Friday, April 10, 2009

9. Tinggal Dengan Komunis Dan Perjalanan Merentas Gunung Ganang Ke Laos.


Aku bawa pulang hampir RM dari London, RM tunai dan selebihnya transfer dari London ke dalam akaun aku di Malaysia. Aku bangga kerana aku akhirnya dapat juga mencapai apa yang aku inginkan. Di Malaysia, memandangkan saham-saham masih berada di paras yang rendah, sebahagiannya aku laburkan dalam perbagai stok di BSKL dan sebahagian lagi aku simpan di bank untuk biaya projek yang aku rancang. Memandangkan aku tinggal di Jerlun yang berhampiran dengan Pusat Kuarantin Padang Besar serta mempunyai pasaran kerana mempunyai hubungan dengan peniaga-peniaga daging di Kuala Sungai maka aku bercadang membawa masuk lembu-lembu dari Thailand ke Malaysia.
Perkara pertama aku perlu selesaikan ialah kebenaran Jabatan Haiwan iaitu lesen yang diperlukan.
Selepas mendapat kelulusan Jabatan Haiwan, aku menelefon 'Pok Me' seorang DJ radio Yala yang aku kenal yang juga kawan ayahku yang banyak membantu aku mencari tukang masak untuk restoran aku, 'Rendezvous Restaurant' suatu ketika dulu. 'Pok Me' sekarang berada di Penang mengusahakan kedai tomyam sekitar Feringgi Beach.
Aku, ayahku dan 'Pok Me' kemudiannya ke Haadyai bertemu dengan Pengarah Jabatan Haiwan Daerah Songkhla untuk berbincang mengenai prosedur pihak Thailand untuk membawa masuk lembu-lembu ke Malaysia dan daerah-daerah yang terdapat banyak lembu di Thailand. Menurut Pengarah Jabatan Haiwan yang aku tidak dapat ingat namanya, lembu-lembu di Thailand sebenarnya dibawa masuk dari Laos atau Burma dan Thailand sebenarnya tidak mempunyai ladang lembu yang besar dan harga lembu-lembu di Thailand tidaklah begitu murah.
Setelah mengumpul maklumat-maklumat yang perlu mengenai prosedur dan sumber, aku pulang ke Malaysia dan seorang rakan yang tinggal di Jitra bercadang untuk memperkenalkan aku pada seorang usahawan lembu di Jitra bernama Hussein yang memiliki Ladang Fidlot di Jitra.
Aku tidak pernah mengenali Hussein, tetapi menurut rakanku, Hussein telah lama mengusahakan projek lembu fidlot ini.
Kami ke rumah Hussein pada suatu petang dan apabila aku menyuarakan hasrat untuk mendapatkan sedikit maklumat mengenai projek lembu dan meminta izin untuk melawat ladangnya, Hussein kemudian berkata "Cop, Mujurlah Cop datang jumpa Abang Hussein kerana penipu sangat banyak dalam perniagaan ini.. kalau silap jumpa orang, habislah duit Cop kena kebas."
"Beginilah, esok Abang Hussein akan ke Laos dengan seorang kawan untuk beli lembu dan kalau Cop mahu, kita boleh pergi bersama. Abang Hussein akan ajar Cop semua dan satu sen pun tak payah bayar apa-apa, untuk perjalanan kali ini, Cop bayar tambang kami sudah" tambah Hussein.

"Eloklah tu Cop, kalau tak pergi, tak kan dapat peluang begini lagi", tambah Kak Ros, isteri Hussein yang datang dari dapur membawa dulang minuman.
"Baiklah kalau begitu, pukul berapa?" aku akhirnya bersetuju walaupun hati berasa tidak sedap kerana ianya telah lari dari rancangan asalku dan aku belum lagi melawat ladangnya sebagaimana tujuan aku datang pada petang itu. Abang Hussein kemudiannya berkata tidak guna untuk ke ladangnya petang itu kerana lembu sudah habis dijual dan tujuannya untuk ke Laos besok adalah untuk membawa masuk lembu-lembu baru.
Keesokan harinya, seperti yang dijanjikan aku sampai ke rumah Hussein jam 9 pagi dan beliau sudah siap sedia memanaskan enjin keretanya sambil memasukkan beg pakaiannya ke dalam kereta.
Kami ke Alor Star menjemput seorang rakan Hussein bernama Tan, seorang lelaki Cina dalam lingkungan 40an yang akan membawa kami ke Chiang Dao yang berhampiran dengan Laos kerana menurut Tan, terdapat banyak lembu-lembu di sana.
Kami dihantar ke Bukit Kayu Hitam oleh Kak Ros sebelum mengambil teksi ke Haadyai Airport.
Kami sampai ke Chiang Mai dari Haadyai Airport pada malam itu dan kami dibawa ke Chiang Dao dengan sebuah kenderaan 4WD yang kami sewa dari Chiang Mai.
Perjalanan bukanlah dekat, hampir 150km, berbukit bukau dan tidak rata serta berdebu membuatkan rambut dan bajuku bertukar menjadi warna merah.
Kami sampai ke Chiang Dao yang merupakan bandar gajah Thailand dan meneruskan perjalanan lebih kurang 30 km dari Chiang Dao ke sebuah perkampungan Cina di Mae Sae yang bersempadan dengan Laos di kawasan pergunungan yang menjadi laluan ke Laos.
Apabila sampai ke perkampungan tersebut,aku tidak dapat terus bangun kerana badan dan pinggang terasa sangat sakit dan kebas.
Tan rupa-rupanya mempunyai isteri keduanya di sana dan baru mendapat seorang anak. Dirumah tersebut tinggal isteri Tan, seorang adik lelaki, seorang adik perempuan yang telah berkahwin dengan penolong ketua polis hutan yang bertempat disana dan ibu kepada isterinya yang telah tua. Perkampungan tersebut diduduki oleh orang-orang Cina yang telah diberi penempatan oleh kerajaan Thailand untuk mengawal sempadan Thailand. Mengikut cerita mereka , penduduk disitu berasal dari penduduk China yang telah datang berjalan kaki dari Negara China pada masa dahulu.
Selepas mandi aku terus tidur kerana keletihan dan terjaga kira-kira jam 6 pagi untuk solat subuh. Ketika masuk ke dalam bilik air aku lihat banyak daging babi kering digantung dan terdapat juga daging babi yang sedang direndam di dalam baldi untuk dinyahbeku. Aku merasa loya dan terkial-kial seorang diri di dalam bilik air, terus segera mengambil wuduk sebelum masuk ke bilik untuk bersembahyang. Aku tidak tahu arah kiblat dan terus bersembahyang ke arah tingkap bilik dan hanya berserah. Keesokan harinya aku memeriksa arah matahari naik dan dapat mengagak arah kiblat tidak sangat berbeza dengan arah aku mengadap ketika subuh.
Ketika di sana, saat yang paling menyeksa bagiku ialah ketika waktu makan kira-kira jam 1 tengahari dan 7 petang. Aku hanya dapat makan sardin dan kadang-kadang sup ayam selasih yang aku sembelih kerana selain itu adalah masakan daging babi yang aku tidak sanggup lihat. Kerana hanya sebilah sudu yang disediakan, aku dengan pantas segera menyudu sardin atau sup ayam sebelum sudu tersebut dialihkan ke lauk lain dan aku tidak akan menggunakannya lagi. Pernah sekali aku terpaksa menelan muntah yang penuh dalam mulut aku kerana termakan telur goreng yang rasa hanyir dan meloya yang mungkinnya digoreng dengan minyak gorengan babi salai yang sentiasa menjadi menu utama di sana.

Pada malam terakhir aku disana, aku mengajak keluarga Tan untuk keluar makan diluar lalu kami ke sebuah resort untuk makan seafood dan sekali lagi aku terkedu kerana salah satu hidangan didepan aku ialah labi-labi yang memualkan.
Pada malam itu juga terjadi satu insiden yang menggerunkan dalam hidup aku kerana selepas makan, Tan dan keluarganya telah pulang dengan sebuah kenderaan 4WD dan hanya aku, Hussein, dan adik iparnya yang juga penolong ketua polis hutan serta seorang rakannya telah ke karaoke.
Mereka mabuk teruk kerana minum terlalu banyak dan kerana meraikan kami, beliau telah menunjukkan kuasanya dengan berpakat dengan pengurus resort tersebut untuk menyediakan khidmat seks dengan 2 orang kakitangan resort tersebut. Pada mulanya beliau hanya menunjukkan kepada aku seorang kakitangan resort tersebut dan berkata "beutiful..beautiful" lalu akupun berkata "yes..yes" kerana melayan perbualan antara ayam dan itik sesama kami dan tanpa aku sedari rupa-rupanya beliau telah mengatur sesuatu yang mengejutkan aku. Kerana aku menolak apa yang dia aturkan, dia merasa terhina dan malu lalu dia tiba-tiba menjadi marah tidak tentu arah. Rakannya cuba meredakan keadaan dan terjadilah perkelahian antara mereka berdua sebelum diredakan oleh pengurus resort tersebut. Aku akhirnya berkata aku bersetuju dengan syarat aku mahu pulang ke rumah mengambil sesuatu. Sampai di rumah aku masuk ke rumah dan memberitahu apa yang terjadi kepada Tan dan tidak lagi keluar dari bilik. Aku cuma terdengar bunyi bising dan pertengkaran diantara mereka sekeluarga. Aku dan Hussein hanya berdiam di dalam bilik dengan kecut perut yang amat sangat.

7 comments:

roslan said...

nasib baik aku baca semua tajuk... kalau tak mungkin aku ingat ko masih di Laos..
sekarang di Jerlun kan... terkini projek apa??
Aku mintak izin linkkan blog ko dari blog aku.. www.sembangsembangunittrust.blogspot.com banyak ilmu aku kena belajar dari ko.. banyak motivasi yang diperoleh.. thanks

Yusoff Zaky Omar said...

Alhamdulillah silakan. Blog aku baru 2,3 hari ja.
Jerlun kampung aku. Aku di Sungai Petani. Apa yang aku boleh bantu untuk menguntungkan sesiapa yang perlukan aku akan aku cuba buat.
Unit trust pun aku buat. Selain tu aku cuba cari perniagaan yang paling sesuai pada sesuatu individu tetapi sistem yang baik sangat perlu jika tidak tak akan sampai kemana.

Yusoff Zaky Omar said...

Roslan,
Ajak kawan-kawan yang berniaga, yang buat marketing join blog ni.
Terima Kasih.

roslan said...

dari apa yang aku baca dalam blog nih..
ko memang banyak ilmu yang boleh dikongsi.. buat pengetahuan, saya ada sebuah syarikat pemilik tunggal, kontraktor bekalan peralatan alatulis, perabut, perkakasan elektrik serta makanan dan minuman. dan juga baru 1 lebih buka perkongsian syarikat katering.. disamping tu aku ada gak produk snack food(repackaging kacang dan asam) jenama laa..nina! dulu ada lebih 30 tempat pengedaran, sekarang kos minyak dan masa.. aku supply kat Koperasi Pusrawi jek.. sambutan menggalakkan.
Nama jek banyak bisness... semua tak pakai modal besar.. aku pun tengah pokai bangat nih.. kah kah kah...
nanti aku ajak ramai member join blog nih..

Yusoff Zaky Omar said...

Kalau nak aku email fail sistem tu, email pada aku ko punya email add..
Untuk pakai sendiri dan staff yang terlibat dalam marketing sahaja.
Dan aku ada bisnes yang terbaik aku rasa selepas macam-macam berlaku pada aku dan bisnes ni yang paling boleh diharap dan terjamin...
Kita cakap itu nanti.

Yusoff Zaky Omar said...

Roslan,
Aku dah email fail-fail tu. Ko delete la contoh data yang aku dah key in di sana.
Selamat berjaya.
Summary ada di bawah atau di hujung.
Copy dan paste untuk bulan-bulan akan datang.
Selamat..

roslan said...

Terima Kasih..
dah pun belek belek... bagus dan boleh buat praktikal secepat mungkin...