
Sampai sekarang kalau aku telefon kawan-kawan lama yang tidak menyimpan nombor aku dalam handphone mereka, dari perenggan pertama lagi aku akan kata "woi aku ni..cop beliak" dan tak perlu bersusah payah mengisi slot pengenalan dengan kupasan panjang lebar, sekelip mata aku sudah dapat masuk pada bab tujuan dan kemudiannya kesimpulan dan penutup.. bye bye dan berapa tahun pulak aku akan tenggelam sebelum timbul semula dan..."woi aku ni cop beliak". Aku dan kawan-kawan seperti baru semalam berjumpa walau kadang-kadang sudah menjangkau belasan tahun.
Mata aku tidaklah sebesar mana tapi bila aku melihat sesuatu benda, aku akan melihat dengan bersungguh-sungguh sampai nak terkeluar biji mata. Sekarang ini agak terkawal sedikit tapi semasa aku masih kecik, anak mak long aku akan lari sekuat hati bila melintas hadapan rumah aku kerana ketakutan yang amat sangat pada tahap keterbeliakan aku. Kalau aku duduk di luar rumah, nescaya tak berani keluar rumah budak tu, apa lagi nak melintas. Kesian budak tu.. tapi apakan daya.. aku langsung tak perasan, ini semua mak aku yang cerita.
Kerana aku banyak memerhati dan amat asyik mendengar (tambah-tambah bila kawan-kawan mak aku bertandang ke rumah, apa yang berlaku di kampung semua aku hafal) aku jadi pendiam secara automatik tapi semua perkara aku ambil tahu dan ini juga dicerita oleh mak aku kerana menurutnya aku adalah rakan perbincangan ketika itu kerana aku boleh bercakap seperti orang tua, siap boleh 'relate' dengan kejadian atau cerita yang berlaku di kampung aku. Selain dari mak aku, aku tidak mudah bercakap dengan sesiapa dan tahap diam aku sebenarnya agak serius. Sampai sekarang sifat itu masih menghuni jiwaku, cuma bilangan ahli mesyuarat dari mak aku seorang bertambah kepada beberapa orang lagi. Masa sekolah dulu, geng buta la ahli majlis mesyuarat aku.
Darjah satu, beberapa kali aku telah 'terkincit' malah pernah beberapa kali 'terberak' di dalam kelas hasil perbuatan cikgu kelas aku ketika darjah satu, Cikgu Shamsiah. Wajarkah dia memberi arahan kepada budak-budak untuk minta kebenaran keluar dalam Bahasa Inggeris. Semua kena kata "Teacher, please may I go out", fuuih mati la aku... nak cakap Melayu pun aku terketar-ketar, ini pula nak cakap orang putih. Maka berbau tahi la seluruh kelas sepanjang hari dan sepanjang perjalanan naik bas Ah Yau balik ke Jerlun dari Sekolah Iskandar yang jaraknya 15 batu. Tapi orang sekali pun tak pernah tuduh aku yang berak kerana mungkin sikap aku yang senyap dan tak tahu berkata apa-apa, 'koro' orang Kedah kata atau mungkin mereka 'seriau' tengok keterbeliakan aku agaknya.
Hari pertama darjah satu, mak aku temankan aku menunggu bas Ah Yau dan memperkenalkan aku kepada Ah Yau yang akan mengangkut aku dan ramai lagi budak-budak kawasan Jerlun, Air Hitam, Kuala Sungai dan sepanjang-panjang Jalan Putra yang bersekolah di Alor Star. Seluruh kawasan ini adalah milik Ah Yau tanpa saingan mana-mana pengusaha bas lain hinggalah aku di tingkatan 3, barulah semua orang berpindah menaiki bas Ah Chai pulak sebab bas Ah Chai ada 'air cond'. Bila bas Ah Chai beroperasi, Ah Yau nekad tidak membuat perniagaan bas lagi kerana dah tak ada siapa yang memerlukan perkhidmatannya lagi, kesian jugak aku pada dia tapi apakan daya beliau tidak peka kepada kehendak zaman yang memberi keutamaan kepada keselesaan pelanggan.
Dari Jerlun sampai ke Alor Star, aku sungguh bernasib baik duduk berdekatan tingkap dan telah membeliakan mata secara bersungguh-sungguh memerhatikan setiap inci perjalanan sehinggalah ke Alor Star. Aku juga merasa beruntung kerana abang yang duduk sebelah aku ketika dalam bas telah dengan sukarela menjadi pemandu pelancong dan memberitahu nama setiap tempat yang kami lalu, rumah Ah Yau di Mergong pun dia tunjuk, jalan mana dan bangunan apa.
Aku bersyukur dengan maklumat itu kerana rupa-rupanya aku akan berdepan dengan sesuatu yang melakar sejarah pada hari itu.
Hari pertama di sekolah amat meriangkan bagi aku, tempat baru, benda baru, kawan-kawan baru dan mata aku tidak dapat berehat walau seketika pada hari itu kerana semua memerlukan perhatian aku.
Mak bagi duit sekolah 3 kupang, waktu rehat aku makan mee kuah 2 kupang sepinggan, beri pada Shidi (jiran sebelah rumah) sekpang kerana duit belanja dia sudah habis sebelum bunyi loceng pertama lagi dan selesai makan aku terus ke bilik air untuk minum air paip. Aku terpaksa beratur panjang kerana ramai jugak kawan-kawan aku yang lain turut serta dalam perbarisan minum air waktu rehat. Pernah beberapa kali aku tidak sempat minum air kerana loceng tamat waktu rehat berbunyi dan air berharga sekupang hanya sekali dua aku dapat beli kerana Shidi telah meneruskan amalan hari itu (minta kat aku sekupang setiap hari) kerana hanya sekali dua Shidi berjaya tidak berbelanja sebelum kelas bermula.
Aku tidak perlu beli minuman atau makanan sebelum kelas bermula kerana ketika budak-budak lain main 'aci ligan' dan 'combat' aku hanya duduk atas 'beg peti' warna coklat yang ayah aku beli beberapa minggu sebelum masuk darjah satu. Ayah aku sungguh peka dengan peredaran zaman kerana hampir semua kawan-kawan aku waktu itu memakai 'beg peti' yang boleh digunakan untuk duduk sewaktu menunggu bas atau waktu terluang.. terima kasih ayahanda.
Aku tak reti bercakap dengan ayahanda aku ketika aku kecik tapi aku tahu betapa dia sayangkan aku. Pernah sekali ketika hujan, beliau mendukung aku semasa menunggu bas semata-mata tak mahu kasut aku kotor. Ayah aku garang dan aku sangat takut kalau aku dapat markah 'merah'(gagal) dalam mana-mana mata pelajaran dan pernah sekali aku berdoa kepada tuhan semasa menunggu bas ketika pulang dari sekolah supaya ada kereta atau lori yang terbabas di tempat aku menunggu bas dan melanggar aku hingga mati di tempat kejadian.
Seluruh badan aku terasa sejuk dan menggigil kerana takut menghadapi ayahanda aku untuk tandatangan 'report card' tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah aku telah mendapat ilham menukar markah 36 menjadi 86 dan aku tulis kembali dengaan pen biru. Aku terselamat tapi keesokan hari aku telah kena rotan dengan cikgu kerana aku telah padam dengan air liur dan pemadam untuk ganti semula kepada markah yang sebenar hingga terkoyak 'report card' aku.
Tetapi tembelang aku akhirnya pecah juga pada peperiksaan seterusnya. Aku kena marah teruk dengan ayah aku dan aku dipaksa 'kandar semai' dan 'menanam' padi dan ayahanda aku memberi amaran pada petang itu untuk memberhentikan aku dari sekolah dan akan disuruh 'buat bendang' jika aku gagal lagi. Ketika itu aku berada dalam darjah dua.
Pada hari pertama darjah satu, selepas loceng akhir berbunyi, aku dan Shidi meneruskan tinjauan untuk melihat, membelek, memegang dan merasai seluruh kawasan sekolah sehinggalah kami lupa diri dan masuk ke bilik kelas Kolej Sultan Abdul Hamid yang berada dalam satu kawasan yang sama dengan Sekolah Iskandar sehingga akhirnya kami tiba-tiba tersedar bahawa bas Ah Yau telah bertolak dan meninggalkan kami.
Shidi mula menangis tetapi aku berjaya mententeramkannya dengan mengatakan aku tahu jalan untuk pulang ke Jerlun dan mengajaknya pulang berjalan kaki sambil menyusun kata-kata indah bahawa betapa seronok dapat melihat bermacam-macam benda dalam perjalanan pulang.
Aku kemudiannya merasa lega kerana melihat 'morris minor' Pak Njang Mat, bapa saudara aku yang datang menjemput sepupu aku pulang dari sekolah. Aku berjalan ke keretanya dan memberi salam tetapi dia tidak pun bertanya apa-apa, aku kemudiannya berjalan dua tiga round lagi dan kerana sifat 'berat mulut' aku, Pak Njang Mat tidak langsung sedar bahawa kami telah ketinggalan bas.
Dia kemudiannya beredar dan aku bersama Shidi meneruskan rancangan pulang ke Jerlun dengan berjalan kaki.
Aku dan Shidi akhirnya ditemui oleh seorang penduduk kampung di Alor Janggus setelah berjalan kaki hampir 10 batu. Seluruh kampung telah gempar dan penduduk kampung yang mempunyai motosikal telah beramai-ramai keluar mencari kami.
Sungguh asyik dan indah segala pemandangan kanak-kanak dan aku melihat setiap sesuatu sehingga terbeliak biji mata.