

Demikian gema gempita semangat Merdeka
Kuasa sudah pada kita
Ayuh kita hiasi wajah bangsa
Dengan jurai-jurai kilauan permata
Yang menyelusuri zaman Merdeka
Kita jadi semakin mengerti
Semata-mata kuasa di tangan bukan pertanda bangsa berjaya
Kemiskinan, kedaifan, kejahilan dan timbunan peluang tersia-sia
Mendamparkan bangsa itu
Pada taman asing yang mereka pertuankan
Yang lain pula menjadi gelojoh
Oleh runtunan haloba
Segalanya mereka rempuh
Menganggap diri mereka panglima belantara
Pada musim kemarau nurani
Embun serta keringat Merdeka tidak lagi sudi menitis
Melayu tidak belajar dari sejarah 450 tahun terjajah
Mewarnakan sejarah mereka
Dengan dendang dan hibur hati bangga
Dengan ceritera dongeng yang mereka cipta
Yang remeh itu utama
Yang utama itu remeh
Yang kecil dialamkan
Yang alam dihamakan
Melodi ceritera yang sungguh
mengasyikkan
Kata mereka: Takkan Melayu hilang di
dunia
Sambil menggigit jari jemari
Merekapun menjadi kuli di negaranya sendiri
Lama sudah runtuhnya Kota Melaka
Kita tidak kembalikan kota itu dengan papan dijawa
Pun tidak kita bina tugu ingatan
Di Prang Besar kita tidak selera berperang
Dengan tangan-tangan halus arkitek anak watan
Dengan iringan doa dari rekahan bibir
Petani di bendang
Nelayan di lautan
Di sini kita bina mercu tanda bangsa
Suatu gergasi megacity
Suatu jaringan menjangkau seluruh jagat
Suatu taman himpunan segala bau-bauan jutaan flora
Suatu simbosis insan dan alam
Kita namakan sempena nama bapa putera negara
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka
Di mercu ini kita zahirkan seni budaya bangsa
Dengan segala kelazatan muzik alam
Serta hidangan dan hamparan seni taman
Bersih - indah - tertib - teratur
Adunan tamadun tinggi
Jumlah segala cita-cita dan harapan
Membongkar segala-gala yang telah hilang
Dan kita tidak payah mengambil nyawa sendiri
Untuk menebus maruah itu
Dari sini kita menyusun langkah dengan yakin
Membina bangsa dengan cara kita
Dengan apa yang ada
Menghadapi cabaran dengan segala ketahanan
Cukup tangkas menangkis dari menjadi korban kali kedua
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka
Putrajaya
Lambang negara bangsa Merdeka

Thursday, December 9, 2010

Saya Cuma Bimbang

Ramai yang ghairah untuk menambah kesusahan dengan pelbagai spekulasi dan umpatan apabila seseorang yang dikategorikan sebagai berharta/ kaya tiba-tiba mendapat kesusahan seperti menghadapi pertuduhan atau jatuh dalam perniagaan.

Tidak kurang pula yang akan ketawa berdekah-dekah, menghentam dan mengutuk apabila usaha dan perancangan seseorang mengenai sesuatu projek tidak menjadi dan terpaksa angkat tangan.

Kita mudah merasa terangsang dan adalah menjadi hobi untuk memburu berita-berita perceraian, pergaduhan dan permusuhan yang berlaku dalam masyarakat.

Cerita politik pula adalah yang paling hangat diperdebatkan baik di tempat kerja, kedai kopi maupun di laman sosial.

Apabila dilihat kembali senario ini, ianya bukanlah gambaran tepat rakyat Malaysia sebaliknya ini khusus kepada keadaan kita orang-orang Melayu sahaja.

Tidak ramai yang mempersoalkan kenapa Ah Seng menjadi kaya tetapi jika Ahmad yang mengecapi kesenangan, sampai ke lubang cacing akan digali untuk mencari kesilapan.

Syukurkah, ramai yang faham bahawa ini bukanlah gambaran sebenar orang Islam dan sesungguhnya ini bertentangan dengan ajaran Islam tetapi yang menjadi kebimbangan adakah orang bukan Islam akan faham dan berkemungkinan akan membuat tanggapan bahawa inilah kehidupan Islam.

Persoalannya, apa akan jadi jika anak-anak yang meningkat remaja merasa muak dengan perkara ini dan memandang serong terhadap ajaran Islam lalu cenderung kepada kelompok lain yang begitu menyokong sesama sendiri dan berkasih sayang?

Semua agama mengangkat nilai sebagai pedoman, jangan pula Islam dilihat sebagai kekurangan.

Kita takkan 1Malaysia jika kita tidak memandang perkara-perkara penting seperti kewangan dan nilai kehidupan dari sudut pandangan yang 1.

Saya bukan apa.. cuma merasa bimbang.

Baru Ku Tahu!!

7hb Disember 2010 rupa-rupanya adalah tarikh penting.

Tarikh tersebut adalah 1 Hijrah 1432. Tarikh tersebut adalah hari siapnya alat asas simulasi SOL secara 'massive production'. Dan paling penting, apabila aku semak kembali blog ini untuk mencari tarikh bila 'University of Zindaghi' diterbitkan, rupa-rupanya pada 7hb Disember 2009 bermaksud 7hb Disember 2010 bersamaan dengan 1 Hijrah 1432 merupakan ulang tahun pertama pengeluaran produk ilmu yang berasaskan permainan, simulasi atau 'brain teaser' yang menjadi usaha kami di The Finishing Academy of Malaysia Sdn Bhd dalam menyampaikan ilmu secara santai dan menghiburkan.


Berasaskan prinsip Edgar Dale 1969 The Finishing Academy of Malaysia mengorak langkah menggunakan kaedah simulasi, permainan dan 'brain teaser' dalam penyampaian ilmu.

Pelbagai modul, subjek, maklumat dan ilmu dapat diadaptasi dalam program ini malah ianya dapat menjadi pemangkin daya ingatan, aktiviti berkumpulan kakitangan dan pelajar serta slot yang boleh dimasukkan pada hari terakhir sesuatu program latihan sebagai usaha meningkatkan kesan dalam sesuatu program latihan dan pengambilan data kefahaman peserta program. Ini akan meningkatkan R.O.I kepada majikan.

Alat asas simulasi didatangkan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kumpulan sasaran.

Produk yang menggabungkan simulasi, permainan dan 'brain teaser' yang boleh dibuat dimana saja ketika lapang seperti SUDOKU.

Jika kita perhatikan PETA SIMULASI ini, sasaran berada dipuncak lebih tinggi dari bulan dan matahari manakala jalur-jalur merupakan tangga-tangga yang perlu didaki.